Jumaat, 7 Disember 2018

IMPIAN MENJADI KENYATAAN - SEORANG YANG GAGAL BERJAYA MENDAPAT GELAR DOKTOR PENDIDIKAN


Sejak di bangku sekolah saya sudah berimpian untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah dengan menjadikan mereka yang sudah berjaya dalam pendidikan dan kerjaya  sumber inspirasi. Kemiskinan keluarga juga menjadi pendorong saya, Kemiskinan keluarga juga menyebab saya hanya berjaya menjejakkan kaki ke Kota Kinabalu pada tahun 1984 iaitu selepas peperiksaan SPM untuk mencari kerja.
Dari segi segi akademik saya bukanlah seorang pelajar pandai, saya pernah gagal dalam penilaian Tahun Enam dan mengambil peperiksaan STPM sebanyak tiga kali baru lulus penuh untuk layak ke Universiti Sains Malaysia untuk mengambil Ijazah Sarjana Muda Pendidikan. Untuk melanjutkan pendidikan dalam peringkat Sarjana juga banyak halangan. Proposal yang saya hantar di dua IPTA ditolak. Namun ini tidak mematahkan semangat saya, keluarga banyak memberikan dorongan. Misalnya bapa saya  pernah mengatakan, "kalau  satu pintu tertutup, pasti Tuhan akan buka pintu yang lain, kalau kita tidak berputus asa". Akhirnya saya diterima melanjutkan pengajian Sarjana di Unisel secara sepaaruh masa dengan  perbelanjaan sendiri.  Saya berjaya menyelesaikan pengajian Sarjana  pada tahun 2012 dengan Gred Purata 3.91. Pada bulan september 2013 saya meneruskan pengajian ke peringkat Doktor Pendidikan (EdD) di universiti yang sama.
Banyak faktor yang mendorong saya untuk sampai ke peringkat kedoktoran, kesusahan hidup masa kanak-kanak (berjalan kaki sejauh 4 batu pergi balik sekolah),  berjualan sayur dan buah bersama para ibu-ibu di pasar Bandau semasa tingkatan 1-2, tinggal di rumah setinggan yang tiada bekalan elektrik dan air, tinggal di bilik sempit bersama enam orang yang lain di kota Kinabalu  dan  kegagalan membeli buku rujukan kerana kemiskinan keluarga memberi galakan kepada saya untuk terus berusaha. Di samping itu ibubapa dan keluarga juga banyak memberikan dorongan dan keyakinan kepada saya bahawa, "pendidikan merupakan salah satu alat yang  mampu  mengubah kehidupan." Oleh itu saya juga bertekad untuk mengubah nasib keluarga dan memutuskan rantai kemiskinan yang diwarisi turun temurun.
Bagi saya pencarian  ilmu  tidak pernah berhenti, kerajaan juga memberikan banyak peluang untuk kita melanjutkan pendidikan selaras dengan dasar pendidikan sepanjang hayat. Oleh itu saya meneruskan pengajian ke peringkat kedoktoran kerana saya percaya banyak teori ilmu pendidikan, kepemimpinan , kepengurusan, komunikasi, budaya  dan sebagainya yang boleh diaplikasikan dalam kerjaya sebagai pengurus, pemimpin dan pendidik di sekolah dan masyarakat.   
Walaupun banyak rintangan yang ada namun saya hadapinya dengan memenuhkan minda saya dengan kata-kata positif dan berinspirasi sehingga  minda separa sedar saya diisi  dengan istilah serta impian yang mampu membangkitkan semangat saya untuk menyelesaikan pengajian ini.  Usaha gigih, banyak membaca, membuat banyak rujukan dan kurang tidur  adalah perkara biasa apa lagi jika  bekerja sambil belajar. Walau bagaimanapun dengan sokongan penyelia dan pensyarah, isteri dan anak-anak, keluarga besar saya serta rakan – rakan yang sentiasa memberikan semangat telah memudahkan saya menyelesaikan pengajian ini.
Harapan saya agar kejayaan kecil ini dapat memberikan inspirasi buat anak – anak saya dan  anak-anak murid saya serta semua yang dahagakan kejayaan.  Dalam dunia ini “tiada suatupun yang mustahil, semuanya serba mungkin” termasuk dalam pendidikan. Para ibubapa berilah sokongan kepada anak-anak untuk berjaya, tanamkanlah kata – kata positif kepada mereka bahawa mereka boleh berjaya.  

PRINSIP KEHIDUPAN BERDASARKAN UCAPAN YBHG DATUK NORMAH GAGOH.

Salam, selamat berjumpa semula, ini catatan lama iaitu kira2 sembilan tahun yang lalu namun masih berbentuk draf, saya mengambil peluang  u...