Selasa, 5 Januari 2010

ANAK GAGAL DALAM PEPERIKSAAN:BAGAIMANA IBUBAPA MENGHADAPINYA

Bahagian akhir...

SEBAGAI IBU BAPA APA YANG HARUS DILAKUKAN
Sebagai ibubapa, kita tidak ingin anak-anak kita terus dirundung kegagalan. Ada kata-kata mas yang menyatakan "gagal sekali tidak bererti gagal untuk selama-lamanya". Seperti setiap penyakit ada ubatnya (Tuhanlah penyembuh yang hebat) maka permasalahan dan persoalan juga ada jalan keluarnya. Oleh yang demikian jika punca kegagalan anak-anak itu daripada masalah dalaman keluarga maka ubatnya juga adalah menyelesaikan masalah dalaman berkenaan. Dalam hal ini kita harus positif bahawa segala sesuatu ada jalan penyelesaiannya. Saya meyakini ibu bapa adalah peribadi yang cukup dewasa dan matang untuk memahami keperluan anak-anak mereka.Oleh yang demikian apabila anak-anak gagal atau tidak cukup cemerlang dalam peperiksaan maka kita tidak perlu mencari pihak lain untuk "dikambing hitamkan" (seperti yang penulis jelaskan dalam tulisan sebelum ini).Sebaliknya, para ibubapa bolehlah muhasabah diri serta mengambil langkah untuk memperbaiki keadaan. Antara  tindakan yang boleh dilakukan ialah;


1. Perbaiki hubungan antara suami dan isteri.
Jadikan rumah tangga itu sebagai "surga kecil" bagi anak-anak. Hiasi rumah tangga dengan kasih sayang, saling menghargai, menghormati dan saling mengasihi antara satu sama yang lain. Pastinya ini wajar dimulai oleh ibu dan bapa.Memperbaiki hubungan  antara ibu bapa dianggap sangat penting kerana merekalah tonggak dalam keluarga, merekalah tunjang dalam keluarga. Biarlah anak-anak dapat melihat dan mengalami perubahan itu.  Ini mungkin sukar untuk dilaksanakan, namun pengaruhnya amat besar terhadap kecemerlangan anak-anak pada tahun-tahun yang mendatang. Kalau di negara barat apabila ada kerengangan antara  ibu dan bapa, mereka  boleh berhubung dengan  kaunselor keluarga untuk meminta nasihat dan bimbingan tetapi sebenarnya  kita juga boleh meminta nasihat dari "pemimpin agama" kita, atau langkah yang terpenting ialah sentiasa meminta pertolongan dan kekuatan daripadaNya.


2. Fokuslah pada pembentukan keperibadian anak-anak dengan kasih sayang.
Memberikan kasih sayang terhadap anak-anak merupakan satu bentuk pendidikan yang mampu memberikan impak positif pada minda mereka. Oleh yang demikian fokus ibubapa dalam mendidik anak ialah dengan membentuk peribadi yang positif dan menyeluruh serta bukan sekadar meletakkannya pada nilai dan gred markah yang akan diperolehi oleh mereka dalam peperiksaan. Siapa pun dan bagaimana pun tahap intelek mereka, selagi mereka digelar anak mereka tetap adalah anak kita. Memberikan pendidikan pada anak-anak merupakan tanggungjawab orang tua. Ibu bapa tidak harus membuat ugutan dan tuntutan pada anak-anaknya (apa lagi yang masih peringkat kanak-kanak) dengan kenyataan negatif seperti anak-anak berhutang pada orang tua mereka yang telah menyekolahkan mereka. Faktanya ialah para ibubapa harus membalas jasa orang tua mereka dengan cara mendidik cucu-cucu mereka dengan baik.Niat yang murni untuk mendidik anak-anak sangat penting.


3. Memahami kebolehan dan kekuatan anak.
Jangan sekali-kali membandingkan anak-anak kita dengan orang lain. Perbandingan negatif akan membuatkan anak-anak juga bersikap negatif.Jika anak-anak kita gagal atau kurang cemerlang jangan bandingkan mereka dengan orang lain, adik beradik, kawan-kawannya,jiran ataupun saudara-saudaranya yang lain. Ini akan menimbulkan perasaan rendah diri, tidak yakin,dendam dan marah pada ibubapa. Kekuatan dan kebolehan anak-anak kita mungkin berbeza dengan anak orang lain. Malah ia juga berbeza dengan adik beradiknya yang lain. Berilah pujian dan penghargaan sewajarnya terhadap segala usaha dan kejayaan anak itu sekalipun kejayaan dan usaha itu kecil pada pandangan kita. Kecenderungan, kebolehan dan kekuatan anak perlu dikenalpasti agar dapat dipupuk menjadi "gergasi" dalam diri mereka. Potensi itu juga perlu digilap serta dibajai dengan sempurna dan penuh kasih sayang. Apabila ini dapat dilakukan maka pastinya kebolehan dan potensi anak-anak itu akan dapat berkembang dan peribadi mereka juga dapat bertumbuh menjadi diri mereka sendiri dan bukan "dipaksa menjadi seperti orang lain".

4. Jadilah teladan kepada anak-anak dalam mencintai ilmu (belajar/membaca).
Anak-anak sangat mudah dipengaruhi oleh apa yang dilihatnya.Mereka suka meniru, mencontohi ataupun meneladani apa yang dilakukan oleh orang di persekitarannya.Oleh yang demikian apabila ibu bapa gagal menjadi teladan yang baik mereka akan menjadikan "seseorang" sebagai orang yang boleh mereka jadikan contoh (baik/buruk). Sehubungan dengan itu, ibu bapa perlulah menjadi teladan yang baik terutamanya dalam soal belajar (dan juga membaca). Anak-anak yang melihat orang tuanya rajin "belajar dan membaca"  serta sentiasa mengambil berat terhadap apa yang mereka lakukan akan menjadi menjadi ikutan atau idola anak-anak. Malah tabiat positif ibubapanya juga akan dikuti oleh anak-anak, seperti pepatah melayu yang berbunyi "bapa borek anak rintik." Begitu juga dalam hal mengambilberat terhadap perkembangan pelajaran anak-anak perlulah dilakukan oleh ibubapa.Persoalannya adakah kita menjadi idola yang positif buat mereka?..kalau tidak anak-anak itu akan mencari idola di luar sana yang mungkin tidak bersesuaian.

Akhir sekali, kegagalan anak-anak kita tidak bererti kiamat telah tiba, kita harus terima hakikat dan jangan malu untuk mengakuinya.  Beri pengharapan dan sokongan moral pada anak-anak serta elakkan dari melabelkan mereka sehingga menjadi menjadi bahan sindiran dan punca kekecewaan. Masih belum terlambat untuk membaikinya. Prestasi kecemerlangan anak yang kurang baik hanyalah sebagai buah kepada permasalahan utama yang ada, iaitu permasalahan dalam soal berkeluarga. Permasalahan utama itu harus diselesaikan terlebih dahulu...Kadang-kadang kebenaran ini pahit dan sukar untuk kita mengakuinya, tetapi terlalu banyak bukti yang dapat diangkat untuk menyatakan kebenaran ini.

Salam.

Tiada ulasan:

PRINSIP KEHIDUPAN BERDASARKAN UCAPAN YBHG DATUK NORMAH GAGOH.

Salam, selamat berjumpa semula, ini catatan lama iaitu kira2 sembilan tahun yang lalu namun masih berbentuk draf, saya mengambil peluang  u...