Selasa, 29 September 2009

RASUAH....APA YANG KITA BOLEH LAKUKAN

Dalam satu laporan akhbar bertarikh 27 september 2009, dinyatakan Indeks Persepsi Rasuah di Malaysia  sekali lagi merudum, pada tahun 2007 indeks persepsi  rasuah negara pada kedudukan ke-43, manakala  2008 ia jatuh lagi ke tangga 47. Singapura adalah antara tiga negara di dunia yang paling bersih dari gejala rasuah. Menurut akhbar ini juga negara  kerugian kira-kira RM10 bilion? setahun akibat perbuatan rasuah. Kita bayangkan jika RM10 bilion itu digunakan untuk membantu rakyat. Nah.. bagaimana kita dapat membantu mengurangkan gejala buruk ini;
  • Jika anda seorang ulamak, imam, padri, pastor, sami atau apa sahaja gelaran anda, ajarlah bahawa rasuah itu "dosa",  war-warkanlah kepada umat manusia  memberi makan pada anak-anak atau orang tua  hasil rasuah akan menyebabkan "kutuk" akibat rasuah turut terpalit pada keluarganya. Jika anda berpeluang menyampaikan ajaran agama di masjid,surau, gereja, kuil dan sebagainya, selitkanlah bahawa rasuah itu "musuh negara".
  • Jika anda seorang pendidik, ajarlah murid-murid tentang bahaya "najis rasuah". Jikapun anda bukan guru agama, sivik, pendidkan moral, tetapi bukankah pendidikan nilai murni itu merentasi kurikulum dan kokurikulum?. Salah satu elemen terpenting dalam nilai murni ialah membenci dan jijik terhadap perbuatan rasuah.
  •  Jika anda seorang ibu atau bapa ataupun bakal ibubapa tanamkanlah cara berurusan dan berurusniaga yang bersih, sihat serta mengikut hukum agama dan negara pada anak-anak. Anak-anak harus diajar  perbuatan memberi dan menerima rasuah "sama sahaja takarannya". Implikasi buruk perbuatan rasuah pada negara, keluarga dan diri sendiri perlulah diterapkan pada anak-anak. Ia harus dilakukan sejak anak-anak itu masih kecil agar apabila dewasa, sikap jujur, ikhlas dan benci rasuah jadi amalan mereka
  • Jika anda seorang kakitangan kerajaan atau swasta, laksanakan tugas dengan penuh integriti berasaskan "Bersih, Cekap dan Amanah".  Bukan dengan omong-omong sahaja tetapi secara praktik. Jangan jadikan kata2  saya benci rasuah atau rasuah musuh negara hanya sebagai slogan penghias dinding pejabat tetapi hiasilah jiwa anda dengan kata2 ini dan lafazkan melalui perbuatan. Ya jangan terima pemberian yang bukan hak anda. Walaupun manusia tidak melihatnya tetapi Dia mampu melihatnya walaupun di tempat tersembunyi.
  • Jika anda politikus atau tokoh terkenal  atau bakal politikus jadilah seorang yang bersih, berpegang pada agama yang membenci rasuah. Jangan sekadar pada musim perayaan sahaja anda kelihatan "alim bak malaikat", tetapi biarlah seumur hidup. Tuhan telah berikan kedudukan yang tinggi pada anda untuk berkhidmat kepada rakyat juga mewakiliNya membantu rakyat. Jadilah idola yang terbaik kepada anak-anak muda dengan cara kerja yang berintegriti, transperan, bersih dan amanah .
  • Jika anda cintakan negara, mari kita tanamkan sikap bermusuh dengan perbuatan rasuah. Elakkan terlibat  samada memberi atau menerimanya kerana hukumnya tetap salah.Jika anda tercari-cari seorang idola atau " role model",jadikan mereka yang tulus, jujur, bersih, bersemangat tinggi yang berjaya dalam hidupnya dengan cara baik dan tidak terlibat dalam memberi atau menerima suapan sebagai idola. Jangan sekadar " kabur mata dan buta hati " menjadikan orang-orang jutawan yang kita tahu mendapatkan kekayaanya dengan penuh penipuan serta bergelumang dengan  rasuah sebagai idola anda. 
Teman2 saya bukan mengajar sekadar berkongsi tentang bahaya perbuatan makan suap terhadap  diri, keluarga, bangsa dan negara kita. Mari kita mulakan kebencian terhadapnya, bukan esok tetapi hari ini, bukan oleh orang lain tetapi kita. Mari kita sama-sama "belajar"hidup dan beragama tanpa rasuah sebagai amalan.


