Khamis, 28 Januari 2010

HUMOR YANG MENYAKITKAN ...HENTIKANNYA..

Humor atau jenaka amat penting dalam kehidupan manusia. Humor satu kaedah berkomunikasi yang boleh digunakan dalam mengurangkan stres serta tekanan  di tempat kerja. Malah berkomunikasi dengan berjenaka juga dapat berperanan mengeratkan tali persahabatan antara individu mahupun kumpulan.Walau bagaimanapun kadang kala ada juga humor yang kurang manis dan lebih banyak membawa keburukan daripada kebaikan.Misalnya humor yang mempersendakan kelemahan ataupun kekurangan seseorang atau kumpulan tertentu yang walaupun mungkin tujuannya hanya sekadar gurauan ataupun bahan untuk ketawa, namun implikasinya agak buruk. 


Menurut Ameen Nashruddin, seorang pensyarah universiti, "humor ialah kaedah yang menarik untuk mengeratkan hubungan kerja tetapi ia juga ada batasannya". Itulah sebabnya  kita perlu mengelakkan humor yang berciri memperkecilkan, mempersendakan kekurangan ataupun yang mewar-warkan kelemahan orang lain, perbezaan jantina, keturunan, agama dan sebagainya. Menurut seorang aktivis sosial iaitu  Fatimah Mansur, "agak malang kerana kita hidup dalam satu budaya di mana sempadan menghormati perasaan orang lain serta nilai tata susila sudah semakin kabur.."Semasa membuat humor contoh atau  perkataan yang dikemukakan memiliki double meaning (maksud lain) dan kenapa gurauan itu perlu dituju kepada seseorang tertentu?. Dalam situasi seperti ini siapa pula yang harus dipersalahkan, orang yang memulakan gurauan ataupun mereka yang ketawa mendengar gurauan itu?, bagi aktivis sosial ini kedua-duanya adalah bersalah. 


Sejauh mana penderitaan jiwa mangsa gurauan ini dapat  kita fahami dengan lebih mudah apabila kita dapat meletakkan diri pada mangsa bahan jenaka berkenaan. Apa yang pasti ialah jiwa orang yang mengalaminya mudah tertekan lantaran selalu menjadi bahan sindiran dan ketawa orang yang cuba mempersendakannya. Jika situasi ini berterusan ia akan menimbulkan pelbagai konflik perhubungan manusia dan penyakit kepada organisasi. Akhirnya produktiviti institusi akan menjadi lemah.Tegasnya cara berkomunikasi yang tidak sihat ini juga meninggalkan kesan yang amat buruk dalam mana-mana organisasi.Ini dapat dibuktikan melalui satu kajian oleh Kris Cole (1993), "dapatan beliau menjelaskan bahawa 75% masalah di tempat kerja disebabkan oleh faktor komunikasi".Jadi bayangkan betapa buruknya sumbangan humor dan jenaka yang tidak beretika ini dalam perhubungan manusia di tempat kerja.


Salam

Selasa, 19 Januari 2010

BERGANTUNG HARAP PADA SANG PENCIPTA :TUHAN YANG SENTIASA BOLEH DIPERCAYAI

Selamat berjumpa kembali buat teman2. Harapan saya agar perkongsian saya yang lalu telah dan akan memberikan makna serta boleh dijadikan panduan buat teman2 sekalian.Pada kesempatan ini pula, saya akan cuba memaparkan alasan mengapa kita harus menggantungkan harapan pada sang Pencipta.  Ya, alasan2 ini lebih bersifat peribadi yang mungkin sama ataupun tidak pada teman-teman sekalian. Posting ini pun hanya sekadar pandangan saya secara peribadi.Oleh yang demikian,sekiranya apa yang saya tulis tidak sealiran dengan teman2 anggap saja ia sebagai perkongsian ilmu semata-mata.Namun sekiranya ia dapat membantu teman2, saya dengan sangat berbesar hati membenarkan kalian "sharing" pada orang lain.

