Ahad, 29 November 2015

MEMBUAT PILIHAN YANG TEPAT...

Salam,
Baru-baru ini seorang rakan menerima tiga jemputan perayaan untuk menghadiri krismas keluarga..sebelum itu ketika menghadiri perkahwinan seorang guru saya.. saya bertemu dengan seorang pengunjung yang memaklumkan pada hari itu sahaja terdapat enam majlis perkahwinan di daerah berkenaan..adakah dia perlu menghadiri kesemua majlis perkahwinan berkenaan?..anda perlu dan terpaksa membuat pilihan berdasarkan keutamaan atau prioritas. Saya sendiri sering mengalami situasi yang sama. Misalnya baru-baru ini terdapat  dua peristiwa sedih  yang berlaku serentak. Iaitu kematian makcik  saya dan kematian ayah kepada salah seorang staf saya. Pada masa yang sama anak kepada seorang teman rapat saya juga  menikah.   Dalam situasi begini,  saya tak mungkin dapat hadir di tiga tempat serentak. Akhirnya saya terpaksa membuat pilihan iaitu menghadiri kebaktian penghiburan  bagi keluarga makcik saya.   Ya ...kadang kala kita terpaksa membuat pilihan apabila diperhadapkan dalam situasi tertentu..dan pastinya pilihan yng kita ambil adalah yang terbaik dan tepat berdasarkan situasi dan kebijaksanaan kita.
Ketika memulakan tugas di sekolah baru kira-kira tiga bulan yang lalu, salah satu tekad saya ialah akan bersama rakan guru dan kakitangan yang menghadapi situasi yang sukar (kematian keluarga terdekat mereka) dengan cara melawat mereka.. begitu juga dengan ibubapa pelajar di sekitar sekolah. Apa lagi sekolah saya adalah sebuah sekolah kecil dan terletak di pedalaman. Namun adakalanya tekad ini gagal dipenuhi  terutamanya apabila sesuatu peristiwa itu berlaku serentak.
Baru-baru ini seorang rakan berkongsi pengalamannya berhadapan dengan sesetengah kontraktor yang pelbagai ragam. Ada yang  sanggup hingga.. meletakkan wang dalam keretanya  yang bukan sedikit nilainya demi mencapai hajat tertentu. Jika rakan ini bukan seorang yang "kuat jati dirinya dan kepercayaannya kepada Tuhan pastinya ia akan buta hati untuk menerimanya..syukurlah dia membuat pilihan yang tepat untuk Tuhannya".  Ya rakan saya telah membuat keputusan dan pilihan yang tepat..syabas

Ahad, 22 November 2015

TAHUN 2011; CABARAN DAN KESEMPATAN

Catatan ini sepatutnya saya postkan pada awal 2012, walau bagaimanapun ia tidak kesampaian disebabkan oleh kesibukan sehingga pada hari ini jumaat 13 Nov 2015.

Salam rakan-rakan,
Tahun 2011 telah berlalu, ia juga sudah menjadi suatu sejarah kerana pastinya tidak akan berulang kembali. Kalaupun mungkin terdapat peristiwa yang serupa akan berlaku namun pastinya peristiwa itu akan berlaku pada tahun yang lain. Secara peribadi terdapat dua sisi pengalaman saya dalam tahun 2011. Pada sisi yang pertama, terdapat pengalaman-pengalaman pahit yang menyakitkan, ia merupakan tahun yang paling mencabar dalam perjalanan kehidupan saya. Kesakitan, kepedihan dan kekecewaan telah cuba mengoyakkan emosi ini. Ia hampir-hampir menghancurkan keyakinan dan mematahkan keberaniaan saya untuk menghadapi hari - hari mendatang. Namun syukur kepada Tuhan yang esa kerana 'dalam situasi yang amat sulit Tuhan memberikan jalan dan  peluang baru', sentiasa ada  matahari yang memberi sinar pada siang hari dan bulan ketika malam. Ada Peribadi yang sentiasa mendukung dan  menuntun kita dan tidak pernah membiarkan kita sendirian hingga jatuh tergeletak. Ya..Dia begitu istimewa dan menjadikan kita sangat berharga di hadapanNya.
Sisi yang kedua pula, tahun 2011 merupakan tahun yang memberikan banyak kesempatan  bagi saya untuk melihat pertolongan Tuhan. Antaranya pada tahun ini saya berkesempatan membentang kajian saya dalam Seminar Pendidikan Pasca Siswazah Kebangsaan.  Ia suatu pengalaman baru bagi saya. Saya juga membantu dalam pengurusan seminar  yang telah dirasmikan oleh YB Datuk Masidi Manjun, exco pelajaran negeri. Selain itu pada tahun ini juga saya berpeluang mengikuti Program Kelayakan Profesional Pemimpin Pendidikan Kebangsaan selama lima bulan anjuran IAB Genting, Saya juga berpeluang berguru dengan Puan Julia Willie Jock  Pengetua Cemerlang JUSA C yang amat saya kagumi selama dua minggu. Seterusnya pada tahun 2011 ini juga saya  berpeluang untuk menjejakkan kaki saya di negara China dan Hong Kong yang merupakan negara ke sembilan saya lawati bersama anak lelaki saya. Ya,  jangan sekali-kali biarkan  kepedihan itu menghantui kehidupan ..sentiasa bersikap positif dan percaya bahawa Dia sentiasa bersama kita.

