Ahad, 5 Ogos 2012

KATAKAN TIDAK KEPADA RASUAH.....


Sambungan..
Manusia tergamak melakukan jenayah rasuah ini disebabkan oleh beberapa faktor.Antaranya ialah;
  • Kelemahan Individu. Misalnya seseorang itu ingin hidup mewah melebihi pendapatan atau gaji rasminya. Ini juga didorong oleh sikap tamak, ingin cepat kaya, suka berjudi, boros dan suka berhutang .
  • Sosial Dan Kebudayaan. Pegangan dan amalan agama yang lemah juga menyebabkan seseorang itu mudah terjebak dengan musuh negara no.1 ini. Sifat tidak mempedulikan @ membiarkan sahaja perbuatan ini berlaku dengan alasan "tidak mahu menjaga tepi kain orang",juga turut menyumbang kepada masalah ini. Selain itu amalan  seperti pemberian angpow dan buah tangan, keperluan perkhidmatan asas dan sosial melebihi kemudahan yang sedia ada serta keinginan untuk sering melancong tanpa sumber pendapatan yang kuat menyebabkan sesetengah orang mudah menerima dan memberi rasuah.
  • Kepimpinan dan Pentadbiran.Kelemahan pemimpin dalam organisasi yang lemah jati diri dan kurangnya penguatkuasaan, tabiat melambat-lambatkan urusan pejabat, amalan  “Overgrown bureaucracy” serta telampau banyak penurunan kuasa juga menyebabkan jenayah ini sukar dihapuskan.
  • Pembangunan Ekonomi dan Modenisasi. Perlaksanaan projek-projek pembangunan tanpa kawalan serta tekanan modenisasi gaya hidup yang sentiasa bersaing @ berlumba – lumba untuk lebih hebat, berjaya, kaya dan sebagainya turut membantu penerusan amalan negatif ini. Malah budaya suka memiliki peralatan yang canggih atau mempamerkan kehebatan mereka dengan apa yang dimiliki mendorong jenayah ini berlaku.
  • Politik. Tidak dapat dinafikan kecenderungan sesetengah pihak mencari kekayaan melalui saluran politik menyebabkan amalan buruk ini sukar dihapuskan. Ini menyebabkan perlakuan penyalahgunaan kuasa dan nepotisme berlaku.
Implikasi suapan ini sangat buruk sama ada kepada negara, masyarakat, keluarga ataupun pada individu.
  1. Negara:           Meningkatkan kos dan sara hidup (harga barang dan perkhidmatan dinaikkan bagi menampung kos sogokan), ia menjejaskan keselamatan awam (bangunan dan infrastruktur yang dibina tidak mengikut spesifikasi namun diluluskan), keselamatan nyawa dan kesejahteraan rakyat juga terancam akibat jenayah yang meningkat, ketidakadilan juga berlaku terhadap golongan lemah kerana dinafikan hak mereka serta jurang antara yang kaya dan miskin semakin ketara. Selain itu, ia juga menyebabkan kehilangan daya saing dan hasil negara, kelicinan dan kecekapan pentadbiran terjejas serta maruah diri, bangsa dan negara merudum.
  2. Masyarakat: Suapan ini mengakibatkan ketidakadilan dan mengenepikan hak-hak golongan tertentu. Ia juga menggalakkan jenayah dan perbuatan melindungi penjenayah. Seterusnya ini membebankan masyarakat dan memburukkan lagi masalah kemiskinan kerana sumber2 yang telah ditetapkan bagi membantu rakyat miskin kemungkinan diselewengkan.
  3. Keluarga dan individu: Individu yang terlibat dan didapati bersalah akan kehilangan pekerjaan atau pendapatan dan maruah diri dan keluarga tercemar. Ini seterusnya akan menghancurkan keluarga. Malah  golongan yang tidak terlibat juga kemungkinan dinafikan hak untuk sesuatu pekerjaan, jawatan  ataupun perniagaan angkara bahana ini.  

@ Bayangkan apabila seorang bapa memberi makan isterinya dan anak2nya hasil wang haram ini.. atau seorang anak memberi makan bubapanya hasil rasuah yang dianggap najis ini…tergamakkah kita melakukannya……..