1.KITA ADALAH CIPTAANNYA
Manusia sungguh bernilai di hadapan Tuhan. Ya, rasanya kita sangat bernilai kerana kita dicipta olehNya. Berbanding binatang dan tumbuhan, saya yakin manusia merupakan ciptaan yang teristimewa. Saya pernah terbaca sebuah buku yang menyatakan, "manusia pertama (Adam) dibentuk dengan menggunakan tangan Tuhan sendiri sehingga rupanya tidak seperti binatang dan tumbuhan manakala nafas manusia telah dihembuskan oleh Pencipta itu sendiri sehingga membolahkan manusia itu hidup.." Ini menunjukkan betapa berharganya kita di hadapan Tuhan kita. Ada juga yang mengatakan, "sebelum kita dilahirkan dan semasa kita berada dalam kandungan ibu kita, Tuhan sudah mengenali kita. bahkan setiap helai rambut kita pun ada dalam perhitunganNya". Woi..betapa bernilai dan berharganya kita di hadapan sang Pencipta kita.

2.TUHAN ADALAH SUMBER KEKUATAN KITA DALAM MENGHADAPI BADAI HIDUP
Dunia di mana kita tinggal penuh dengan cabaran, rintangan dan halangan. Kita hidup dalam dunia yang sarat dengan masalah dan persoalan, realitinya bukan seperti dalam dunia fantasi yang aman bak firdaus.Persoalan, masalah dan cabaran yang kita hadapi adalah akibat kegagalan manusia pertama patuh pada "Perintah Penciptanya". Akhirnya kita terbuang di dunia yang bobrok dan ganas. Nah, dalam situasi begini siapa lagi yang boleh kita harapkan dan boleh beri kita kekuatan dari segi spiritual.  Tentunya, kita boleh meminta bimbingan dan pertolongan daripada sesama kita manusia seperti keluarga,guru, saudara, kawan, majikan,  pakar kaunselor, dan sebagainya..mereka boleh memberikan semangat dan dokongan pada kita. Namun selain daripada itu kita memerlukan pembimbing dan penolong yang sejati, penolong yang tidak pernah gagal memberikan pertolongan iaitu Tuhan kita.Seorang kawan saya pernah  mengatakan "burung di udara yang tidak menanam namun tetapi tidak pernah kelaparan manakala bunga2 di hutan yang tidak  memintal tetapi lebih cantik dari yang lain, apa lagi manusia yang dicipta oleh tangan Pencipta sendiri tentunya sentiasa dikasihi dan dilindungi oleh Tuhan ." Tuhan kita adalah Tuhan sumber pengharapan kita.Dia mengetahui isi hati mereka yang percaya kepadaNya. Bahkan dia akan memberikan jalan keluar terhadap permasalahan yang  kita hadapi.

3.MARI KITA BELAJAR BERGANTUNG HARAP PADA DIA
Saya akui kudrat saya tenaga kita terhad. Kadang-kadang semangat kita mula kendur dan kekuatan jati diri kita mula tumpul. Akibatnya semua seolah serba tidak menjadi dan haru biru. Usaha kita tidak membawa hasil seperti yang diharapkan. Anak-anak seakan-akan mula tidak menghargai ibubapanya, guru-guru mula tidak dihormati, rakan sekerja mula tidak memberikan kerjasama ataupun kakitangan bawahan mula buat hal. Ini semua mula memberikan kesan yang sangat mendalam pada kita. Dalam keadaan seperti ini kita perlu membuat taakulan diri ataupun koreksi diri. Di samping itu kita perlu dan wajar untuk belajar satu hal iaitu  "belajar bergantung dan mengharapkan pada Dia", dan tidak terlalu atau hanya bersandar pada kekuatan,kebijaksanaan serta kebolehan sendiri sahaja. Kerana Tuhan kita bukan sahaja maha tahu tetapi juga maha mengerti, maha menyediakan segala keperluan kita malah Dia juga akan memberikan kebijaksanaan dan pertolongan pada mereka yang bergantung harap padaNya.. .

