Memaparkan catatan dengan label keluarga. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label keluarga. Papar semua catatan

Selasa, 23 Februari 2010

TANGGUNGJAWAB PENTING SEORANG ISTERI TERHADAP SUAMINYA

Bahagian 2:Tanggungjawab isteri

Posting yang lalu saya mengemukakan beberapa cadangan tentang peranan atau tanggungjawab seorang yang bergelar suami dalam institusi perkahwinan. Pada kesempatan ini saya cuba membincangkan pula mengenai tanggungjawab penting para isteri terhadap kerukunan dan kebahagian rumah tangga. Secara prinsip suami dan isteri mempunyai nilai yang sama di hadapan Tuhan.Malah mereka disatukan untuk "saling melengkapi dan saling bergantung" antara satu sama lain. Oleh yang demikian sebagai isteri wanita harus hidup dengan bijaksana dan mempu membuat sesuatu pertimbangan dengan berpandukan pada nilai-nilai yang mulia dalam segala hal. Antara tanggungjawab utama seorang isteri ialah;

  • MENCINTAI SUAMI DENGAN SEPENUH HATI
Mencintai suami merupakan suatu tuntutan mutlak seorang suami daripada isterinya. Bukan sekadar mencintai tetapi mencintainya dengan sepenuh hati, jujur dan juga setia pada perkahwinannya. Mencintai sepenuh hati bererti mencintai tanpa syarat. Ketika seorang gadis mengambil keputusan untuk berkahwin dengan kekasih hatinya, maka harus difahami bahawa keputusan itu merupakan suatu komitmen seumur hidup. Sama seperti lelaki harus mengasihi, mencintai dan setia terhadap isterinya dengan sepenuh hati, maka hal yang serupa juga wajar dan harus dilaksanakan oleh isteri. "Cinta dan kesetiaan seorang isteri bukan didasarkan pada tingkahlaku suami, tetapi kepada nilainya sebagai pemberian Tuhan buatnya". Dia mungkin tidak sempurna tetapi dia adalah pemberian Tuhan yang sempurna.Tegasnya cinta seorang isteri memerlukan tindakan pengorbanan.

  • MENGHORMATI SUAMI
Prinsip yang berikutnya ialah seorang isteri harus menghormati suaminya.Dalam kepercayaan saya, penghormatan bererti menggangkat orang itu dengan sukarela atas dasar pertimbangan dan perlakuan khusus iaitu .".setiap suami harus mengasihi isterinya seperti dia mengasihi dirinya sendiri, dan setiap isteri harus menghormati suaminya.." Apabila seorang isteri menghormati seorang suaminya, suami itu akan berasa bangga manakala keyakinannya akan meningkat. Tindakan menghormati suami merangkumi memahami dan menyatakan penghargaan terhadapnya.

  • MEMBERI SOKONGAN KEPADA SUAMI
Maksud sokongan di sini ialah memberi tumpuan pada melengkapi, bukan menjadi saingan kepada suami.Sokongan anda sebagai seorang isteri akan mendorong suami anda menjadi seorang pemimpin keluarga yang taat dan percaya pada Tuhan. Ada kata-kata nasihat kepada para isteri yang berbunyi ; " taatlah kepada suami seperti anda taat kepada Tuhan." Taat bererti juga mendorong suami untuk memimpin keluarga dan memperlihatkan kesediaan mengikutinya, malah harus juga menyokong daya usaha suami. Suami juga memerlukan sokongan isteri semasa berada di khalayak ramai ataupun di hadapan orang lain. Seorang suami yang baik menganggap isterinya lebih berharga daripada permata,malah lebih bernilai daripada apa-apa pun di dunia ini (kecuali Tuhan). Dia mempunyai keyakinan terhadap isterinya. Isteri yang dibanggakan oleh suami adalah isteri yang seumur hidupnya berbuat baik terhadap suaminya dan tidak berbuat jahat kepadanya.

