Isnin, 22 September 2008

TERIMA KASIH CIKGU

Dalam posting sebelum ini, penulis telah memberikan contoh tentang pemberian hadiah sempena perayaan yang sebenarnya pada andaian saya ia ada maksud tersembunyi. Bagi saya ia lebih wajar dianggap sebagai suapan. Sebenarnya usaha memberi suapan ini telah berlaku berulang-ulang kali dan jika diambil nilainya memang amat lumayan berbanding gaji penulis pada waktu itu yang hanya sekitar Rm395.00 sahaja . Sementara menolak rasuah, saya juga sentiasa berusaha untuk membantu mempercepatkan urusan pelanggan mengikut jadual yang telah ditetapkan. Bukanlah tujuan penulis untuk membanggakan diri, tetapi saya berani mengatakan bahawa penulis berjaya mengelakkan diri daripada budaya buruk ini sepanjang bertugas dalam tahun 1980-an. Ketika saya meminta pandangan daripada" orang yang lebih tua" tentang pemberian ini, salah seorang memberikan nasihat agarpemberian(wang) itu boleh diterima sebab itu adalah tanda "ucapan terima kasih", manakala seorang lagi berpendapat bahawa itu perbuatan itu adalah rasuah dan salah untuk menerimanya.Moral daripada peristiwa ini ialah kita perlulah berhati-hati apabila mendapatkan nasihat, kerana mungkin kita akan mendapat nasihat yang kurang tepat.

Berbalik pada topik hari ini , harus diakui bahawa siapapun kita, kita sama sahaja iaitu "berhutang budi" kepada seseorang yang bergelar guru .Sebagai insan pasti ada sahaja guru yang pernah mengajar dan mendidik kita. Di manapun kita berada dan apapun kerjaya kita pada masa ini pasti kerana diajar dan dididik oleh seseorang yang dipanggil cikgu. Pada saya, ramai guru yang telah bertanggungjawab mendidik dan telah memberikan impak yang mendalam dalam hidup saya. Misalnya, seorang guru besar (en. Sampaladon) telah bersusah payah berurusan dengan pegawai di JPN Kota Kinabalu agar saya dapat diterima masuk ke tingkatan enam di salah sebuah sekolah dalam daerah Kota Kinabalu (sebenarnya nama saya tercicir). Ada juga bekas guru saya yang membantu dan memberi dorongan dengan cara membenarkan saya tinggal di rumahnya semasa di sekolah rendah. Seorang bekas guru saya (cikgu Nusiah Gimbun) telah membantu saya  dengan cara  memberi peluang kepada saya untuk menjadi pengawas perpustakan, pengerusi dalam kelab dan sebagainya. Malah, bekas guru besar saya (Awang Mahmud) juga pernah meminta penulis membantu berjualan mee / kuih dan upahnya ialah baju sekolah yang baru.Ya..betapa besarnya sumbangan dan pengorbanan guru kepada kita. Saya berharap dapat menjadi guru yang terbaik yang dapat diingat oleh pelajar-pelajar saya nanti. Buat semua bekas cikgu saya terima kasih banyak-banyak.Kalian begitu istimewa dalam hidup penulis dan semoga Tuhan terus melakukan yang terbaik untuk kalian.

Salam

Ahad, 21 September 2008

CERITA PENDIDIK 1

Selamat bertemu kembali, ini kali kedua saya mencoretkan tulisan dalam blog yang sederhana ini, justeru kalau ada kesilapan di mana-mana harap difahami oleh teman-teman. Hari ini terdapat kenyataan pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) Sabah iaitu Hajah Latifah Md. Yatim dalam akhbar Daily Expres berkaitan rasuah. Beliau telah menasihati masyarakat agar waspada apabila menerima hadiah semasa atau sempena perayaan kerana dikhuatiri adanya unsur rasuah. Saya bersetuju dengan nasihat ini kerana sebagai manusia yang ada perasaan amat sukar melepaskan diri apabila terhutang budi pada seseorang. Walaupun alasan sipemberi adalah hadiah sempena perayaan, namun sebagai insan biasa yang ada hati dan perasaan kita pasti akan terhutang budi, justeru keinginan untuk membalas budi ini akan menyebabkan kita mudah lalai dan alpa terhadap nilai-nilai murni akibat ingin membalas kebaikan orang berkenaan. 