4.DUNIA HANYA SEKADAR PINJAMAN, SAMPAI MASANYA KITA AKAN KEMBALI
Bukan kerana saya bersikap negatif terhadap kehidupan dan bukan juga saya bermaksud ingin membawa teman2 untuk bersikap pesimistik, tetapi adalah satu fakta bahawa apabila sampai satu masa kita terpaksa meninggalkan dunia ini. Dunia ini hanya sekadar pinjaman sahaja dan kita seolah-olah seperti pengembara. Kehidupan kita di alam ini juga hanya sementara sahaja. Apabila kita terpaksa meninggalkan dunia ini dan kembali kepadaNya, kita juga terpaksa meninggalkan segala yang kita miliki ataupun yang menjadi kebanggaan kita di dunia ini. Kekayaan, wang ringgit, pangkat, perniagaan, pekerjaan, rumah, kereta dan segala-galanya. Kita akan "pergi", seperti semasa kita dilahirkan, tidak memiliki apa-apa.Persoalannya "apakah kita bersedia apabila perkara itu berlaku pada kita (meninggal dunia)?". Jadi kalau demikian maka kita wajar dan selayaknya selalu dekat dengan Tuhan kita, menggantung penuh keyakinan dan pengharapan  kita padaNya serta mempercayaiNya dengan sepenuh jiwa kita.

Teman2 sekerja sekalian, adalah sesuatu yang wajar untuk "mengikutsertakan" Dia dalam urusan seharian kita. Semasa menyampaikan ilmu pada anak didik kita, semasa berurusan dengan ibubapa pelajar, ketika menyelesaikan kerja-kerja pengurusan, mengurus rumah tangga, melakukan kerja-kerja amal dan sebagainya, kadangkala membuatkan kita letih dan lesu (kita manusia biasa). Justeru itu dalam keadaan sedemikian rupa mengapa kita tidak cuba untuk belajar berharap kepadaNya?. Bagi saya ini adalah antara beberapa sebab mengapa saya belajar untuk bergantung harap kepadaNya.

Salam dan selamat bertugas.

Khamis, 14 Januari 2010

SIKAP SESETENGAH GURU :LUAHAN HATI SEORANG BAPA

Baru-baru ini semasa menghantar anak ke sekolah, saya sempat berbual dengan seorang bapa pelajar. Dalam perbualan ini beliau sempat memberikan komen2 yang amat pedas tentang sikap sesetengah guru yang pada pendapatnya "negatif" . Rasanya "beliau", tidak mengetahui bahawa tempatnya melempiaskan ketidakpuasan hati ini adalah seorang guru juga. Tetapi hikmahnya ialah,"beliau" dapat meluahkan isi hatinya dengan lebih bebas tanpa rasa segan atau takut. Pada saya, pendapat orang tua ini telah menjadi pelengkap pada tulisan saya sebelum ini tentang pengaruh keluarga terhadap kegagalan anak-anak di sekolah.Justeru melalui ruangan ini saya cuba memaparkan "luahan hati" orang tua berkenaan agar kita sebagai pendidik dapat sama-sama menghayatinya.

Sebenarnya maha pentingnya tanggungjawab seorang guru dapat dilihat melaui kenyataan seorang tokoh agama yang berbunyi "saya lebih menghargai guru kerana ibubapa menyediakan makanan sahaja manakala guru pula memberikan  ilmu".Ini menunjukkan betapa besar tanggungjawab seseorang guru dalam memberi dan membimbing pelajar dari aspek ilmu pengetahuan. Sumbangan guru terhadap kecemerlangan, kejayaan mahupun kegagalan pelajar dalam peperiksaan juga adalah sangat penting. Kegagalan dan kejayaan pelajar bukan sekadar harus diletakkan pada bahu ibubapa dan persekitaran rumah tangga , malah ia juga wajar diletakkan pada kebolehan dan sikap  guru-guru.Pendek kata guru-guru juga ada "saham" terhadapnya.

