Selasa, 23 Februari 2010

TANGGUNGJAWAB PENTING SEORANG ISTERI TERHADAP SUAMINYA

Bahagian 2:Tanggungjawab isteri

Posting yang lalu saya mengemukakan beberapa cadangan tentang peranan atau tanggungjawab seorang yang bergelar suami dalam institusi perkahwinan. Pada kesempatan ini saya cuba membincangkan pula mengenai tanggungjawab penting para isteri terhadap kerukunan dan kebahagian rumah tangga. Secara prinsip suami dan isteri mempunyai nilai yang sama di hadapan Tuhan.Malah mereka disatukan untuk "saling melengkapi dan saling bergantung" antara satu sama lain. Oleh yang demikian sebagai isteri wanita harus hidup dengan bijaksana dan mempu membuat sesuatu pertimbangan dengan berpandukan pada nilai-nilai yang mulia dalam segala hal. Antara tanggungjawab utama seorang isteri ialah;

  • MENCINTAI SUAMI DENGAN SEPENUH HATI
Mencintai suami merupakan suatu tuntutan mutlak seorang suami daripada isterinya. Bukan sekadar mencintai tetapi mencintainya dengan sepenuh hati, jujur dan juga setia pada perkahwinannya. Mencintai sepenuh hati bererti mencintai tanpa syarat. Ketika seorang gadis mengambil keputusan untuk berkahwin dengan kekasih hatinya, maka harus difahami bahawa keputusan itu merupakan suatu komitmen seumur hidup. Sama seperti lelaki harus mengasihi, mencintai dan setia terhadap isterinya dengan sepenuh hati, maka hal yang serupa juga wajar dan harus dilaksanakan oleh isteri. "Cinta dan kesetiaan seorang isteri bukan didasarkan pada tingkahlaku suami, tetapi kepada nilainya sebagai pemberian Tuhan buatnya". Dia mungkin tidak sempurna tetapi dia adalah pemberian Tuhan yang sempurna.Tegasnya cinta seorang isteri memerlukan tindakan pengorbanan.

  • MENGHORMATI SUAMI
Prinsip yang berikutnya ialah seorang isteri harus menghormati suaminya.Dalam kepercayaan saya, penghormatan bererti menggangkat orang itu dengan sukarela atas dasar pertimbangan dan perlakuan khusus iaitu .".setiap suami harus mengasihi isterinya seperti dia mengasihi dirinya sendiri, dan setiap isteri harus menghormati suaminya.." Apabila seorang isteri menghormati seorang suaminya, suami itu akan berasa bangga manakala keyakinannya akan meningkat. Tindakan menghormati suami merangkumi memahami dan menyatakan penghargaan terhadapnya.

  • MEMBERI SOKONGAN KEPADA SUAMI
Maksud sokongan di sini ialah memberi tumpuan pada melengkapi, bukan menjadi saingan kepada suami.Sokongan anda sebagai seorang isteri akan mendorong suami anda menjadi seorang pemimpin keluarga yang taat dan percaya pada Tuhan. Ada kata-kata nasihat kepada para isteri yang berbunyi ; " taatlah kepada suami seperti anda taat kepada Tuhan." Taat bererti juga mendorong suami untuk memimpin keluarga dan memperlihatkan kesediaan mengikutinya, malah harus juga menyokong daya usaha suami. Suami juga memerlukan sokongan isteri semasa berada di khalayak ramai ataupun di hadapan orang lain. Seorang suami yang baik menganggap isterinya lebih berharga daripada permata,malah lebih bernilai daripada apa-apa pun di dunia ini (kecuali Tuhan). Dia mempunyai keyakinan terhadap isterinya. Isteri yang dibanggakan oleh suami adalah isteri yang seumur hidupnya berbuat baik terhadap suaminya dan tidak berbuat jahat kepadanya.