Ahad, 15 November 2015

SELAMAT BERJUMPA KEMBALI


Salam Transformasi,
Agak lama juga saya tak menulis apa-apa dalam blog ini disebabkan oleh kesibukan. Misalnya sibuk ketika mengikuti program EdD di Unisel yang sarat dengan tugasan, kajian, penulisan dan pembentangan disamping menghadiri kuliah.  Walau bagaimanapun dalam tempoh senyap alias sunyi berblog ini, iaitu antara tahun 2012 hinggalah 2015  banyak aktiviti dan pengalaman yang turut melibatkan penulis.
Dalam tempoh ini juga, dengan izinNya saya berpeluang melancong di beberapa negara  seperti China, Hong Kong, Jordan, Palestin dan Indonesia. Saya juga berjaya menjejak kaki di "Holy Land". Selain itu, bersama dengan beberapa rakan saya telah berjaya membuat dua kajian tindakan dan berpeluang membentang kertas kajian di dua konferen  iaitu di Seminar Pendidikan Khas 2014 peringkat Kebangsaan di hotel Novotel Kota Kinabalu dan di Seminar Pendidikan  Antarabangsa 2015 di Universiti Widyatama Bandung Indonesia. 
Pada tahun 2014 saya menghadiri temuduga kelayakan sebagai pengetua dan seterusnya dengan Kasih Kurnia daripada Tuhan saya dilantik sebagai pengetua pada 13 Julai 2015. Walau bagaimanapun saya hanya memulakan tugas pada 19 Ogos 2015.
Tegasnya dalam perjalanan hidup ini,  sentiasa ada kesibukan yang sepatutnya bukan alasan untuk tidak menuliskan sesuatu.... Seterusnya saya berharap agar catatan-catatan ringkas dalam blog ini mampu menjadi  sumber inspirasi para pembaca.
Salam.


Ahad, 9 Mac 2014

IKHTIBAR KEJADIAN KEHILANGAN PESAWAT MAS MH370

Salam
Selepas dua hari kuliah dan sementara menunggu penerbangan ke "home town" ada sedikit ruang untuk saya mencatat "sesuatu" dalam tulisan ini. yaa.. sudah lebih setahun saya  tidak aktif menulis apa-apa dalam blog ini lantaran kesibukan dan kelemahan saya mengurus masa?..betulkah ini disebabkan kelemahan mengurus masa ataupun kerana faktor "memberikan keutamaan kepada perkara yang lebih penting"?..  Ya rasanya kita ada keutamaan masing2, yang memerlukan kita untuk mendahulukan sesuatu dan meminggirkan  yang lain. Kelmarin kita dikejutkan dengan pesawat MAS MH370 yang masih gagal dikesan dengan jumlah penumpangnya seramai 227 termasuk crewnya.  akhbar hari ini juga ada menceritakan tentang seorang pelajar telah terlupa masa penerbangannya, ini  membuatkan pelajar ini tidak termasuk dalam senarai penumpang pesawat berkenaan. Isu penggunaan passport orang lain oleh dua orang penumpangnya juga mencemaskan kita..walaupun kawalan keselamatan dan langkah-langkah keselamatan yang ketat menjadi keutamaan pihak yang berwajib di negara kita selama ini, namun mungkin masih terdapat ruang untuk penembahbaikannya. Saya bersyukur kerana berpeluang melawat ke beberapa negara sebelum ini, ke Jordan, China, Korea, Palestin, Perancis, Belanda, Belgium dan beberapa negara yang lain..dan saya dapat merasakan bahawa kawalan keselamatan ketat terutama di Lapangan Terbang amat penting. ..
Akhir kata, kita  mengharapkan agar semua penumpang dan crew pesawat masih gagal dikesan ini dalam keadaan selamat..


Selasa, 2 Oktober 2012

PEMBERI MAKLUMAT RASUAH DILINDUNGI UNDANG2..