.

Sabtu, 26 September 2009

PENGARUH RUMAH TANGGA TERHADAP ANAK-ANAK

Seorang tokoh Islam yang tersohor iaitu, Sheikh Al-Azhar pernah menyatakan 70 %  daripada kecemerlangan pelajar dipengaruhi oleh faktor rumah tangga,  Peter Mortimore pula berpendapat 60% kejayaan anak-anak/pelajar disebabkan oleh sokongan keluarga. Dalam Hadith juga ada menyebut "anak ibarat kain putih". Kenyataan-kenyataan  ini dipersetujui oleh M.Addler melalui tulisannya  Ten Philosophical Mistakes yang menjelaskan "insan pada asasnya mempunyai nature (tabiat) yang sesuai, yang membezakan kemudiannya adalah lantaran adanya kelainan dalam nurture (asuhan). Pendapat tokoh ini menunjukkan betapa pentingnya peranan ibubapa dalam  kemenjadian anak-anak, remaja ataupun pelajar-pelajar.

Kejayaan ataupun kegagalan sesebuah rumah tangga membentuk anak-anak yang baik dan sesuai dengan nilai-nilai agama bergantung kepada corak bagaimana keluarga itu diurus oleh sang ayah dan juga sang ibunya. Dalam aspek mengurus rumah tangga, beberapa tokoh pendidikan  mengkategorikannya kepada tiga cara iaitu;
  • Jenis Menternak (Proses Penternakan)
Rumah tangga jenis ini ialah ibubapa yang memberikan terlalu banyak kebebasan pada anak-anak tanpa  kawalan. Ini bermakna anak-anak dibiarkan terlalu banyak hiburan . Anak-anak bebas melakukan apa sahaja,  bak seperti hewan yang melepaskan anak-anaknya berkeliaran mencari haluan masing-masing. Anak-anak juga mungkin dibiar melakukan apa sahaja walaupun dalam rumah sendiri. Tidak hairanlah perkataan seperti kau babi, kau monyet dan sebagainya sering juga terkeluar dari mulut ibubapa jenis ini. Apa yang penting bagi ibubapa ini ialah kepuasan (pandai beranak sahaja) dan kebebasan sendiri, anak-anak dilahirkan dan membesar tapi didikan agama dan nilai-nilai murni diabaikan.

  •  Jenis  Pembongsaian (Proses Pembongsaian)
Rumah tangga jenis ini berkecenderungan membantut kebolehan dan potensi anak-anak. Ibubapa jenis ini terlalu negatif, penakut dan pesimistik terhadap kehidupan.  Mereka banyak menggunakan perkataan yang bersifat tidak membina keterampilan dan perwatakan positif anak-anak. Penggunaan istilah-istilah dan perkataan seperti jangan buat bikin malu, kau bodoh, jangan tanya, kau tidak pandai, kau malas, kau tiada guna, menyesal akau beranak engkau dan pelbagai kata-kata negatif dan hinaan lain akan mematahkan semangat anak-anak. Akibatnya bakat dan potensi mereka tercantas oleh kesilapan  ibubapa mereka sendiri. Anak-anak atau remaja yang berhadapan dengan ini hanya memendamkan keinginan, hasrat dan kemampuan positif mereka yang akhirnya melahirkan produk insan yang serba tidak tahu  atau tidak peduli dengan keadaan persekitarannya.

