Posting yang lalu saya mengemukakan beberapa cadangan tentang peranan atau tanggungjawab seorang yang bergelar suami dalam institusi perkahwinan. Pada kesempatan ini saya cuba membincangkan pula mengenai tanggungjawab penting para isteri terhadap kerukunan dan kebahagian rumah tangga. Secara prinsip suami dan isteri mempunyai nilai yang sama di hadapan Tuhan.Malah mereka disatukan untuk "saling melengkapi dan saling bergantung" antara satu sama lain. Oleh yang demikian sebagai isteri wanita harus hidup dengan bijaksana dan mempu membuat sesuatu pertimbangan dengan berpandukan pada nilai-nilai yang mulia dalam segala hal. Antara tanggungjawab utama seorang isteri ialah;
- MENCINTAI SUAMI DENGAN SEPENUH HATI
Mencintai suami merupakan suatu tuntutan mutlak seorang suami daripada isterinya. Bukan sekadar mencintai tetapi mencintainya dengan sepenuh hati, jujur dan juga setia pada perkahwinannya. Mencintai sepenuh hati bererti mencintai tanpa syarat. Ketika seorang gadis mengambil keputusan untuk berkahwin dengan kekasih hatinya, maka harus difahami bahawa keputusan itu merupakan suatu komitmen seumur hidup. Sama seperti lelaki harus mengasihi, mencintai dan setia terhadap isterinya dengan sepenuh hati, maka hal yang serupa juga wajar dan harus dilaksanakan oleh isteri. "Cinta dan kesetiaan seorang isteri bukan didasarkan pada tingkahlaku suami, tetapi kepada nilainya sebagai pemberian Tuhan buatnya". Dia mungkin tidak sempurna tetapi dia adalah pemberian Tuhan yang sempurna.Tegasnya cinta seorang isteri memerlukan tindakan pengorbanan.
- MENGHORMATI SUAMI
Prinsip yang berikutnya ialah seorang isteri harus menghormati suaminya.Dalam kepercayaan saya, penghormatan bererti menggangkat orang itu dengan sukarela atas dasar pertimbangan dan perlakuan khusus iaitu .".setiap suami harus mengasihi isterinya seperti dia mengasihi dirinya sendiri, dan setiap isteri harus menghormati suaminya.." Apabila seorang isteri menghormati seorang suaminya, suami itu akan berasa bangga manakala keyakinannya akan meningkat. Tindakan menghormati suami merangkumi memahami dan menyatakan penghargaan terhadapnya.
- MEMBERI SOKONGAN KEPADA SUAMI
Maksud sokongan di sini ialah memberi tumpuan pada melengkapi, bukan menjadi saingan kepada suami.Sokongan anda sebagai seorang isteri akan mendorong suami anda menjadi seorang pemimpin keluarga yang taat dan percaya pada Tuhan. Ada kata-kata nasihat kepada para isteri yang berbunyi ; " taatlah kepada suami seperti anda taat kepada Tuhan." Taat bererti juga mendorong suami untuk memimpin keluarga dan memperlihatkan kesediaan mengikutinya, malah harus juga menyokong daya usaha suami. Suami juga memerlukan sokongan isteri semasa berada di khalayak ramai ataupun di hadapan orang lain. Seorang suami yang baik menganggap isterinya lebih berharga daripada permata,malah lebih bernilai daripada apa-apa pun di dunia ini (kecuali Tuhan). Dia mempunyai keyakinan terhadap isterinya. Isteri yang dibanggakan oleh suami adalah isteri yang seumur hidupnya berbuat baik terhadap suaminya dan tidak berbuat jahat kepadanya.
- MENDOAKAN SUAMI
Suami anda adalah manusia biasa, dan bukan malaikat. Dia juga masih tinggal di bumi yang penuh dengan pancaroba. Oleh kerana dia manusia biasa pastinya dia masih memiliki kelemahan,kekurangan dan keinginan yang tidak selari dengan kehendakNya. Secara spiritual para suami memerlukan kekuatan, dokongan dan teman agar berjaya mengharungi cabaran-cabaran kedagingan, godaan ketamakan, keserakahan nafsu, meminggirkan keluarga dan sebagainya. Peribadi yang paling sesuai untuk menjadi temannya ialah isternya sendiri. Dalam hal ini menjadi satu keharusan buat isteri untuk sentiasa berdoa buat suaminya. Mendoakan suami merupakan tindakan yang paling wajar dan bijak, malah kita dituntut juga untuk saling mendoakan. Persoalannya, bagaimana seorang isteri dapat mendoakan suaminya jika dia sendiri belum ataupun tidak percaya kepada Tuhan. Ada kata-kata yang berbunyi.."doa orang yang melakukan kehendakNya, sangat besar kuasanya". Lantaran itu, para isteri terlebih dahulu perlu mendekatkan diri kepada Tuhan dan mempercayaiNya dengan segenap akal budi dan sepenuh hati. Berdoa untuk suami harus diberi keutamaan oleh seorang isteri. Sentiasa mendoakan suami dan menyerahkan suaminya kepada Tuhan memerlukan komitmen yang berterusan daripada seorang isteri.
Kesimpulanya, para suami atau isteri mari kita saling memperhatikan dengan hati yang rindu untuk memperbaiki yang rosak atau retak dan bukan dengan kebencian dan dendam mencari kesalahan lantas menambahkan luka rumah tangga. Sebagai suami atau isteri kita memiliki tanggungjawab bersama bukan sahaja untuk memberikan kebahagian kepada pasangan kita,tetapi juga memastikan keluarga yang dibentuk sentiasa terurus sebagaimana kehendakNya. Pada waktu kita komited untuk melaksanakan ketetapan Tuhan dalam perkahwinan dan menyerahkannya pada Dia pastinya kita akan diberi kemampuan untuk mendemonstrasikan cinta, kesetiaan, penghargaan, sokongan dan pengorbanan terhadap pasangan kita. Mari kita mengharapkan sesuatu yang positif iaitu agar rumah tangga akan berkekalan sampai akhir hayat. Malah menjadi "sorga dunia" bagi setiap pasangan dan anak-anaknya.
Salam dan semoga damai bersama kita sentiasa,,,