Berkaitan dengan ini penulis ingin berkongsi pengalaman semasa bekerja di salah sebuah jabatan kerajaan pada tahun 1980-an.Ketika itu saya baru berumur 18 tahun dan ditempatkan pada bahagian yang agak penting dan memerlukan saya berhubungan dengan orang awam termasuklah para peniaga. Dipendekkan cerita, pada suatu hari, semasa rehat seorang insan membawa penulis pergi minum dengan menaiki kereta merznya (kali pertama penulis menaiki kereta mewah) dan seterusnya menghulurkan satu sampul surat. Penulis dengan tenang menolaknya dan menyatakan bahawa tidak boleh menerimanya. Taukeh berkenaan mengatakan tidak perlu takut kerana tiada sesiapa yang melihatnya. Walau bagaimanapun saya menjelaskan pada orang berkenaan bahawa walaupun tiada manusia yang melihat tetapi " Tuhan  pasti nampak", mugkin untuk menghilangkan rasa malu insan tadi mengatakan bahawa itu hanya untuk hadiah perayaan pesta menuai dan beliau ikhlas untuk memberinya. Saya bersyukur kerana sekurang-kurang dapat mengelakkan diri daripada menerima rasuah . Bahkan sepanjang bertugas di tempat berkenaan saya berjaya membebaskan diri daripada perbuatan rasuah.

Dalam hal ini penulis memberikan tabik hormat kepada ibubapa penulis yang mendidik saya agar bersikap menjauhkan diri daripada rasuah sejak dari kecil lagi. Begitu juga pengajaran nilai agama yang ditanamkan dalam diri penulis turut menjadi benteng ketahanan diri agar tidak terjerumus pada budaya rasuah ini.Jelas sekali ini bukan disebabkan oleh baiknya saya tetapi nilai yang ditanam oleh ibubapa dan kasih Tuhan dalam kehidupan saya. Justeru sebagai pendidik, penulis mengharapkan agar setiap ibubapa mendidik anak-anak mereka agar budaya benci rasuah dapat ditanamkan dalam diri anak-anak, malah pemimpin agama haruslah sentiasa memberikan penekanan tentang "dosanya menerima serta memberi rasuah ini". Jika ini dapat dilakukan maka diharapkan negara kita akan lebih harmoni dan makmur.

Salam dan selamat membaca.

Sabtu, 20 September 2008

IMPIAN SAYA

Impian sangat penting dalam hidup kita, ia menjadi pendorong kepada setiap orang untuk menggerakkan mindanya ke arah kejayaan. Kita ada berbagai impian. misalnya sebagai seorang ayah impian saya agar anak-anak saya membesar dan terdidik dalam agama malah mempraktikkannya dalam hidup mereka. Apabila mereka ada pegangan agama, mereka akan ada perasaan hormat terhadap orang lain, ada integriti dalam kehidupan, membenci rasuah serta mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan mereka. Malah saya juga berimpian agar mereka akan menjadi insan yang berjaya kelak dalam hidup mereka. Sebagai seorang suami, impian saya agar sorga menjadi realiti dalam rumah tangga.Isteri dan anak-anak saya akan merasai nikmat kedamaian berkeluarga. Impian ini sentiasa saya pertahankan dan usahakan.Seterusnya sebagai seorang pendidik,saya mengimpikan setiap anak didik saya berjaya dalam persekolahan dan hidup mereka. Sama seperti bekas guru-guru saya yang telah mendoakan kejayaan saya , saya juga berdoa agar anak2 didik saya juga akan berjaya.Dalam pada itu, saya juga menaruh harapan agar negara malaysia, negara yang dicintai akan sentiasa dirahmati oleh kasih Tuhan. Pemimpinnya bijak dan penuh hikmat mentadbir serta rakyat jelatanya hidup rukun dan aman. Salam dan selamat membaca.