Ahad, 21 September 2008

CERITA PENDIDIK 1

Selamat bertemu kembali, ini kali kedua saya mencoretkan tulisan dalam blog yang sederhana ini, justeru kalau ada kesilapan di mana-mana harap difahami oleh teman-teman. Hari ini terdapat kenyataan pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) Sabah iaitu Hajah Latifah Md. Yatim dalam akhbar Daily Expres berkaitan rasuah. Beliau telah menasihati masyarakat agar waspada apabila menerima hadiah semasa atau sempena perayaan kerana dikhuatiri adanya unsur rasuah. Saya bersetuju dengan nasihat ini kerana sebagai manusia yang ada perasaan amat sukar melepaskan diri apabila terhutang budi pada seseorang. Walaupun alasan sipemberi adalah hadiah sempena perayaan, namun sebagai insan biasa yang ada hati dan perasaan kita pasti akan terhutang budi, justeru keinginan untuk membalas budi ini akan menyebabkan kita mudah lalai dan alpa terhadap nilai-nilai murni akibat ingin membalas kebaikan orang berkenaan. 

Berkaitan dengan ini penulis ingin berkongsi pengalaman semasa bekerja di salah sebuah jabatan kerajaan pada tahun 1980-an.Ketika itu saya baru berumur 18 tahun dan ditempatkan pada bahagian yang agak penting dan memerlukan saya berhubungan dengan orang awam termasuklah para peniaga. Dipendekkan cerita, pada suatu hari, semasa rehat seorang insan membawa penulis pergi minum dengan menaiki kereta merznya (kali pertama penulis menaiki kereta mewah) dan seterusnya menghulurkan satu sampul surat. Penulis dengan tenang menolaknya dan menyatakan bahawa tidak boleh menerimanya. Taukeh berkenaan mengatakan tidak perlu takut kerana tiada sesiapa yang melihatnya. Walau bagaimanapun saya menjelaskan pada orang berkenaan bahawa walaupun tiada manusia yang melihat tetapi " Tuhan  pasti nampak", mugkin untuk menghilangkan rasa malu insan tadi mengatakan bahawa itu hanya untuk hadiah perayaan pesta menuai dan beliau ikhlas untuk memberinya. Saya bersyukur kerana sekurang-kurang dapat mengelakkan diri daripada menerima rasuah . Bahkan sepanjang bertugas di tempat berkenaan saya berjaya membebaskan diri daripada perbuatan rasuah.

Dalam hal ini penulis memberikan tabik hormat kepada ibubapa penulis yang mendidik saya agar bersikap menjauhkan diri daripada rasuah sejak dari kecil lagi. Begitu juga pengajaran nilai agama yang ditanamkan dalam diri penulis turut menjadi benteng ketahanan diri agar tidak terjerumus pada budaya rasuah ini.Jelas sekali ini bukan disebabkan oleh baiknya saya tetapi nilai yang ditanam oleh ibubapa dan kasih Tuhan dalam kehidupan saya. Justeru sebagai pendidik, penulis mengharapkan agar setiap ibubapa mendidik anak-anak mereka agar budaya benci rasuah dapat ditanamkan dalam diri anak-anak, malah pemimpin agama haruslah sentiasa memberikan penekanan tentang "dosanya menerima serta memberi rasuah ini". Jika ini dapat dilakukan maka diharapkan negara kita akan lebih harmoni dan makmur.

Salam dan selamat membaca.

Tiada ulasan:

PRINSIP KEHIDUPAN BERDASARKAN UCAPAN YBHG DATUK NORMAH GAGOH.

Salam, selamat berjumpa semula, ini catatan lama iaitu kira2 sembilan tahun yang lalu namun masih berbentuk draf, saya mengambil peluang  u...