  • MENDOAKAN SUAMI
Suami anda adalah manusia biasa, dan bukan malaikat. Dia juga masih tinggal di bumi yang penuh dengan pancaroba. Oleh kerana dia manusia biasa pastinya dia masih memiliki kelemahan,kekurangan dan keinginan yang tidak selari dengan kehendakNya. Secara spiritual para suami memerlukan kekuatan, dokongan dan teman agar berjaya mengharungi cabaran-cabaran kedagingan, godaan ketamakan, keserakahan nafsu, meminggirkan keluarga dan sebagainya. Peribadi yang paling sesuai untuk menjadi temannya ialah isternya sendiri. Dalam hal ini menjadi satu keharusan buat isteri untuk sentiasa berdoa buat suaminya. Mendoakan suami merupakan tindakan yang paling wajar dan bijak, malah kita dituntut juga untuk saling mendoakan. Persoalannya, bagaimana seorang isteri dapat mendoakan suaminya jika dia sendiri belum  ataupun tidak percaya kepada Tuhan. Ada kata-kata yang berbunyi.."doa orang yang melakukan kehendakNya, sangat besar kuasanya". Lantaran itu, para isteri terlebih dahulu perlu mendekatkan diri kepada Tuhan dan mempercayaiNya dengan segenap akal budi dan sepenuh hati. Berdoa untuk suami   harus diberi keutamaan oleh seorang isteri. Sentiasa mendoakan suami dan menyerahkan suaminya kepada Tuhan memerlukan komitmen yang berterusan daripada seorang isteri.

Kesimpulanya, para suami atau isteri mari kita saling memperhatikan dengan hati yang rindu untuk memperbaiki yang rosak atau retak dan bukan dengan kebencian dan dendam mencari kesalahan lantas menambahkan luka rumah tangga. Sebagai suami atau isteri kita memiliki tanggungjawab bersama bukan sahaja untuk memberikan kebahagian kepada pasangan kita,tetapi juga memastikan keluarga yang dibentuk sentiasa terurus sebagaimana kehendakNya. Pada waktu kita komited untuk melaksanakan ketetapan Tuhan dalam perkahwinan dan menyerahkannya pada Dia pastinya kita akan diberi kemampuan untuk mendemonstrasikan cinta, kesetiaan, penghargaan, sokongan dan pengorbanan terhadap pasangan kita. Mari kita mengharapkan sesuatu yang positif iaitu agar rumah tangga akan berkekalan sampai akhir hayat. Malah menjadi "sorga dunia" bagi setiap pasangan dan anak-anaknya.

Salam dan semoga damai bersama kita sentiasa,,,

Jumaat, 12 Februari 2010

TANGGUNGJAWAB PENTING SEORANG SUAMI TERHADAP ISTERINYA

Bahagian 1:Tanggungjawab Suami

Tulisan ini sebenarnya tercetus ekoran cadangan daripada seorang rakan blogger melalui komennya (dalam posting sebelum ini) agar cadangan untuk mengatasi masalah pengkhianatan pasangan dalam perkahwinan dapat ditulis.Hal pengkhianatan dan penyelewengan suami (juga isteri) terhadap pasangan mereka sememangnya sering kita dengar.Masalah ini amat berkaitan dengan godaan seks, suatu godaan yang amat berat bagi seorang lelaki termasuk mereka yang sudah bergelar suami.Pengkhianatan ini akan berterusan jika nilai agama dan kekudusan perkahwinan itu terus dipinggirkan.Terlalu banyak "mahligai keluarga" hancur berantakan akibat tiadanya rasa hormat terhadap kesucian institusi rumah tangga. Implikasinya bukan sahaja melukakan hati pasangannya malah akan menghancurkan masa depan anak-anak yang menjadi penerus kepada generasi mereka.Saya akui diri ini juga tidak sempurna (tiada manusia yang benar2 sempurna dalam dunia ini) namun perkongsian ini diharap dapat  membantu "memugar kembali" keindahan mahligai yang hampir ranap akibat taufan kecurangan dan mengajak kita berfikir untuk kembali ke pangkal jalan. Kepada yang masih bujang, sekurang-kurangnya ini dapat dijadikan panduan untuk berkeluarga pada masa hadapan.Cadangan untuk mengatasinya amat berkaitrapat dengan pemahaman terhadap tanggungjawab suami dan isteri dalam perkahwinan;


SUAMI PERLU MENGASIHI ISTERINYA SEBAGAIMANA TUHAN MENGASIHI ...
Tuhan itu amat baik, Dia mencipta dan memberikan kita peluang menikmati hidup ini malah Dia juga turut menyediakan semua yang kita perlukan, termasuklah pasangan hidup kita.Ini bukti bahawa Tuhan itu mengasihi.Seperti Tuhan mengasihi manusia, maka para suami juga dituntut memiliki kasih sedemikian rupa.Jika kasih Tuhan itu amat tulus dan murni, maka suami sewajarnya mengasihi dan mencintai isterinya dengan tulus dan sepenuh hati.Adakah prinsip ini terlalu ideal?..sebagai suami saya percaya, "kasih seperti ini adalah hadiah paling berharga yang dapat diberikan oleh suami kepada isterinya". Ini juga bermaksud suami wajar bersedia menolong isteri mengembangkan kelebihannya, berkorban demi isteri, membantu isteri mencapai impian dan minat mereka.Suami juga wajar mengasihi pasangannya dengan penuh lemah lembut, mesra bahkan melindungi isterinya daripada segala godaan daripada si jahat. Sebagai suami kita juga dituntut untuk tidak mengkhianati isteri kita.