Khamis, 2 Ogos 2012

RASUAH ...WANG HARAM YANG MEMBAWA KEMUDARATAN (1)


Definisi           Rasuah merupakan sebarang penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk diri seseorang kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan. Ia termasuk apa jua bentuk penerimaan atau pemberiaan yang dikenali sebagai duit kopi atau ganjaran, suapan seperti wang ringgit, diskaun, upah, jawatan, perkhidmatan, hadiah, bonus atau undi dengan niat sebagai dorongan untuk melakukan atau tindakan berkaitan dengan tugas rasmi.
Dipetik  dari brosur :
Negara Tanpa Rasuah Rakyat Hidup Bermaruah

Ini bermakna rasuah termasuklah;
  • Meminta / Menerima Rasuah Mana2 orang atau ejen secara rasuah meminta/menerima/bersetuju menerima suapan sebagai dorongan atau upah untuk melakukan atau tidak melakukan apa-apa jua berkenaan transaksi tersebut atau berkenaan dengan urusan rasmi.
  • Menawar/Memberi Rasuah - Mana2 orang atau ejen secara rasuah menawarkan atau memberi suapan sebagai dorongan atau upah untuk melakukan atau tidak melakukan apa2 jua berkenaan transaksi tersebut atau berkenaan dengan urusan rasmi.
  • Membuat Tuntutan Palsu - Mana2 orang memberi kepada ejen atau ejen memberi kepada majikannya @pihak berkenaan sesuatu dokumen yang diketahuinya atau disedarinya mengandungi butiran palsu, yang mana majikannya @ pihak berkenaan mempunyai kepentingan, dengan tujuan untuk mengeliru/memperdayakan majikannya @ pihak berkenaan.
  • Menyalahgunakan Kuasa Dengan Kedudukannya - Mana2 pegawai badan awam menggunakan jawatan atau kedudukannya untuk mendapat suapan membuat apa2  keputusan atau mengambil tindakan berhubung dengan apa2 perkara mengenainya, dimana pegawai itu, saudara maranya atau sekutunya ada kepentingan secara langsung atau tidak langsung

Jika sekiranya perbuatan suapan itu berlaku tanpa dirancang,maka ia digelar rasuah spontan. Ini biasanya melibatkan mereka yang tidak mengenali antara satu sama lain.Namun apabila perbuatan jenayah rasuah itu telah dirancang terlebih dahulu dan melibatkan persetujuan bersama serta penerima dan pemberinya saling mengenali, maka jenayah ini digelar rasuah bersendiket.

Sabtu, 28 Julai 2012

SEKITAR MAJLIS ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG DAERAH KOTA KINABALU


Sekitar Majlis  Penyerahan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Peringkat Daerah Kota Kinabalu  18.07.2012 di Auditorium Puterajaya  Kota Kinabalu.

Penulis berkesempatan untuk mewakili pengetua dalam majlis  penyampaian sijil APC kepada para guru oleh datuk pengarah Jabatan Pelajaran Sabah. Suasananya agak meriah kerana selain urusetia dan pengetua@wakil,  semua yang hadir adalah penerima sijil APC daripada datuk pengarah. Penulis duduk  di barisan belakang bersama dengan pengetua, gurubesar atau wakilnya. Penulis agak kecewa kerana terlupa membawa buku nota yang biasa saya lakukan apabila menghadiri majlis – majlis seumpama ini, terpaksa  meminjam daripada seseorang agar dapat mencatat isi ucapan datuk pengarah yang penulis anggap cukup memberi inspirasi kepada para pendengar.Antara inti ucapan beliau ialah;