  •  Jenis Proses Mendidik (Proses Memanusiakan)
Rumah tangga jenis ini merupakan rumah tangga idaman setiap anak-anak. Ia boleh dianggap sebagai rumah tangga yang berteraskan kasih sayang, saling memahami dan menganggap anak-anak sebagai kurniaan Tuhan yang perlu dikasihi, disayangi dan dididik serta dibentuk. Anak-anak dianggap insan yang sentiasa memerlukan bimbingan dan didikan agar boleh menjadi insan seimbang. Anak-anak dalam keluarga ini diajar nilai-nilai baik, murni, moral, adab, agama dan sebagainya. Ibubapa dalam kategori ini juga menggunakan perkataan-perkataan yang positif dan merangsang potensi anak-anak mereka. Mereka bukan sahaja dibelai malah kata-kata pujian, galakan dan teguran  bertempat juga diberikan oleh ibubapa.

Ini gambaran tentang betapa besarnya tanggungjawab ibubapa terhadap anak-anak. Bukan sekadar melahirkannya, kemudian membesar malah perlu mendidik mereka menjadi manusia. Dalam rumah tanggalah titik permulaan kepada pembentukan cara hidup anak-anak apabila berada di luar sana. Jadi mari kita sama-sama praktikkan langkah ketiga daripada tujuh tabiat ibubapa cemerlang yang dikemukakan oleh Stephen R. Covey iaitu "Put First Thing First"..atau  "berikan keutamaan kepada yang terutama - keluarga".

(Ini berdasarkan pembentangan penulis dalam satu Seminar Pendidikan yang diadakan di Keningau) .

Rabu, 23 September 2009

KEBENCIAN MEROSAKKAN, DENDAM MENGHANCURKAN...

Apabila kita membenci dan berdendam  pada seseorang dengan apa alasan sekalipun, bererti kita telah memberikan kebenaran dan kekuatan kepadanya untuk menghancurkan hidup kita.  Ini kerana kebencian dan dendam akan menghancurkan tidur kita,  nafsu makan kita, kesihatan kita serta kebahagian kita.  Mungkin  orang berkenaan akan menari dengan gembira apabila mengetahui mereka berjaya telah membuatkan kita bimbang, marah, kacau, benci dan sebagainya. Apa yang pasti  kebencian  dan dendam kita tidak akan  melukakan hati mereka,   sebaliknya kebencian dan dendam kita telah menutup sama sekali kebahagian yang kita miliki selama ini,  malah  ia  mengubah suasana siang dan malam kita menjadi seperti neraka di dunia.

Mengikut majalah Life.."ciri utama orang yang mempunyai tekanan darah tinggi ialah suka menyimpan dendam dan kebencian.  Apabila dendam dan kebencian itu berlarutan, akan mengakibatkan tekanan darah juga meningkat dan kemudian diikuti oleh sakit jantung". Rasa benci dan dendam terhadap orang lain membuat kita tidak dapat menikmati hidup ini, bahkan makanan pun kita tidak dapat rasakan kelazatannya.  Ia   juga akan merosakkan kemesraan hubungan kita dengan keluarga serta pasangan hidup kita.

 Memang amat sukar untuk melupakan apa yang telah dilakukan oleh orang lain terhadap kita. Walau bagaimanapun jika kita tidak dapat mencintai seseorang kerana ia telah menyakitkan kita,  paling tidak kita harus mencintai diri kita sendiri.  Mari kita cintai diri kita semaksimum mungkin, sehingga orang tidak boleh merosakkan kebahagian, kesihatan dan kehidupan kita.  Shakespeare pernah mengatakan; "jangan menyalakan api untuk membakar musuh kita sedemikian panas, sehingga anda sendiri hangus oleh kerananya".

Sebenarnya, tidak ada orang yang boleh menggangu kehidupan bahagia kita, kecuali kalau kita membenarkannya.  Daripada menyimpan benci lebih baik kita mengasihi mereka, daripada  memupuk dendam lebih baik kita memberi kefahaman, simpati, pertolongan, pengampunan serta doa untuk mereka.  Ya.. mari kita belajar melakukannya.    Janganlah kita mensia-siakan waktu satu minit pun untuk memikirkan orang yang tidak kita senangi,  kerana perasaan benci dan dendam itu tidak akan menambah walau seminit pun hayat kita.