Menurut orang tua ini terdapat sesetengah guru yang kurang berkeupayaan mengubahsuai pendekatan atau kaedah pengajaran pada suasana yang berbeza ataupun pada pelajar yang berbeza tahap kebolehannya. Menurutnya lagi seseorang guru yang baik haruslah mampu melihat keperluan seseorang pelajar dan juga dapat menganalisis infrastruktur sekolah. Mungkin apa yang dimaksudkan oleh orang tua ini ialah keperluan membuat analisis SWOT (analisis kekuatan, kelemahan,peluang dan ancaman). Menurutnya  lagi pengajaran dan pembelajaran  bukan sekadar menyampaikan ilmu dengan menggunakan kaedah "Chalk and Talk", bukan sekadar meminta para pelajar menyalin nota, membaca buku teks tetapi sebenarnya ialah dengan merangsang minat dan minda pelajar terhadap apa yang dipelajari.Guru merupakan fasilitator pembelajaran pelajar. Apabila pelajar sudah terangsang minatnya terhadap pengajaran dan pembelajaran maka lebih mudah bagi guru-guru menyampaikan ilmu pengetahuan berkenaan. Minat yang tinggi terhadap pelajaran jika ditambah dengan  kaedah yang sesuai maka hasilnya pasti membanggakan.

Perkara kedua yang disentuhnya ialah "kebiasaan negatif" sesetengah guru (orang tua ini gunakan istilah budaya). Kadangkala sikap guru itu sendiri tidak membantu para pelajar mendapat keputusan cemerlang dalam akademik mereka. Guru yang baik adalah guru yang mampu memberi inspirasi kepada para pelajarnya. Namun sikap sesetengah guru "mematahkan semangat" itu. Contohnya, ada guru yang kurang bertanggungjawab terhadap tugas, lewat masuk ke kelas, keluar awal, tidak membuat persediaan yang sewajarnya, tidak memberi latihan ataupun jarang memeriksa latihan yang diberikan. Pendek kata ada guru yang ambil mudah terhadap amanah yang diberikan untuk mendidik para pelajar.Perbuatan ini telah mencacatkan keyakinan dan kepercayaan murid terhadap sesetengah gurunya. Terdapat juga guru-guru yang lebih banyak terlibat dengan "aktiviti luar"sehingga tugas utama sebagai pendidik di kelas terabai. Guru-guru yang yang "kurang bertanggungjawab" ini pastinya akan menghasilkan produk yang kurang membanggakan.

Apabila mendengar rungutan dan komen si beliau ini, saya mula berfikir,benarkah masih ada guru yang bersikap sedemikian rupa...? Jika ada pun, saya yakin bilangannya amat sedikit berbanding para pendidik yang hebat, bertanggungjawab dan amanah menjalankan tugas mereka.Sebagai pendidik, kita harus akui ketidakpuasan hati orang tua berkenaan ada juga kebenarannya.Ini kerana isu ketidaklenturan mengubahsuai dan mengaplikasi sesuatu kaedah pengajaran dan pembelajaran berasaskan keperluan serta sikap negatif sesetengah guru tidak akan membantu sekolah merealisasikan hasrat murni untuk melahirkan para pelajar yang seimbang dari segi akademik, sahsiah dan kepimpinan.Perlu diingat bahawa, apabila kita telah menjadi seorang guru, seharusnya kita melaksanakan tanggungjawab itu dengan penuh komitmen.

Salam dan tahniah  kepada semua guru yang dedikasi dan bertanggungjawab melaksanakan tugasnya...

Selasa, 5 Januari 2010

ANAK GAGAL DALAM PEPERIKSAAN:BAGAIMANA IBUBAPA MENGHADAPINYA

Bahagian akhir...

SEBAGAI IBU BAPA APA YANG HARUS DILAKUKAN
Sebagai ibubapa, kita tidak ingin anak-anak kita terus dirundung kegagalan. Ada kata-kata mas yang menyatakan "gagal sekali tidak bererti gagal untuk selama-lamanya". Seperti setiap penyakit ada ubatnya (Tuhanlah penyembuh yang hebat) maka permasalahan dan persoalan juga ada jalan keluarnya. Oleh yang demikian jika punca kegagalan anak-anak itu daripada masalah dalaman keluarga maka ubatnya juga adalah menyelesaikan masalah dalaman berkenaan. Dalam hal ini kita harus positif bahawa segala sesuatu ada jalan penyelesaiannya. Saya meyakini ibu bapa adalah peribadi yang cukup dewasa dan matang untuk memahami keperluan anak-anak mereka.Oleh yang demikian apabila anak-anak gagal atau tidak cukup cemerlang dalam peperiksaan maka kita tidak perlu mencari pihak lain untuk "dikambing hitamkan" (seperti yang penulis jelaskan dalam tulisan sebelum ini).Sebaliknya, para ibubapa bolehlah muhasabah diri serta mengambil langkah untuk memperbaiki keadaan. Antara  tindakan yang boleh dilakukan ialah;


