Sejak di bangku sekolah saya sudah berimpian untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat
ijazah dengan menjadikan mereka yang sudah berjaya dalam pendidikan dan kerjaya sumber inspirasi. Kemiskinan keluarga juga menjadi pendorong saya, Kemiskinan keluarga juga menyebab saya hanya berjaya menjejakkan kaki ke Kota Kinabalu pada tahun 1984 iaitu selepas peperiksaan SPM untuk mencari kerja.
Dari segi segi akademik saya bukanlah seorang pelajar pandai, saya pernah gagal dalam penilaian Tahun Enam dan mengambil peperiksaan STPM sebanyak tiga kali baru lulus penuh untuk layak ke Universiti Sains Malaysia untuk mengambil Ijazah Sarjana Muda Pendidikan. Untuk melanjutkan pendidikan dalam peringkat Sarjana juga banyak halangan. Proposal yang saya hantar di dua IPTA ditolak. Namun ini tidak mematahkan semangat saya, keluarga banyak memberikan dorongan. Misalnya bapa saya pernah mengatakan, "kalau satu pintu tertutup, pasti
Tuhan akan buka pintu yang lain, kalau kita tidak berputus asa". Akhirnya saya
diterima melanjutkan pengajian Sarjana di Unisel secara sepaaruh masa dengan perbelanjaan sendiri. Saya berjaya menyelesaikan pengajian Sarjana pada tahun 2012 dengan Gred Purata 3.91. Pada bulan september 2013 saya meneruskan pengajian ke
peringkat Doktor Pendidikan (EdD) di universiti yang sama.
Banyak faktor yang mendorong saya untuk sampai ke peringkat kedoktoran, kesusahan hidup masa kanak-kanak (berjalan kaki sejauh 4 batu pergi balik sekolah), berjualan sayur dan buah bersama para ibu-ibu di pasar Bandau semasa
tingkatan 1-2, tinggal di rumah setinggan yang tiada bekalan
elektrik dan air, tinggal di bilik sempit bersama enam orang yang lain di kota Kinabalu dan kegagalan membeli buku rujukan
kerana kemiskinan keluarga memberi galakan kepada saya untuk terus berusaha. Di samping itu ibubapa dan keluarga juga banyak memberikan
dorongan dan keyakinan kepada saya bahawa, "pendidikan merupakan salah satu alat
yang mampu mengubah kehidupan." Oleh itu saya juga bertekad untuk mengubah nasib keluarga dan memutuskan rantai kemiskinan yang diwarisi turun temurun.
Bagi saya pencarian ilmu tidak pernah berhenti,
kerajaan juga memberikan banyak peluang untuk kita melanjutkan pendidikan
selaras dengan dasar pendidikan sepanjang hayat. Oleh itu saya meneruskan pengajian ke
peringkat kedoktoran kerana saya percaya banyak teori ilmu pendidikan,
kepemimpinan , kepengurusan, komunikasi, budaya dan sebagainya yang boleh diaplikasikan dalam
kerjaya sebagai pengurus, pemimpin dan pendidik di sekolah dan masyarakat.
Walaupun banyak rintangan yang ada namun saya hadapinya dengan memenuhkan minda saya
dengan kata-kata positif dan berinspirasi sehingga
minda separa sedar saya diisi dengan istilah serta impian yang mampu membangkitkan semangat saya untuk menyelesaikan pengajian ini. Usaha gigih, banyak membaca, membuat banyak rujukan
dan kurang tidur adalah perkara biasa
apa lagi jika bekerja sambil belajar.
Walau bagaimanapun dengan sokongan penyelia dan pensyarah,
isteri dan anak-anak, keluarga besar saya serta rakan – rakan
yang sentiasa memberikan semangat telah memudahkan saya menyelesaikan pengajian ini.
Harapan saya agar kejayaan kecil ini
dapat memberikan inspirasi buat anak – anak saya dan anak-anak murid
saya serta semua yang dahagakan kejayaan. Dalam dunia ini “tiada suatupun yang mustahil,
semuanya serba mungkin” termasuk dalam pendidikan. Para ibubapa berilah
sokongan kepada anak-anak untuk berjaya, tanamkanlah kata – kata positif kepada
mereka bahawa mereka boleh berjaya.
1 ulasan:
Salam cikgu, boleh saya dapatkan emel ataupun nombor hp cikgu? Untik sedikit pertanyaan.
Terima kasih
Catat Ulasan