Selasa, 22 September 2009

PITAS KELUAR DARI BELENGGU KEMISKINAN MELALAUI PROJEK AGROPOLITAN

Dipetik dari Harian Ekspres bertarikh 22 Sept. 2009.

PITAS: Pitas, yang dua tahun lepas dikategorikan sebagai daerah termiskin di Sabah dan kedua termiskin di Malaysia, kini mengorak langkah untuk keluar daripada belenggu itu melalui projek Agropolitan yang dimulakan tahun ini.

Pegawai daerah Pitas Sapdin Ibrahim berkata projek itu melibatkan penanaman getah secara berkelompok seluas 10,000 hektar di Semenanjung Bengkoka.  Di bawah projek ini juga para peserta masing-masing diberkan seunit rumah.

Sapdin berkata untuk tahun ini saja, kerajaan memperuntukkan RM72 juta untuk pembinaan infrastruktur seperti rumah, jalan raya, bekalan elektrik dan air di bawah projek ini, manakala peruntukan tahun depan adalah RM48 juta.

Kalau dua tahun lalu Pitas merupakan daerah termiskin di Sabah, kini ia di tempat ketiga selepas Nabawan dan Kota Belud.  Beliau berkata ketika ini terdapat 1,491 Ketua Isi Rumah Masyarakat Termiskin (KIRMT) berbanding 2,381 KIRMT dua tahun lepas.

Pitas yang terletak kira-kira tiga jam perjalanan darat dari Kota Kinabalu, mempunyai 194 kampung dengan jumlah penduduk kira-kira 40,000 orang yang terdiri daripada kaum Sungai, Rungus, Bajau dan Suluk, yang kebanyakannya merupakan petani dan nelayan.

Rabu, 16 September 2009

TARIKH YANG PERLU DIHARGAI

Beberapa tahun yang lalu saya ditegur oleh isteri gara-gara tidak mengingati tarikh pacaran kami yang pertama  Begitu juga ketika memasukkan maklumat dalam susur galur keluarga di rumah abang saya ,sekali lagi saya terkena "tamparan kata" kerana gagal mengingati tarikh perkahwinan.  Ya betapa pentingnya sesuatu tarikh itu kepada kita..

Setiap kali harijadi anak, kami akan membuat sedikit jamuan samada untuk kami sekeluarga sahaja, bersama saudara terdekat ataupun bersama rakan-rakan. Waktu itu kek akan disediakan dan anak-anak akan didoakan agar terus dekat dengan Tuhan. Oleh kerana  harijadi itu sangat penting bagi mereka, saya tidak boleh melupakanya,  jika terlupa mereka pasti akan marah. Ulang tahun perkahwinan juga biasanya akan diingati. Ulang tahun perkahwinan kami yang ke-10, kami raikan dengan merakam photo bersama anak-anak di studio. Kalau semasa kahwin kami hanya dua orang dalam photo, namun selepas 10 tahun berlalu kami  ditemani oleh anak-anak.

Ini semua gambaran betapa pentingnya sesuatu tarikh. Seseorang yang tidak mengetahui tarikh kelahirannya mungkin boleh dianggap  tidak siuman . Jika seseorang  itu berumur 20 tahun, tetapi mengaku umurnya 35 tahun mungkin boleh dianggap separuh tiang alias gila, begitu juga disebaliknya. Mungkin  ada kekecualiaan bagi mereka yang masih "ingusan" ataupun yang sememangnya ada masalah mental. Walaupun golongan ini tidak mengetahui  dan tidak mengingati umurnya ia masih boleh diterima akibat keterbatasan  akalnya. Namun bagi mereka yang cukup dewasa kealpaan terhadap umurnya sukar diterima. Ya.. sesuatu tarikh itu teramat istimewa dan mempunyai makna yang tersendiri .