  • MENDOAKAN SUAMI
Suami anda adalah manusia biasa, dan bukan malaikat. Dia juga masih tinggal di bumi yang penuh dengan pancaroba. Oleh kerana dia manusia biasa pastinya dia masih memiliki kelemahan,kekurangan dan keinginan yang tidak selari dengan kehendakNya. Secara spiritual para suami memerlukan kekuatan, dokongan dan teman agar berjaya mengharungi cabaran-cabaran kedagingan, godaan ketamakan, keserakahan nafsu, meminggirkan keluarga dan sebagainya. Peribadi yang paling sesuai untuk menjadi temannya ialah isternya sendiri. Dalam hal ini menjadi satu keharusan buat isteri untuk sentiasa berdoa buat suaminya. Mendoakan suami merupakan tindakan yang paling wajar dan bijak, malah kita dituntut juga untuk saling mendoakan. Persoalannya, bagaimana seorang isteri dapat mendoakan suaminya jika dia sendiri belum  ataupun tidak percaya kepada Tuhan. Ada kata-kata yang berbunyi.."doa orang yang melakukan kehendakNya, sangat besar kuasanya". Lantaran itu, para isteri terlebih dahulu perlu mendekatkan diri kepada Tuhan dan mempercayaiNya dengan segenap akal budi dan sepenuh hati. Berdoa untuk suami   harus diberi keutamaan oleh seorang isteri. Sentiasa mendoakan suami dan menyerahkan suaminya kepada Tuhan memerlukan komitmen yang berterusan daripada seorang isteri.

Kesimpulanya, para suami atau isteri mari kita saling memperhatikan dengan hati yang rindu untuk memperbaiki yang rosak atau retak dan bukan dengan kebencian dan dendam mencari kesalahan lantas menambahkan luka rumah tangga. Sebagai suami atau isteri kita memiliki tanggungjawab bersama bukan sahaja untuk memberikan kebahagian kepada pasangan kita,tetapi juga memastikan keluarga yang dibentuk sentiasa terurus sebagaimana kehendakNya. Pada waktu kita komited untuk melaksanakan ketetapan Tuhan dalam perkahwinan dan menyerahkannya pada Dia pastinya kita akan diberi kemampuan untuk mendemonstrasikan cinta, kesetiaan, penghargaan, sokongan dan pengorbanan terhadap pasangan kita. Mari kita mengharapkan sesuatu yang positif iaitu agar rumah tangga akan berkekalan sampai akhir hayat. Malah menjadi "sorga dunia" bagi setiap pasangan dan anak-anaknya.

Salam dan semoga damai bersama kita sentiasa,,,

Jumaat, 12 Februari 2010

TANGGUNGJAWAB PENTING SEORANG SUAMI TERHADAP ISTERINYA

Bahagian 1:Tanggungjawab Suami

Tulisan ini sebenarnya tercetus ekoran cadangan daripada seorang rakan blogger melalui komennya (dalam posting sebelum ini) agar cadangan untuk mengatasi masalah pengkhianatan pasangan dalam perkahwinan dapat ditulis.Hal pengkhianatan dan penyelewengan suami (juga isteri) terhadap pasangan mereka sememangnya sering kita dengar.Masalah ini amat berkaitan dengan godaan seks, suatu godaan yang amat berat bagi seorang lelaki termasuk mereka yang sudah bergelar suami.Pengkhianatan ini akan berterusan jika nilai agama dan kekudusan perkahwinan itu terus dipinggirkan.Terlalu banyak "mahligai keluarga" hancur berantakan akibat tiadanya rasa hormat terhadap kesucian institusi rumah tangga. Implikasinya bukan sahaja melukakan hati pasangannya malah akan menghancurkan masa depan anak-anak yang menjadi penerus kepada generasi mereka.Saya akui diri ini juga tidak sempurna (tiada manusia yang benar2 sempurna dalam dunia ini) namun perkongsian ini diharap dapat  membantu "memugar kembali" keindahan mahligai yang hampir ranap akibat taufan kecurangan dan mengajak kita berfikir untuk kembali ke pangkal jalan. Kepada yang masih bujang, sekurang-kurangnya ini dapat dijadikan panduan untuk berkeluarga pada masa hadapan.Cadangan untuk mengatasinya amat berkaitrapat dengan pemahaman terhadap tanggungjawab suami dan isteri dalam perkahwinan;