Sambungan


Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
                         
Seksyen 17 (b) Akta SPRM 2009, memberi atau menawarkan rasuah adalah kesalahan yang boleh dihukum sama berat dengan kesalahan Seksyen 17(a) iaitu menerima rasuah, iaitu penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali nilai suapan jika suapan dapat dinilai atau RM10,000 mana yang lebih tinggi.

Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010

Akta ini diwartakan pada 10 Jun 2010 berkuatkuasa sejak 15 Disember 2010 bertujuan melindungi identity pemberi maklumat, imuniti daripada sebarang liabiliti sivil atau jenayah serta perlindungan daripada sebarang tindak balas.

RUMUSAN

Akta di atas memberi jaminan kepada setiap individu agar rela dan berani untuk membuat laporan  jika mengetahui berlakunya amalan rasuah.Untuk bersikap adil kita harus juga ingat bahawa seseorang yang disyaki itu belum dianggap bersalah selagi mahkamah memutuskannya. Pun demikian apakah akta ini dapat menyelesaikan masalah yang sudah sebati dengan cara hidup sesetengah orang?. Penulis teringat cerita seorang teman yang juga seorang pendidik, beliau telah membuat sedikit tinjauan terhadap pelajarnya berkaitan dengan rasuah. Dapatan beliau ialah hampir semua pelajar “bersedia” untuk menjadi penerima ataupun pemberi wang suapan setelah mereka bekerja jika itu dapat menyelesaikan permasalahan mereka.   Malah ia juga mendapati para pelajar tidak menggangap perbuatan rasuah itu sebagai satu kesalahan ataupun dosa. Tinjauan ini menunjukkan penekanan terhadap jenayah rasuah harus dianggap penting untuk diajar di sekolah. Amalan rasuah sentiasa berlawanan dengan nilai-nilai murni seperti sifat adil, jujur dan telus. Selagi unsur2 rasuah diamalkan maka selama itulah nilai ketelusan, kejujuran dan keadilan  menjadi bahan jenaka dalam masyarakat kita. Selain itu didikan ibubapa dan agama juga amat penting dalam melahirkan generasi yang sifar rasuah. Kebencian dan perasaan bersalah apabila melakukan rasuah harus ditanam dalam jiwa seseorang sejak ia keci lagi.  Pendefinisian amalan rasuah dalam apa bentuk sekalipun dengan tujuan untuk meringankan  kesalahannnya perlulah sentiasa ditolak.Penguatkuasaan terhadap undang-undang juga akan menjadi petunjuk kepada masyarakat tentang kesungguhan pihak berwajib untuk membenteras amalan songsang ini. Sebagai warganegara Malaysia kita sama2 berdoa dan mengharapkan agar satu masa nanti segala urusan di negara kita yang tercinta ini benar-benar bertunjangkan keadilan dan ketelusan serta sifar rasuah. Salam.



Ahad, 5 Ogos 2012

KATAKAN TIDAK KEPADA RASUAH.....