1. Perbaiki hubungan antara suami dan isteri.
Jadikan rumah tangga itu sebagai "surga kecil" bagi anak-anak. Hiasi rumah tangga dengan kasih sayang, saling menghargai, menghormati dan saling mengasihi antara satu sama yang lain. Pastinya ini wajar dimulai oleh ibu dan bapa.Memperbaiki hubungan  antara ibu bapa dianggap sangat penting kerana merekalah tonggak dalam keluarga, merekalah tunjang dalam keluarga. Biarlah anak-anak dapat melihat dan mengalami perubahan itu.  Ini mungkin sukar untuk dilaksanakan, namun pengaruhnya amat besar terhadap kecemerlangan anak-anak pada tahun-tahun yang mendatang. Kalau di negara barat apabila ada kerengangan antara  ibu dan bapa, mereka  boleh berhubung dengan  kaunselor keluarga untuk meminta nasihat dan bimbingan tetapi sebenarnya  kita juga boleh meminta nasihat dari "pemimpin agama" kita, atau langkah yang terpenting ialah sentiasa meminta pertolongan dan kekuatan daripadaNya.


2. Fokuslah pada pembentukan keperibadian anak-anak dengan kasih sayang.
Memberikan kasih sayang terhadap anak-anak merupakan satu bentuk pendidikan yang mampu memberikan impak positif pada minda mereka. Oleh yang demikian fokus ibubapa dalam mendidik anak ialah dengan membentuk peribadi yang positif dan menyeluruh serta bukan sekadar meletakkannya pada nilai dan gred markah yang akan diperolehi oleh mereka dalam peperiksaan. Siapa pun dan bagaimana pun tahap intelek mereka, selagi mereka digelar anak mereka tetap adalah anak kita. Memberikan pendidikan pada anak-anak merupakan tanggungjawab orang tua. Ibu bapa tidak harus membuat ugutan dan tuntutan pada anak-anaknya (apa lagi yang masih peringkat kanak-kanak) dengan kenyataan negatif seperti anak-anak berhutang pada orang tua mereka yang telah menyekolahkan mereka. Faktanya ialah para ibubapa harus membalas jasa orang tua mereka dengan cara mendidik cucu-cucu mereka dengan baik.Niat yang murni untuk mendidik anak-anak sangat penting.


3. Memahami kebolehan dan kekuatan anak.
Jangan sekali-kali membandingkan anak-anak kita dengan orang lain. Perbandingan negatif akan membuatkan anak-anak juga bersikap negatif.Jika anak-anak kita gagal atau kurang cemerlang jangan bandingkan mereka dengan orang lain, adik beradik, kawan-kawannya,jiran ataupun saudara-saudaranya yang lain. Ini akan menimbulkan perasaan rendah diri, tidak yakin,dendam dan marah pada ibubapa. Kekuatan dan kebolehan anak-anak kita mungkin berbeza dengan anak orang lain. Malah ia juga berbeza dengan adik beradiknya yang lain. Berilah pujian dan penghargaan sewajarnya terhadap segala usaha dan kejayaan anak itu sekalipun kejayaan dan usaha itu kecil pada pandangan kita. Kecenderungan, kebolehan dan kekuatan anak perlu dikenalpasti agar dapat dipupuk menjadi "gergasi" dalam diri mereka. Potensi itu juga perlu digilap serta dibajai dengan sempurna dan penuh kasih sayang. Apabila ini dapat dilakukan maka pastinya kebolehan dan potensi anak-anak itu akan dapat berkembang dan peribadi mereka juga dapat bertumbuh menjadi diri mereka sendiri dan bukan "dipaksa menjadi seperti orang lain".

