Jumaat, 18 Oktober 2019

PRINSIP KEHIDUPAN BERDASARKAN UCAPAN YBHG DATUK NORMAH GAGOH.

Salam, selamat berjumpa semula, ini catatan lama iaitu kira2 sembilan tahun yang lalu namun masih berbentuk draf, saya mengambil peluang  untuk publishnya..
Dalam majlis meraikan persaraan mantan pengarah Jabatan Pendidikan Sabah pada 15/01/2010  di Shangrila Tanjung Aru Beach Hotel beberapa pengisian telah diatur oleh penganjur, antaranya persembahan tarian, deklamasi sajak, nyanyian karaoke dan ucapan. Namun bagi saya ucapan mantan pengarah yang paling berimpak kerana terdapat beberapa prinsip yang boleh dijadikan panduan ataupun renungan. Antaranya ialah;

1.Prinsip Sebagai Seorang Isteri  
Dalam ucapan beliau, datuk memberikan kata-kata "sekali saya mencintai seseorang, saya akan mencintainya untuk selama-lamanya...." Kata-kata keramat ini jelas sekali beliau tujukan pada suaminya. Walaupun seorang yang berstatus tinggi dan di khalayak ramai beliau dapat mengungkapkan kata-kata "indah" ini. Berdasarkan ungkapan berkenaan, menunjukkan betapa beliau mementingkan ketulusan ikatan kasih seorang isteri kepada suaminya.  Beliau juga ada menyatakan sebelum membuat keputusan untuk bersara awal beliau telah berbincang terlebih dahulu dengan suaminya untuk mendapatkan persetujuan. Saya percaya beliau ungkapkan kata2 ini dengan hati yang tulus.

2.Prinsip Sebagai Seorang  Pekerja
Apabila bekerja dan dibayar gaji, maka pekerjaan itu haruslah dianggap sebagai tanggungjawab yang utama. Perkara-perkara lain adalah perkara yang kedua sahaja. Oleh itu sifat amanah terhadap pekerjaan adalah penting dan perlu dipraktikkan. Begitu juga sebagai kakitangan pendidikan di sekolah, tugas utama ialah untuk mengajar dan mendidik anak murid. Perkara-perkara lain dianggap sebagai sokongan terhadap tugas mengajar dan mendidik.Guru-guru dan kakitangan yang dipindahkan harus diterima dengan positif dan sebagai kakitangan harus juga akur terhadap arahan berkenaan. Ini kerana ada sebab-sebab tertentu yang mungkin dan boleh membawa kebaikan kepada para guru ataupun kakitangan yang dipindahkan itu.

3.Prinsip Saling Melengkapi
Beliau menyatakan beliau telah berusaha dengan sebaik-baiknya melaksanakan tugas sesuai dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan keperluan pendidikan negeri semasa menjawat Pengarah Pelajaran Sabah. Walau bagaimanapun sebagai seorang insan biasa mungkin ada kekurangan dan kelemahan tetapi itulah pentingnya semangat saling melengkapi. Beliau memberi contoh antara beliau sebagai Pengarah dan Timbalan Pengarah, wujud sikap saling melengkapi dalam pengurusan. Apabila ada pegawai yang memerlukan penerangan berkaitan dengan peraturan, pekeliling ataupun perlu teguran maka pegawai itu akan menemuinya, namun jika pegawai itu perlu   "ditenangkan" ataupun perlu dibimbing maka akan berjumpa dengan timbalannya.

4.Prinsip Sebagai Pemimpin dan Pengurus
Datuk juga menerangkan dalam melaksanakan tugas, apabila beliau perlu menegur kakitangan bawahannya disebabkan kelalaian melaksanakan tugas ataupun sesuatu kesilapan, beliau akan melakukannya di dalam biliknya. Beliau tidak akan membuat teguran di hadapan pegawai lain. Tujuannya adalah untuk menjaga maruah kakitangan berkenaan. Selain itu apabila menerima surat layang atau difitnah anggap itu sebagai cabaran. Pemimpin yang baik kadangkala tidak popular. Sebagai pemimpin di peringkat sekolah, seseorang itu juga jangan terlalu mudah mengambil keputusan untuk membuang murid yang bermasalah. Harus mengikuti prosedur dan pembuangan murid  itu adalah langkah yang terakhir. Beri peluang anak-anak murid untuk dibentuk dan dididik. Harus diingat, jika pelajar itu adalah anak kita, kita pun tidak mahu anak-anak kita dibuang sekolah.

5.Prinsip Menjaga Kesihatan
Sebagai insan kita perlu menjaga kesihatan kita. Apapun jawatan kita kalau kita sakit dan disahkan oleh pakar perubatan untuk tidak lagi dapat melaksanakan tugas dengan sempurna maka jawatan yang kita pegang itu akan diberikan oleh kerajaan pada orang lain. Justeru itu dalam usaha melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh kerajaan, kita perlu menseimbangkannya dengan usaha menjaga kesihatan.

Rakan-rakan, mari kita menghayati dan mengaplikasikan prinsip-prinsip kehidupan yang telah dikemukakan oleh mantan pengarah kita. Mungkin ada hal-hal lain yang beliau telah kemukakan yang tidak sempat saya paparkan dalam tulisan ini, walau bagaimanapun semua panduan beliau jelas boleh membantu kita sebagai pendidik dan pemimpin sekolah yang lebih bijaksana.


PRINSIP KEHIDUPAN BERDASARKAN UCAPAN YBHG DATUK NORMAH GAGOH.

Salam, selamat berjumpa semula, ini catatan lama iaitu kira2 sembilan tahun yang lalu namun masih berbentuk draf, saya mengambil peluang  u...