Sambungan..
Manusia tergamak melakukan jenayah rasuah ini disebabkan oleh beberapa faktor.Antaranya ialah;
  • Kelemahan Individu. Misalnya seseorang itu ingin hidup mewah melebihi pendapatan atau gaji rasminya. Ini juga didorong oleh sikap tamak, ingin cepat kaya, suka berjudi, boros dan suka berhutang .
  • Sosial Dan Kebudayaan. Pegangan dan amalan agama yang lemah juga menyebabkan seseorang itu mudah terjebak dengan musuh negara no.1 ini. Sifat tidak mempedulikan @ membiarkan sahaja perbuatan ini berlaku dengan alasan "tidak mahu menjaga tepi kain orang",juga turut menyumbang kepada masalah ini. Selain itu amalan  seperti pemberian angpow dan buah tangan, keperluan perkhidmatan asas dan sosial melebihi kemudahan yang sedia ada serta keinginan untuk sering melancong tanpa sumber pendapatan yang kuat menyebabkan sesetengah orang mudah menerima dan memberi rasuah.
  • Kepimpinan dan Pentadbiran.Kelemahan pemimpin dalam organisasi yang lemah jati diri dan kurangnya penguatkuasaan, tabiat melambat-lambatkan urusan pejabat, amalan  “Overgrown bureaucracy” serta telampau banyak penurunan kuasa juga menyebabkan jenayah ini sukar dihapuskan.
  • Pembangunan Ekonomi dan Modenisasi. Perlaksanaan projek-projek pembangunan tanpa kawalan serta tekanan modenisasi gaya hidup yang sentiasa bersaing @ berlumba – lumba untuk lebih hebat, berjaya, kaya dan sebagainya turut membantu penerusan amalan negatif ini. Malah budaya suka memiliki peralatan yang canggih atau mempamerkan kehebatan mereka dengan apa yang dimiliki mendorong jenayah ini berlaku.
  • Politik. Tidak dapat dinafikan kecenderungan sesetengah pihak mencari kekayaan melalui saluran politik menyebabkan amalan buruk ini sukar dihapuskan. Ini menyebabkan perlakuan penyalahgunaan kuasa dan nepotisme berlaku.
Implikasi suapan ini sangat buruk sama ada kepada negara, masyarakat, keluarga ataupun pada individu.
  1. Negara:           Meningkatkan kos dan sara hidup (harga barang dan perkhidmatan dinaikkan bagi menampung kos sogokan), ia menjejaskan keselamatan awam (bangunan dan infrastruktur yang dibina tidak mengikut spesifikasi namun diluluskan), keselamatan nyawa dan kesejahteraan rakyat juga terancam akibat jenayah yang meningkat, ketidakadilan juga berlaku terhadap golongan lemah kerana dinafikan hak mereka serta jurang antara yang kaya dan miskin semakin ketara. Selain itu, ia juga menyebabkan kehilangan daya saing dan hasil negara, kelicinan dan kecekapan pentadbiran terjejas serta maruah diri, bangsa dan negara merudum.
  2. Masyarakat: Suapan ini mengakibatkan ketidakadilan dan mengenepikan hak-hak golongan tertentu. Ia juga menggalakkan jenayah dan perbuatan melindungi penjenayah. Seterusnya ini membebankan masyarakat dan memburukkan lagi masalah kemiskinan kerana sumber2 yang telah ditetapkan bagi membantu rakyat miskin kemungkinan diselewengkan.
  3. Keluarga dan individu: Individu yang terlibat dan didapati bersalah akan kehilangan pekerjaan atau pendapatan dan maruah diri dan keluarga tercemar. Ini seterusnya akan menghancurkan keluarga. Malah  golongan yang tidak terlibat juga kemungkinan dinafikan hak untuk sesuatu pekerjaan, jawatan  ataupun perniagaan angkara bahana ini.  

@ Bayangkan apabila seorang bapa memberi makan isterinya dan anak2nya hasil wang haram ini.. atau seorang anak memberi makan bubapanya hasil rasuah yang dianggap najis ini…tergamakkah kita melakukannya……..

Khamis, 2 Ogos 2012

RASUAH ...WANG HARAM YANG MEMBAWA KEMUDARATAN (1)


Definisi           Rasuah merupakan sebarang penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk diri seseorang kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan. Ia termasuk apa jua bentuk penerimaan atau pemberiaan yang dikenali sebagai duit kopi atau ganjaran, suapan seperti wang ringgit, diskaun, upah, jawatan, perkhidmatan, hadiah, bonus atau undi dengan niat sebagai dorongan untuk melakukan atau tindakan berkaitan dengan tugas rasmi.
Dipetik  dari brosur :
Negara Tanpa Rasuah Rakyat Hidup Bermaruah

Ini bermakna rasuah termasuklah;
  • Meminta / Menerima Rasuah Mana2 orang atau ejen secara rasuah meminta/menerima/bersetuju menerima suapan sebagai dorongan atau upah untuk melakukan atau tidak melakukan apa-apa jua berkenaan transaksi tersebut atau berkenaan dengan urusan rasmi.
  • Menawar/Memberi Rasuah - Mana2 orang atau ejen secara rasuah menawarkan atau memberi suapan sebagai dorongan atau upah untuk melakukan atau tidak melakukan apa2 jua berkenaan transaksi tersebut atau berkenaan dengan urusan rasmi.
  • Membuat Tuntutan Palsu - Mana2 orang memberi kepada ejen atau ejen memberi kepada majikannya @pihak berkenaan sesuatu dokumen yang diketahuinya atau disedarinya mengandungi butiran palsu, yang mana majikannya @ pihak berkenaan mempunyai kepentingan, dengan tujuan untuk mengeliru/memperdayakan majikannya @ pihak berkenaan.
  • Menyalahgunakan Kuasa Dengan Kedudukannya - Mana2 pegawai badan awam menggunakan jawatan atau kedudukannya untuk mendapat suapan membuat apa2  keputusan atau mengambil tindakan berhubung dengan apa2 perkara mengenainya, dimana pegawai itu, saudara maranya atau sekutunya ada kepentingan secara langsung atau tidak langsung

Jika sekiranya perbuatan suapan itu berlaku tanpa dirancang,maka ia digelar rasuah spontan. Ini biasanya melibatkan mereka yang tidak mengenali antara satu sama lain.Namun apabila perbuatan jenayah rasuah itu telah dirancang terlebih dahulu dan melibatkan persetujuan bersama serta penerima dan pemberinya saling mengenali, maka jenayah ini digelar rasuah bersendiket.