SUAMI PERLU MENGASIHI ISTERI SEPERTI DIRINYA SENDIRI
Ini merupaka satu tuntutan yang murni dan menggambarkan betapa berharganya isteri itu kepada pasangannya. Siapakah manusia yang tidak mencintai dirinya sendiri? jika anda mengasihi diri sendiri, bermakna anda tidak ingin menyakitinya, melukainya, mencederakannya.Oleh itu perbuatlah seperti itu juga pada pasangan kita. Isteri adalah untuk dikasihi, dicintai dan disayangi.Dia juga penolong dan pelengkap pada seorang suami dan bukan  tempat melempiaskan keganasan, kekejaman dan kemarahan.Dia bukan sasaran penumbuk dan penampar, juga bukan seperti sebiji bola yang fungsinya untuk ditendang tetapi dia adalah  peribadi yang diberikan Tuhan untuk hidup bersama kita. Tempohnya bukan untuk sementara waktu tetapi untuk seumur hidup. Nah jika kita sebagai suami tidak ingin dikhianati dan dicurangi, maka kita juga jangan  mengkhianti dan bertindak tidak jujur padanya.


SUAMI PERLU MELINDUNGI DAN MENGHARGAI ISTERINYA
Para isteri adalah manusia dan memiliki perasaan. Oleh itu sebagai isteri bagaimanakah  mereka merasa dilindungi, dikasihi dan dihargai oleh suami mereka;Suami perlu mewujudkan kemesraan dalam perhubungan, mereka juga wajar diterima tanpa syarat. Justeru apapun latarbelakang keluarganya, latar belakang isteri, kelemahan dan kekurangan isteri ia wajar diterima tanpa syarat. Budaya ungkit mengungkit peristiwa lampau dan kelemahan pasangan perlu dihentikan kerana ia bukan petanda ciri menghargai tanpa syarat.Bukankah semasa memulakan perhubungan kelemahannya kita tidak peduli?. Seterusnya sebagai orang yang percaya Tuhan, suami harus memimpin pasangannya lebih mengenali Tuhan serta menjadi teladan yang baik bukan sahaja kepada isterinya malah juga pada anak-anak. 


SUAMI PERLU MENJADIKAN TUHAN SEBAGAI TUNJANG RUMAH TANGGA
Membentuk keluarga bukanlah semudah yang disangka.Semasa di alam percintaan, mugkin semuanya serba indah tetapi realitinya selepas berkahwin terlalu banyak cabaran dan ranjau yang perlu dihadapi. Ia melibatkan perasaan dan komitment kedua-dua pihak. Itulah ada kata-kata berbunyi "rumah dibina menggunakan batu bata tetapi rumah tangga dibina oleh dua hati".Suami sebagai ketua keluarga perlu berwibawa agar kerukunan keluarga dapat dinikmati. Para suami perlu menjadikan Dia sebagai Tuhan dan tunjang rumah tangga. Berdasarkan kekuatan dan kebolehan sendiri amat sukar, walau bagaimanapun apabila para suami memohon dan berdoa agar Dia menjadi Tuhan dalam hubungan suami isteri pasti Tuhan akan memberikan wibawa itu kepada suami.

Sebenarnya dalam melayari rumah tangga setan tidak senang melihat kebahagian, kerukunan dan kedamaian rumah tangga. Dia ingin menghancur dan meranapkan kegembiraan itu. Dia ingin menggantikannya dengan kesakitan dan penderitaan..Mungkin dia menyerupai manusia ataupun mungkin didasarkannya pada nafsu jahat manusia. Biasanya ia dimulai dengan affair yang mungkin menyeronokkan buat sementara waktu tetapi membawa kepahitan buat isteri dan anak-anak untuk sepanjang hayat.Tetapi ..masih ada jalan keluar untuk itu, iaitu serahkan segala persoalan, penyesalan kepada Dia ,cintai isteri seperti kasih yang mula-mula dan bertindaklah dengan bijak,


Salam perpaduan dan selamat tahun baru cina kepada rakan-rakan semua.