4. Jadilah teladan kepada anak-anak dalam mencintai ilmu (belajar/membaca).
Anak-anak sangat mudah dipengaruhi oleh apa yang dilihatnya.Mereka suka meniru, mencontohi ataupun meneladani apa yang dilakukan oleh orang di persekitarannya.Oleh yang demikian apabila ibu bapa gagal menjadi teladan yang baik mereka akan menjadikan "seseorang" sebagai orang yang boleh mereka jadikan contoh (baik/buruk). Sehubungan dengan itu, ibu bapa perlulah menjadi teladan yang baik terutamanya dalam soal belajar (dan juga membaca). Anak-anak yang melihat orang tuanya rajin "belajar dan membaca"  serta sentiasa mengambil berat terhadap apa yang mereka lakukan akan menjadi menjadi ikutan atau idola anak-anak. Malah tabiat positif ibubapanya juga akan dikuti oleh anak-anak, seperti pepatah melayu yang berbunyi "bapa borek anak rintik." Begitu juga dalam hal mengambilberat terhadap perkembangan pelajaran anak-anak perlulah dilakukan oleh ibubapa.Persoalannya adakah kita menjadi idola yang positif buat mereka?..kalau tidak anak-anak itu akan mencari idola di luar sana yang mungkin tidak bersesuaian.

Akhir sekali, kegagalan anak-anak kita tidak bererti kiamat telah tiba, kita harus terima hakikat dan jangan malu untuk mengakuinya.  Beri pengharapan dan sokongan moral pada anak-anak serta elakkan dari melabelkan mereka sehingga menjadi menjadi bahan sindiran dan punca kekecewaan. Masih belum terlambat untuk membaikinya. Prestasi kecemerlangan anak yang kurang baik hanyalah sebagai buah kepada permasalahan utama yang ada, iaitu permasalahan dalam soal berkeluarga. Permasalahan utama itu harus diselesaikan terlebih dahulu...Kadang-kadang kebenaran ini pahit dan sukar untuk kita mengakuinya, tetapi terlalu banyak bukti yang dapat diangkat untuk menyatakan kebenaran ini.

Salam.

Ahad, 3 Januari 2010

ANAK GAGAL DALAM PEPERIKSAAN:BAGAIMANA IBUBAPA MENGHADAPINYA

Bahagian Pertama..

Baru-baru ini keputusan UPSR dan peperiksaan PMR telah diumumkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Kepada para ibubapa yang anak-anaknya lulus cemerlang, saya mengucapkan tahniah dan syabas.  Namun buat mereka yang anak-anaknya kurang bernasib baik saya harap anda tidak terlalu kecewa, kerana kegagalan lalu tidak bererti mereka gagal untuk peperiksaan yang akan datang sebaliknya mari teruskan tanggungjawab kita sebagai ibu dan bapa kepada anak-anak. Saya juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada para guru atas inisiatif kalian mendidik anak murid sepanjang tahun 2009.Tidak dapat dinafikan bahawa kegagalan turut mengecewakan banyak pihak termasuklah pelajar terbabit, ibubapa dan juga para guru.Namun sebagai ibubapa, kita sepatutnya tidak membiarkan diri kita terus dikuasai kekecewaan dan kemarahan akibat anak-anak yang gagal. Perbuatan ini dianggap tidak bertanggungjawab dan tidak adil buat anak-anak kerana ia hanya akan menambahkan beban keputusasaan mereka dan seterusnya menghasilkan kesan negatif pada mereka.

PUNCA KEGAGALAN ANAK-ANAK
Sebagai ibubapa apabila anak-anak kita mengalami kegagalan, maka wajar bagi kita untuk melakukan refleksi dan penelitian yang mendalam untuk mencari akarnya.Sebenarnya terdapat banyak alasan mengapa seseorang anak itu gagal dalam peperiksaan. Walau bagaimanapun dalam perkongsian ini saya hanya menyentuh tiga faktor sahaja yang ada hubungkait dengan rumah tangga..