  • Guru2 penerima APC dianggap antara guru terbaik kerana daripada ribuan guru-guru yang ada dalam daerah Kota Kinabalu, hanya 351 orang yang terpilih. Justeru guru-guru terbabit perlu menghargai pengiktirafan itu dengan usaha yang lebih gigih lagi untuk mendidik pelajar dan terus menjadi “role model” kepada guru2 lain.
  • Dalam pada itu para pendidik yang belum mendapat APC, tetapi seorang yang bekerja keras dengan gigih, tidak  perlu merasa terlalu kecewa kerana walaupun kadang kala manusia terlepas pandang terhadap segala usaha dan kegigihan kita namun yakinlah bahawa “ pada Tuhan tidak ada satupun yang berada di luar  pemerhatiannya, Dia mengetahui keikhlasan dan kegigihan kita dan pastinya kita akan mendapat balasan yang lebih istimewa dalam bentuk lain, yang orang lain mungkin tidak akan terima”.
  • Profesion perguruan adalah istimewa kerana berkaitan dengan pembentukan insan. Di mana ada manusia di situ ada guru, oleh itu guru harus menjadi “lebih baik daripada yang baik bahkan menjadi yang paling baik  daripada yang yang terbaik”.Justeru guru wajar menmbahkan ilmu dan keazaman untuk melakukan yang terbaik demi untuk profesion perguruan dan  kecemerlangan sekolah. Para guru tidak perlu khuatir terhadap sesuatu kesilapan yang mugkin akan dilakukannya. Ini kerana “lebih baik berbuat kesilapan kerana melakukan sesuatu daripada tidak pernah berbuat kesilapan kerana tidak pernah melakukan sesuatu”. 
Selain itu penulis juga berpeluang untuk memperhatikan telatah para pengurus@pengetua sekolah. Mereka cukup gembira dan bersemangat  memberikan sokongan dengan bertepuk tangan apabila anak-anak buah mereka dijemput menerima sijil daripada datuk pengarah. Kegembiraan mereka  pastinya bukti bahawa penilaian pemilihan yang mereka buat itu adalah tepat.

Disamping itu juga penulis mendapati Pengetua Cemerlang JUSA C, Pn. Julia Willie Jok pengetua yang cukup super dalam amalannya iaitu dengan mengambil peluang untuk bergambar dengan guru-guru sekolahnya yang menerima APC@ beliau yang berinisiatif membawa guru2nya bergambar (kalau tidak silap beliau pengetua pertama yang bergambar dengan guru2nya pada hari itu). Beliau sentiasa memperlihatkan “model the way” walaupun untuk perkara yang sekecil itu tetapi pada penulis ia telah memberikan impak yang positif. Penulis melihat kegembiraan guru2nya dan pastinya mereka merasa bangga.

Kepada rakan2 guru yang mendapat  pengiktirafan pada hari itu, jadikannya sebagai pemangkin untuk lebih berdedikasi melaksanakan tugas dengan hati yang ikhlas bagi merealisasikan hasrat murni profesion kita sesuai dengan visi Kementerian Pelajaran Malaysia.

Ahad, 22 Julai 2012

Pengajaran Dari Cerita Mat Jenin

Salam dan selamat menjalani ibadah puasa kepada keluaraga saya yang beragama Islam, rakan-rakan dan juga semua pembaca yang beragama Islam. Kali ini saya teringin memgimbas cerita Mat Jenin suatu cerita rakyat yang agak popular di negara ini.  Dari  generasi ke generasi lain kebodohan Mat Jenin  sering menjadi bahan gurauan. Ini sesuai dengan watak bodoh-pintarnya dalam kisah yang sememangnya tergolong dalam cerita jenaka. Kegagalan utama Mat Jenin ialah kerana beliau dibuai oleh angan-angannya untuk mengahwini puteri raja. Beliau hanya berimaginasi tanpa disusuli dengan usaha. Kalau Mat Jenin mempraktikkan rancangan yang ada dalam mindanya dan disusuli oleh tindakan yang tepat, sudah tentu kisah tentang Mat Jenin ini akan berubah, malah pastinya beliau akan menjadi sanjungan dan idola sekurang-kurangnya bagi rakyat Malaysia. Pendapat ini saya dasarkan pada beberapa kebijaksanaan Mat Jenin;
  • Beliau mempunyai " impian yang jelas" iaitu ingin mengahwini puteri raja.
  • Beliau mempunyai "cukup perancangan" yang teratur dengan langkah demi langkah . Ini bermakna     beliau   "perancang yang baik". Antaranya menjual buah kelapa, selepas itu memternak ayam sehingga banyak, dijual dan memternak kambing, kemudian kambing dijual dan menternak lembu, sehingga lembu jadi banyak dan dijual kemudianya dengan wang yang ada  dia akan berkahwin dengan puteri raja. Imaginasi dan strategi yang difikirkan oleh Mat Jenin merupakan antara resepi kejayaan seseorang. 
  • Bahkan keinginannya untuk berkahwin dengan puteri raja merupakan antara contoh “impian besar atau    cita-cita besar” yang dianggap wajar pada masa sekarang. 
Pada saya, kesilapan Mat Jenin hanyalah kerana beliau berkhayal semasa di atas pokok kelapa dan kedua kerana beliau tidak merealisasikan strateginya itu dalam bentuk nyata (hanya dalam pemikiran). Kalaulah beliau melakukan apa yang dirancangnya maka beliau layak digelar sebagai "pakar strategis" yang terawal dan menjadi kebanggaan negara ini.