Salah satu tarikh yang amat penting ialah 16 September 1963. Ia penting kerana pada tarikh inilah terbentuknya negara Malaysia. Ia bukan sekadar rekaan dan jauh daripada retorik politik semata-mata. Malah  ia tercatat dalam sejarah sebagai bukti bahawa ia berbentuk fakta.  Pembentukan Malaysia pada tarikh ini juga bukan mitos atau sekadar khayalan sahaja tetapi  ia  adalah sah dan sahih.  Justeru sebagai rakyat yang mencintai Malaysia mari kita terus mengingati dan  menghargai tarikh 16 SEPTEMBER 1963. Dan sebagai warga Malaysia jangan sekali-kali kita melupakan TARIKH KERAMAT ini apa lagi tidak mengendahkannya.

Selamat  Hari Malaysia..Saya mencintaimu Malaysia dan bangga menjadi salah seorang daripada wargamu.

Sabtu, 12 September 2009

ISTIMEWANYA SABAH

Kelmarin (11.09.2009) saya telah menghadiri upacara perkahwinan seorang kawan di gereja St. Francis Xavier Keningau. Perkahwinan ini disempurnakan oleh Bishop Datuk Cornelius Piong. Kami sekeluarga pergi menghadirinya atas nama seorang kawan dan ingin turut bersama meraikannya, bukan apa sesuatu yang baik itu perlu dirai lagipun  perkahwinan yang merupakan satu ikatan kudus yang hanya sekali seumur hidup mereka. Rupa-rupanya pada waktu itu terdapat dua pasangan yang berkahwin serentak. Ini menambahkan kemeriahannya, tetapi yang lebih istimewa ialah kehadiran kawan2 dan saudara-mara pengantin yang beragama lain khususnya dari kalangan yang Islam (saya tidak pasti kalau ada yang budha).

Ketika melihat, bercerita dan berinteraksi saya dapati bangsa Sabah benar-benar unik, istimewa dan ada kesepaduan.  Semasa duduk dan menikmati acara tersebut, suara hati saya berbicara alangkah baiknya jika keikhlasan, kemurnian dan keterbukaan hati orang Sabah terus terpelihara. Walaupun mungkin kita berbeza dari segi agama, bahasa, dan kaum namun kita adalah saudara dan sahabat .Harapan kita agar persaudaraan dan persahabatan ini tetap utuh walaupun ada anasir2 luar yang cuba memporak-porandakannya.

Ya..saya benar-benar bersetuju bahawa Sabah ( juga Sarawak) adalah contoh negeri yang kukuh integrasi kaumnya. Seperti yang pernah kawan  saya katakan (teman semasa di Universiti dulu),  saudara maranya sendiri terdiri daripada pelbagai keturunan dan agama,  ada yang beragama Islam, Pagan , Kristian dan ada juga yang berkahwin dengan orang Cina atau India. Pendek kata Sabah sebenarnya sudah lama mempraktikkan  Satu Malaysia dari segi perpaduan..Ya..saya cinta Sabah.

Jumaat, 11 September 2009

MABUK, MABUK DAN MABUK LAGI

Menurut Utusan Pengguna (Sept-Okt 2009), Malaysia merupakan negara kesepuluh  terbesar dalam pengambilan alkohol di dunia dan ia semakin meningkat setiap tahun. Rakyat Malaysia dikatakan berbelanja lebih daripada RM2 bilion ke atas alkohol dalam bentuk bir dan arak murah(samsu). Mungkin data ini tidak mengambilkira arak buatan tradisi seperti bahar, kinomol, gantangon, lihing, tapai dan sebagainnya. Menurut  akhbar ini lagi meminum alkohol  sehingga mabuk memudaratkan masyarakat kita terutama diri dan kelurga pemabuk.

Bahaya yang berkaitan dengan mabuk ini sudah lama diketahui.  Antaranya ia berpotensi menjejaskan kesihatan peminum secara peribadi, dikaitkan dengan insiden kemalangan jalan raya, penderaan dan pengabaian kanak-kanak, keganasan rumah tangga, pembunuhan, kemiskinan, tidak hadir bekerja, keruntuhan rumah tangga, produktiviti yang rendah dan seribu satu macam lagi keburukannya.