1.   Komunikasi antara orang tua yang tidak harmonis.
Komunikasi hambar antara orang tua akan menggangu emosi anak-anak.Misalnya apabila sikap saling menghargai dan menghormati antara orang tua tidak ada akan menyebabkan bahang kemarahan, kebencian serta kekecewaan pula yang akan memenuhi ruang keluarga. Anak-anak mendambakan rumah yang aman, damai dan penuh sejahtera dan bukan tempat yang menggerikan, mengaibkan, menyedihkan dan mengecewakan dimana sering berlaku pertengkaran dan saling menyalahkan berlaku. Rumah tangga seperti ini tidak membantu kecemerlangan malah akan membantut potensi yang ada pada anak-anak kecil. Ia bukan sahaja menyebabkan persekitaran pendidikan yang tidak sihat bagi anak-anak malah ia sungguh melukakan emosi mereka. Jika rumah tangga seperti ini didiami oleh anak2, maka adalah tidak adil bagi para ibu bapa untuk menyalahkan anak-anak atau orang lain terhadap kegagalan mereka.

2.   Ibu bapa yang tidak memberikan teladan.
Orang tua kadangkala tidak menjdi teladan yang baik pada anak-anaknya terutama dalam soal belajar (dan membaca). Mungkin kesibukan bekerja membuatkan orang tua tidak lagi ada ruang untuk membaca dan memperlihatkannya pada anak-anak. Lebih malang lagi apabila ibubapa tidak mengambil peduli terhadap apa yang sedang dibaca atau dipelajari oleh anak-anak mereka semasa berada di rumah.Akibatnya anak-anak yang masih "setahun jagung" mendapati tiada orang tua yang boleh dijadikan contoh atau idola mereka dalam bab belajar. Dalam pada itu, ibu bapa juga wajar mencari kelebihan atau kekuatan anak-anak mereka  dan mengilapnya agar potensi dalam subjek berkenaan berkembang. Harus juga disedari bahawa orang dewasa pun tidak  mampu menguasai semua perkara dalam hidup mereka, apalagi anak-anak.

3.   Ibu bapa hanya menjadikan wang sebagai orientasi hidup dan tujuan akhir mereka.
Misalnya ada ibubapa yang mendorong anak-anak mereka belajar supaya mendapat keputusan cemerlang, berjaya menyambung pelajaran, mendapat pekerjaan yang baik dan seterusnya menghasilkan wang untuk ibu bapa. Akibatnya jika anak mereka gagal guru-guru akan dipersalahkan dan anak itu akan di "kambing hitamkan". Mereka akan dibandingkan dengan abang-abang dan kakak-kakak mereka yang hebat malah juga dengan orang lain. Situasi ini sungguh menyedihkan. Ibu bapa menjadikan anak-anak sebagai satu modal dalam perniagaan bukan sahaja untuk mendapat wang pada masa akan datang tetapi juga penhargaan dan pujian dari orang lain. Kasih sayang dan tanggungjawab sebagai orang tua bukan keutamaan buat mereka. Wang sememangnya amat penting dalam pendidikan anak..oleh itu kita juga perlu mendorong anak-anak terutamanya jika mereka sudah mampu berfikir untuk menyedarkan bahawa orang tua sudah mengeluarkan perbelanjaan yang tinggi untuk pendidikan mereka (anak-anak yang berumur 12 tahun ke atas). Tetapi asas yang menjadi keutamaan ialah membangun sikap positif anak-anak terhadap pelajaran dan kehidupan. Ibu bapa tidak seharusnya menjadikan wang itu sebagai tanda kasih sayang mereka pada anak-anak, kerana wang itu sendiri tidak dapat membeli kasih sayang yang sebenar.

Bersambung pada keluaran akan datang...

Salam.




        
        
        
      



PRINSIP KEHIDUPAN BERDASARKAN UCAPAN YBHG DATUK NORMAH GAGOH.

Salam, selamat berjumpa semula, ini catatan lama iaitu kira2 sembilan tahun yang lalu namun masih berbentuk draf, saya mengambil peluang  u...