Sabtu, 19 November 2011

SELESAI DAH KURSUS NPQEL...TERIMA KASIH...TERIMA KASIH IAB

Selepas lima bulan bertungkus lumus untuk mengikuti kuliah, bengkel, menyiapkan tugasan e-learning, forum, jurnal, projek penanadaarasan, sandaran dan tugasan akhirnya kami berjaya menyelesaikan kursus ini. Rasanya beban yang berat selama lima bulan sudah tertanggal di bahu ini..Difahamkan pada pengambilan yang berikutnya tugasan yang perlu disiapkan agak sedikit berbanding hampir 100 tugasan, jurnal, forum dan laporan yang kohort kami perlu siapkan. Dari satu segi kami merasa sangat tertekan  untuk menyiapkan pelbagai tugasan yang diberikan oleh pihak IAB disamping melaksanakan kerja-kerja sekolah yang masih menjadi tanggungjawab utama kami. Walau bagaimanapun dari segi positifnya kami diajar untuk lebih bertanggungjawab, lebih bijak mengurus masa, lebih jujur dan ikhlas (tidak menciplak atau mengupah orang lain menyiapkannya) dan lebih banyak membuat rujukan ilmiah. Pendek kata tugasan yang banyak telah mendidik kami untuk menjadi seseorang yang  mampu mengurus masa dan memberikan prioritas terhadap sesuatu yang lebih utama. Walaupun secara jujurnya "terdetik" dalam sanubari kami  rungutan-rungutan kecil, kerana tugasan yang terlalu banyak, namun kemampuan untuk melihatnya dari aspek positif  membuatkan kami merasa beruntung. Pada awal kursus, saya terfikir samada kami berkemampuan untuk menyiapkan tugasan yang begitu banyak?, namun selepas melaluinya dan menyelesaikannya timbul rasa puas kerana berjaya  mengharunginya dan seterusnya menyiapkan segala jenis tugasan yang diberikan. Sebagai penghargaan saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada mereka2 yang banyak telah mengajar kami dan juga membantu kami... para pensyarah IAB yang diketuai oleh Dr. Kamaruzzaman (ketua Jabatan) dan pn Sathiaya (pengurus SM4), penyelia saya En. Lew Yeok Leng dan En. Kunalan Kuriaya, pembimbing saya Pengetua Cemerlang Jusa C, Pn. Julia Jok dan En. Che Rose bin Bakar, rakan-rakan penolong kanan dan para guru di sekolah saya dan seterusnya kepada pihak JPN negeri yang memberi peluang kepada saya untuk mengikuti kursus ini. Terima Kasih TUHAN... terima kasih semua..