Saya masih ingat beberapa kejadian ketika berada di bangku sekolah.  Pernah terjadi semasa musim perayaan pesta menuai, dan terdapat beberapa orang yang mabuk kerana aramaiti. berlaku perselisihan faham suami mabuk memukul isterinya (sungguh memalukan) ending daripada aramaiti ialah si suami menabrak dinding rumah mereka (dibuat daripada bambu).  Setelah sedar dari mabuk, dia membaiki semula rumahnya.., nasib juga rumahnya diperbuat daripada bambu sahaja dan tidak susah untuk membaikinya. Menurut orang-orang kampung kejadian seumpama itu sudah berulang beberapa kali akibat kemabukan tapai yang tidak berkesudahan..

Kejadian yang kedua ialah pada hari pertama para pelabur dibenar mengeluarkan bonus ASN, ramai pelabur kecil2an dari kampung yang mengeluarkan wang mereka di Pejabat Pos KM. Setelah penat berbaris dan menunggu merekapun  "menabur  wang" mereka dengan membeli minuman keras di kedai  Km....(tak perlu sebut nama kedai berkenaan), beberapa di antara mereka yang terlalu mabuk kepayang tidur bergelimpangan di kaki lima kedai berkenaan..Sungguh menyedihkan dan memalukan apalagi kesemua mereka adalah orang kita (istilah Ampal)...kasihan


Persoalannya,  setelah berpuluh atau berbelas tahun adakah kejadian seumpama ini masih berlaku?. Masih adakah yang tidur bergelimpangan di kaki lima kedai, tidur di tepi jalan, memukul anak bini, merosakkan rumah sendiri dan menjadikan anaknya gelandangan tidak menentu di kota2 kerana melarikan diri dari seorang bergelar bapa yang pemabuk?..ya..kesannya negatifnya terlalu banyak..mungkin kata aramaiti diganti dengan kata arahmati...kerana "mungkin" kemabukan itu membawa kehancuran bangsa..

Saya Mencintai Malaysia, Saya Mencintai Sabah dan Saya Mencintai Kota Marudu..

Isnin, 7 September 2009

Si Tukang Mimpi Yang Hanya Berangan-angan

Saya teringat satu cerita yang tentang Mat Jenin. Saya percaya kawan2 pun pernah mendengarnya. Mat Jenin seorang pemuda kampung yang miskin dan hanya bekerja sebagai pengutip buah kelapa namun berangan-angan untuk berkahwin dengan puteri raja yang kononnya sangat cantik. Kemudian diceritakan Mat Jenin ini mula berimaginasi, mungkin "proses interior monolog dan monolog" berlaku dalam jiwanya yang sedang bergelora dengan rindu dendam pada puteri berkenaan. Sebenarnya angan-angan si tukang mimpi ini tidak diketahui oleh orang lain apalagi oleh tuan puteri.

Ketika Mat Jenin berangan-angan, dia sebenarnya berada di atas pokok kelapa. Diapun membuat perancangan (dalam khayalannya saja) yang cukup tersusun untuk mendapatkan wang bagi tujuan mengawini puteri tersebut.  Rancangannya ialah dia akan memetik banyak buah kelapa kemudian menjualnya,hasil jualan itu akan digunakan untuk membeli ayam yang akan diternaknya., kemudian dia akan menjualnya dan menternak kambing pula.  Selepas itu, kambing-kambing itu akan dijual dan mula menternak lembu.  Selepas lembu bertambah  banyak dia akan menjualnya dan daripada hasil jualan itu dia akan mampu menghawini puteri berkenaan.  ...kemudian mereka berkahwin. Dalam kegembiraan palsu berkenaan dia melepaskan pelukan pada batang pokok kelapa lalu terjatuh dan meninggal dunia., kerana semasa dia berangan-angan dia telah alpa bahawa dia masih berada di atas pokok kelapa berkenaan, masih miskin dan masih pengutip buah kelapa...pendek kata Mat Jenin benar-benar mati dalam kerana khayalannya.