SUAMI PERLU MENGASIHI ISTERINYA SEBAGAIMANA TUHAN MENGASIHI ...
Tuhan itu amat baik, Dia mencipta dan memberikan kita peluang menikmati hidup ini malah Dia juga turut menyediakan semua yang kita perlukan, termasuklah pasangan hidup kita.Ini bukti bahawa Tuhan itu mengasihi.Seperti Tuhan mengasihi manusia, maka para suami juga dituntut memiliki kasih sedemikian rupa.Jika kasih Tuhan itu amat tulus dan murni, maka suami sewajarnya mengasihi dan mencintai isterinya dengan tulus dan sepenuh hati.Adakah prinsip ini terlalu ideal?..sebagai suami saya percaya, "kasih seperti ini adalah hadiah paling berharga yang dapat diberikan oleh suami kepada isterinya". Ini juga bermaksud suami wajar bersedia menolong isteri mengembangkan kelebihannya, berkorban demi isteri, membantu isteri mencapai impian dan minat mereka.Suami juga wajar mengasihi pasangannya dengan penuh lemah lembut, mesra bahkan melindungi isterinya daripada segala godaan daripada si jahat. Sebagai suami kita juga dituntut untuk tidak mengkhianati isteri kita.


SUAMI PERLU MENGASIHI ISTERI SEPERTI DIRINYA SENDIRI
Ini merupaka satu tuntutan yang murni dan menggambarkan betapa berharganya isteri itu kepada pasangannya. Siapakah manusia yang tidak mencintai dirinya sendiri? jika anda mengasihi diri sendiri, bermakna anda tidak ingin menyakitinya, melukainya, mencederakannya.Oleh itu perbuatlah seperti itu juga pada pasangan kita. Isteri adalah untuk dikasihi, dicintai dan disayangi.Dia juga penolong dan pelengkap pada seorang suami dan bukan  tempat melempiaskan keganasan, kekejaman dan kemarahan.Dia bukan sasaran penumbuk dan penampar, juga bukan seperti sebiji bola yang fungsinya untuk ditendang tetapi dia adalah  peribadi yang diberikan Tuhan untuk hidup bersama kita. Tempohnya bukan untuk sementara waktu tetapi untuk seumur hidup. Nah jika kita sebagai suami tidak ingin dikhianati dan dicurangi, maka kita juga jangan  mengkhianti dan bertindak tidak jujur padanya.


SUAMI PERLU MELINDUNGI DAN MENGHARGAI ISTERINYA
Para isteri adalah manusia dan memiliki perasaan. Oleh itu sebagai isteri bagaimanakah  mereka merasa dilindungi, dikasihi dan dihargai oleh suami mereka;Suami perlu mewujudkan kemesraan dalam perhubungan, mereka juga wajar diterima tanpa syarat. Justeru apapun latarbelakang keluarganya, latar belakang isteri, kelemahan dan kekurangan isteri ia wajar diterima tanpa syarat. Budaya ungkit mengungkit peristiwa lampau dan kelemahan pasangan perlu dihentikan kerana ia bukan petanda ciri menghargai tanpa syarat.Bukankah semasa memulakan perhubungan kelemahannya kita tidak peduli?. Seterusnya sebagai orang yang percaya Tuhan, suami harus memimpin pasangannya lebih mengenali Tuhan serta menjadi teladan yang baik bukan sahaja kepada isterinya malah juga pada anak-anak. 


SUAMI PERLU MENJADIKAN TUHAN SEBAGAI TUNJANG RUMAH TANGGA
Membentuk keluarga bukanlah semudah yang disangka.Semasa di alam percintaan, mugkin semuanya serba indah tetapi realitinya selepas berkahwin terlalu banyak cabaran dan ranjau yang perlu dihadapi. Ia melibatkan perasaan dan komitment kedua-dua pihak. Itulah ada kata-kata berbunyi "rumah dibina menggunakan batu bata tetapi rumah tangga dibina oleh dua hati".Suami sebagai ketua keluarga perlu berwibawa agar kerukunan keluarga dapat dinikmati. Para suami perlu menjadikan Dia sebagai Tuhan dan tunjang rumah tangga. Berdasarkan kekuatan dan kebolehan sendiri amat sukar, walau bagaimanapun apabila para suami memohon dan berdoa agar Dia menjadi Tuhan dalam hubungan suami isteri pasti Tuhan akan memberikan wibawa itu kepada suami.