Berjumpa pada bahagian ke 2.



Isnin, 1 Februari 2010

NASIHAT DARIPADA SEORANG TOKOH PENDIDIK...

Seminar Integriti Perkhidmatan Pendidikan yang telah diadakan pada 28.01.2010 di Kota Kinabalu telah   memberikan banyak maklumat yang boleh dijadikan panduan bagi para pendidik agar mengamalkan integriti dalam perkhidmatan.Penulis bukanlah mewakili pihak penganjur seminar tetapi hanya sekadar ingin berkongsi dengan para pembaca tentang beberapa teras perkhidmatan yang pada anggapan penulis amat penting untuk direnung bersama. Oleh yang demikian posting ini tidak akan menghurai satu persatu isi kandungan ceramah, tetapi sekadar memaparkan ilmu yang telah menyentuh sanubari keguruan dalam diri penulis.  

Salah seorang penceramah seminar ini ialah Datuk Mary Yap, seorang tokoh pendidik, mantan pengetua dan seorang konsultan di Institiut Aminuddin Baki.Menurut beliau dalam satu kajian yang telah dibuat oleh Intan pada tahun 2005 berkaitan dengan sikap para pemohon pekerjaan mendapati, "lebih 40% daripada mereka sanggup menerima rasuah jika ada peluang". Dapatan ini sungguh mengejut dan mengecewakan, ini menggambarkan betapa buruknya nilai yang ada pada sesetengah masyarakat di negara kita. Oleh yang demikian semua pihak terutamanya golongan pendidik haruslah berusaha untuk memupuk sifat integriti, nilai agama dan  moral yang mantap untuk dijadikan pegangan hidup, bukan sahaja untuk dirinya sebagai penjawat awam tetapi harus juga disebarkan pada anak didik. Dalam pada itu, para pegawai perkhdimatan pendidikan  termasuklah guru-guru perlu mempraktikkan nilai integriti dengan berpandukan pada etika perkhidmatan yang ada. Pada akhir seminar tokoh pendidik ini telah menitipkan dua prinsip yang amat penting kepada para peserta seminar, prinsip berkenaan ialah; 
  • Pertama: Jangan ambil rasuah, elakkan dan jauhi rasuah. Sebagai penjawat awam termasuk pegawai dalam perkhidmatan pendidikan, apabila kita mula terlibat dalam rasuah maka kita sudah mula terikat atau diikat oleh seseorang. Akibatnya salahguna kewangan itu akan berterusan dan amat sukar untuk menyembunyikannya. Ini juga akan menggangu prestasi kerja mereka.Malah akan membawa seribu satu macam keburukan kepada organisasi. Mereka  yang terlibat dengan perbuatan rasuah ini sentiasa dikejar mimpi ngeri , diburu rasa takut, gelisah dan cemas perbuatan mereka dikesan oleh pihak yang berwajib. 
  • Kedua: Jangan terlibat dalam perhubungan yang tidak sihat atau jangan mengkhianati pasangan hidup anda.Perbuatan terlibat dalam hubungan yang tidak sihat ataupun hubungan sulit merupakan gambaran ketidakjujuran seseorang. Jika anda seorang lelaki yang sudah beristeri, wajar jujur dan mengelakkan diri daripada terlibat dengan hubungan sumbang  dengan wanita lain.Begitu juga jika anda adalah seorang  wanita yang bersuami,seharusnya anda perlu elakkan daripada berselingkuh dengan lelaki lain. Ini kerana apabila kita mengkhianati pasangan hidup kita bererti kita telah kehilangan nilai kejujuran, ketulusan dan kesetiaan dalam hidup kita. Dan apabila nilai-nilai asas ini luput dalam diri seorang pegawai perkhidmatan pendidikan maka  implikasinya terhadap profesion pendidikan dan perguruan juga amat buruk. 
Nasihat daripada tokoh pendidik ini amat sesuai berdasarkan situasi dan cabaran yang dihadapi oleh   dunia pendidikan pada ketika ini.Menurut beliau seseorang itu mungkin boleh menyembunyikan perbuatan rasuah  atau pengkhianatan terhadap pasangan hidupnya untuk sementara waktu tetapi bukan untuk selama-lamanya. Atau walaupun kita berjaya menyembunyikannya di hadapan manusia, tetapi kita tidak mungkin dapat menyembunyikannya daripada Tuhan kita.

Salam