Moral cerita jenaka berikut ialah angan-angan sahaja tanpa perancangan dan tindakan tidak membawa apa-apa perubahan. Perancangan yang hanya ada dalam fikiran hanya bersifat teori dan tidak berfaedah sebelum ia direalisasikan dalam bentuk tindakan. Impian tanpa perancangan dan tindakan sekadar dianggap angan-angan di siang hari. Walaupun keinginannya hebat (berkahwin dengan puteri raja),tetapi malangnya dia bukanlah seorang pejuang sebenar, kerana hanya berupaya untuk bermain-main dengan imaginasinya tanpa tindakan untuk merealisasikannya. .

Tapi kalaulah perancangan khayalannya itu diusahakan dalam bentuk nyata, mungkin penghujung  ceritanya berubah. Bukan kematian tetapi kejayaan, bukan kegagalan tetapi kecemerlangan, dia bukan lagi digelar si Tukang Mimpi , tetapi si Penakluk Impian.  Kalaupun mungkin dia masih gagal berkahwin dengan puteri raja, tapi tidak mustahil dia akan menjadi usahawan kaya-raya yang menjadi rebutan gadis-gadis kampung pada zamannya, ataupun menjadi seorang pemimpin muda  yang membantu bangsanya bagaimana merealisasikan sebuah impian. Selamat berimpian dan selamat merealisasikannya melalui tindakan kita.

Jumaat, 4 September 2009

NASIHAT ORANG-ORANG TUA

Nasihat orang-orang  tua biasanya mujarab. Ini kerana mereka dianggap lebih berpengetahuan, berilmu atau sekurang-kurangnya lebih berpengalaman daripada golongan yang lebih muda.  Itulah sebabnya ada ungkapan seperti "lebih dahulu makan garam, lebih dahulu melihat bumi" dan sebagainya. Maksudnya paling tidakpun mereka lebih dahulu berada di bumi ini daripada golongan muda.   Saya percaya kita banyak kali mendengar nasihat daripada mereka.. Di sini saya kongsikan beberapa nasihat yang pernah diberikan oleh orang-orang tua kepada saya untuk tatapan kita semua;

  • Semasa  melaporkan diri untuk bertugas kepada pengetua, beliau telah memberikan nasihat kepada saya agar berhati-hati agar tidak terperangkap dan diperangkapkan oleh tiga perkara iaitu wanita, judi dan arak.  Menurut tuan pengetua berkenaan ramai yang hidup dan keluarganya berantakan kerana pengaruh tiga perkara berkenaan.
  • Semasa saya dikejutkan oleh budaya penyakit rasuah (lama-lama dulu semasa bekerja di salah satu jabatan...), saya telah meminta nasihat daripada seorang pemimpin gereja..nasihatnya ialah jangan sekali-kali menerimanya kerana ia akan mengikat kita hingga kita akan terhutang budi. Akibatnya kita akan terperangkap dan rantaian perbuatan rasuah itu akan berterusan hingga sukar bagi kita untuk melepaskan diri. Nasihat beliau menjadi pegangan saya hingga kini.
  • Dalam satu seminar, seorang pemimpin sebuah organisasi memberi nasihat tentang sikap pekerja dan pengikut yang baik. Selagi kita berada dalam sesebuah organisasi, jangan sesekali memburukkan nama  organisasi kepada orang luar, kerana kita adalah sebahagian daripada organisasi berkenaan. Sebagai pengikut, jangan perkecilkan dan jejaskan nama baik pemimpin kita kerana satu masa nanti kita juga mungkin akan menjadi pemimpin dalam organisasi berkenaan.Biasanya pemimpin melihat ke bawah dalam ruang yang lebih luas,  manakala pekerja/pengikut hanya melihat dalam ruang yang lebih sempit.
  • Semasa pertunangan saudara saya, nasihat daripada orang tua ialah menjaga tertib pertunangan.  Pertunangan tidak bererti sudah boleh hidup seperti suami isteri. Perlu berhati-hati,  kerana walau sekuat mana pendirian untuk menjaga kesucian diri tetapi jika tidak menjaga tertibnya akan kecundang juga.Umpamanya" batang pisang walaupun basah, namun jika dibakar lama kelamaan ia akan hangus juga"(Ini macam peribahasa,  tetapi tiada pula dalam buku..di mana agaknya orang tua mengaji..)
Setelah saya imbas kembali dan renung-renungkan nasihat orang-orang tua ini ada juga kebenarannya. Mungkin ini disebabkan pandangan dan nasihat mereka adalah berdasarkan pengalaman dan pemerhatian mereka seharian.