Ahad, 24 Julai 2011

Saja..sementara menunggu flight ke Kota Kinabalu

Selamat petang semua...baru sampai di Terminal Tambang Murah dari IAB Genting kerana menghadiri kursus NPQEL fasa 1, untuk mengubat kebosanan sementara menunggu 'flight'  saya pun melihat-lihat blog yang sudah lama tidak dikemaskini lantaran pelbagai kesibukan. Timbul keinginan (atau saya paksa) untuk mencoret sedikit 'kata-kata' bagi renugan bersama. Ya... sebagai seorang pendidik yang cintakan ilmu dan kerjaya ini banyak hal yang kita perlu terapkan atau usahakan bagi  memertabatkannya. Antaranya, pendidik wajib mempunyai persiapan dan persediaan sebelum memasuki kelas, berpegang pada prinsip  'tepat masa' semasa melaksanakan semua kerja-kerja sekolah termasuklah mematuhi jadual waktu melaksana pengajaran dan pemelajaran yang diperuntukkan bagi kita. Selain itu kita sebagai guru-guru juga perlu menjadi 'pengikut yang baik'(atau lebih sesuai digelar sebagai pengikut yang bijak) kepada pihak atasan.  Semua perkara di atas bukan sahaja akan dapat memastikan pelanggan kita iaitu murid-murid mendapat ilmu yang menjadi 'hak mereka' malah ini juga merupakan antara prinsip penting yang digariskan dalam menjadi guru dan pemimpin sekolah pada masa kan datang. Para pemimpin  sekolah seperti pengetua juga pernah melalui situasi yang sama. Mereka yang bergelar pengetua, pengetua cemerlang, kanan ataupun pengetua super juga bermula dari bawah dan pernah menjadi pengikut di peringkat sekolah. Lagipun  agama kita juga mengajar perkara yang sama.... bersambung..

Ahad, 22 Ogos 2010

MEMPRAKTIKKAN SEMANGAT KEMERDEKAAN DAN KEMALAYSIAAN...

Hii kawan2 selamat berjumpa kembali..dan kepada rakan2 muslim saya ingin mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa.

Ya.. bulan Ogos dan September dianggap antara bulan yang amat istimewa kerana pada bulan ini, negara kita sedang dan akan merayakan Hari Kemerdekaan serta Hari Malaysia. Secara peribadi Malaysia amat istimewa, kerana  nama keramat  ini  merupakan tanah tumpah darah, tanah air dan tanah ibu pertiwi saya.Tegasnya "saya tidak memiliki negara lain selain negara ini dan juga tidak memiliki negeri lain selain nageri Sabah".Saya percaya semua rakyat negara ini juga berkongsi perasaan yang sama. Tidak kira apa suku, etnik, bahasa, agama, bangsa, keturunan dan warna kulit anda,jika anda adalah rakyat negara mengikut Peruntukan Perlembagaan Undang2 yang ada, maka pastinya anda adalah rakyat yang bertuah kerana menjadi "Orang Malaysia".Lahir di Sabah, negeri di bawah bayu yang terkenal dengan kepelbagaian etnik dan agama, namun mampu hidup dalam keadaan bersatu padu merupakan suatu yang membanggakan.Inilah yang membuatkan Sabah (dan juga Sarawak) sering dianggap sebagai negeri contoh dan bukti kewujudan semangat perpaduan yang sebenar di negara ini. Justeru kita berharap agar "tali persaudaraan" ini tidak akan terurai dan seterusnya terputus hanya disebabkan oleh perbezaan fahaman politik, anutan agama,  bahasa dan bangsa.

Baru-baru ini kita dikejutkan oleh paparan beberapa akhbar arus perdana tentang ucapan seorang penjawat awam di Johor yang kononnya meminta saudara kita dari kaum Cina agar kembali ke negara China dan menyamakan rantai keagamaan Hindu yang dipakai oleh rakan seMalaysia kita dari kaum India sama seperti rantai anjing sememangnya amat menjijikkan.Jika benarlah laporan ini, maka jelaslah bahawa semangat "kekitaan" sebagai rakyat Malaysia belum benar2 jitu dan tertanam pada minda atau amalan sesetengah warga kita. Sebagai rakyat Malaysia mari kita sama-sama menghargai, menerima dan mengakui kepelbagaian bangsa serta agama kita malah mempraktikkan perpaduan ini sesuai dengan semangat Satu Malaysia.Tidak kiralah apa profesion kita, mungkin sebagai penjawat awam, politikus, agamawan dan sebagainya tanggungjawab kita adalah sama iaitu untuk merealisasikan semangat "bersatu"ini bukan sekadar teori  semata-mata tetapi juga pada praktiknya.

Salam..

PRINSIP KEHIDUPAN BERDASARKAN UCAPAN YBHG DATUK NORMAH GAGOH.

Salam, selamat berjumpa semula, ini catatan lama iaitu kira2 sembilan tahun yang lalu namun masih berbentuk draf, saya mengambil peluang  u...