Khamis, 3 September 2009

TITIPAN BUAT BAKAL PEMENANG

Setiap orang ingin berjaya dalam hidup mereka. Samada sebagai seorang pelajar,  pentadbir,  guru, peniaga, pemimpin dan sebagainya. Walau bagaimanapun untuk berjaya memerlukan pengorbanan dan kesabaran. Ini kerana untuk mencapai kejayaan kita akan berhadapan dengan kegagalan. 

Kegagalan sebenarnya merupakan kejayaan yang tertunda. Kejayaan lahir dari kegagalan. Orang-orang berjaya seperti kolonel Sanders (pendiri KFC) tidak takut terhadap kegagalan, kerana setiap kegagalan membawanya menghampiri kejayaan. Orang berjaya tidak hidup dalam kegagalan tetapi mereka akan menguburnya dalam-dalam.

Di depan setiap harapan pasti ada cabaran. Jika anda hanya melihat pada masalahnya, anda akan kehilangan harapan. Para Pemenang melihat pada apa yang mereka impikan( destinasi), tetapi golongan gagal hanya melihat apa yang mereka alami.  Setiap orang harus berhadapan dengan banyak hal, tetapi mampu mengatasinya merupakan perbezaan antara mereka yang mencapai keunggulan dengan mereka yang berkubang dalam kegagalan.
    Hal terburuk dalam hidup ini bukanlah kegagalan itu, tetapi keputusasaan apabila berhadapan dengan kegagalan berkenaan. Para juara, bukanlah orang yang tidak pernah mengalami kegagalan, melainkan orang yang tidak pernah menyerah pada kegagalan. Jadi bertahanlah dan berusaha sehingga anda menang.

    Rabu, 2 September 2009

    RENUNG-RENUNGKAN....DAN FIKIR-FIKIRKAN

    Setiap kali kempen pilihan raya kita dipertontonkan oleh "perbuatan mulia" calon.  Calon sanggup duduk bersimpuh di lantai usang para warga emas yang daif, calon memeluk kanak-kanak istimewa, calon meredah lumpur dan selut untuk sampai di rumah para balu yang melarat, dan bermacam-macam perbuatan baik mereka. Semua perbuatan baik ini dirakam yang kemudiannya akan dijadikan berita utama dalam media massa.  Bahkan semasa bantuan dihulurkan, "tukang gambar" berebut-rebut untuk mengambil gambar pada posisi yang paling mengujakan. Kadang2, kita berfikir adakah ia benar2 ikhlas atau dibuat-buat sahaja?, tetapi apabila ia terlalu dipublisitikan semacam ia lebih melucukan dan membuatkan para khalayak yang pandai berfikir merasa muak...yakkk..                                                
    Persoalannya adakah amalan mulia dan "sepatutnya" ini seperti  melawat dan memberi bantuan kepada yang kurang bernasib baik tetapi berhak untuk mendapatkannya akan berterusan selepas pilihan raya...Ramai "bekas calon" yang tidak mengamalkan amalan2 mulia ini selepas pilihanraya...

    Sebagai warga biasa, kita mengharapkan agar amalan ini benar-benar ikhlas dan bukan sekadar wayang kulit sahaja. Saya ada seorang bekas murid yang setiap minggu menderma makanan dan barang keperluan di salah satu rumah kebajikan di Likas (rumah orang cacat),  tetapi tidak pernah mewar-warkannya..,ada juga yang memberi derma yang agak banyak kepada rumah-rumah ibadat tetapi meminta agar nama mereka dirahsiakan. Selain itu, ada kawan saya (bukan Islam, guru ja) yang setiap hari raya akan memberi angpau kepada tukang sapu dan pengawal keselamatan sekolah (tentunya mka beragama Islam) tetapi orang lain tidak tahu.  Apabila direnung....mungkin golongan ini lebih ikhlas sumbangannya..kepada orang yang memerlukan..