Sebenarnya dalam melayari rumah tangga setan tidak senang melihat kebahagian, kerukunan dan kedamaian rumah tangga. Dia ingin menghancur dan meranapkan kegembiraan itu. Dia ingin menggantikannya dengan kesakitan dan penderitaan..Mungkin dia menyerupai manusia ataupun mungkin didasarkannya pada nafsu jahat manusia. Biasanya ia dimulai dengan affair yang mungkin menyeronokkan buat sementara waktu tetapi membawa kepahitan buat isteri dan anak-anak untuk sepanjang hayat.Tetapi ..masih ada jalan keluar untuk itu, iaitu serahkan segala persoalan, penyesalan kepada Dia ,cintai isteri seperti kasih yang mula-mula dan bertindaklah dengan bijak,


Salam perpaduan dan selamat tahun baru cina kepada rakan-rakan semua.

Berjumpa pada bahagian ke 2.



Isnin, 21 Disember 2009

HORMATI, HARGAI DAN SAYANGI AYAH KITA ..

Semasa bulan puasa dan seterusnya musim perayaan hari raya tahun ini terdapat  iklan yang berbentuk cerita ditayangkan di peti televisyen. Iklan ini banyak yang memberikan pengajaran yang baik kepada manusia terutama dalam aspek pembentukan institusi keluarga.

Misalnya paparan cerita yang amat menarik perhatian saya ialah cerita tentang seorang ayah (datuk pada dua cucu) yang sudah tua, mula nyanyuk dan tuli (perlu alat khas untuk mampu mendengar) yang tidak dipedulikan oleh anak dan menantu lelakinya (saya tidak ingat saluran siarannya).  Semasa makan si ayah yang terketar2 tangannya tanpa sengaja telah menjatuhkan makanan dari mulut akibat ketidakmampuannya menggunakan sudu, bahkan kadangkala piring dan mangkuk juga terjatuh akibat kesihatannya yang uzur. Sang ayah juga terceret di seluarnya kerana tidak memakai "pampers" dan akibatnya dia disindir dan diketawakan oleh darah dagingnya sendiri.  Akhir sekali tanpa belas kasihan, sang ayah mereka  asingkan tempat makannya dengan meja/kerusi sendiri dan menggunakan cawan dan mangkuk yang tidak mudah pecah walaupun terjatuh. Ini mungkin disebabkan anak / menantunya merasa jijik dan "geli" terhadap keadaan ayah/mertuanya yang uzur.  Ironiknya, bentuk mangkuk yang digunakan sama seperti mangkuk makan si kucing.  Anak dan menantu yang tidak berbudi ini tidak sedar bahawa si ayah yang mereka anggap nyanyuk sebenarnya mampu mendengar, memerhati, menyelami dan merasai kerana dia memiliki hati dan jiwa. Dia tahu yang dia dilayan dengan buruk oleh anaknya yang selama ini telah dijaganya seperti menatang minyak yang penuh sehingga berjaya. Kesedihan dan kekecewaan hati sang bapa ini dapat dilihat melalui titisan air mata yang mengalir pada pipinya.

Pada plot yang berikutnya si cucu yang masih polos dan bersih hatinya, meminta ayah dan ibunya  menyimpan meja dan kerusi makan datuk mereka, kerana mereka mahu menggunakannya untuk ibu dan bapa mereka apabila mereka sudah tua dan uzur (sama seperti datuk mereka). Ini satu tamparan hebat bagi anak dan menantu yang tidak mengenang budi ..akhirnya mereka sedar bahawa apa yang mereka lakukan pada ayah mereka akan dilakukan juga oleh anak-anak mereka  apabila mereka sudah tua dan uzur nanti.Ini seolah-olah satu " kitaran perlakuan" berdasarkan" konsep sebab dan akibat"

Persoalannya, kenapa iklan dalam bentuk cerita-cerita yang sangat baik seperti ini hanya dipaparkan semasa musim puasa/hari raya dan tidak diteruskan selepas perayaan?. Adakah insan hanya perlu menjadi "baik" pada musim berkenaan sahaja?.. Adakah ia benar2 merugikan dari segi kos jika sekiranya ditayang sepanjang masa...kemana perginya konsep tanggungjawab sosial para syarikat dan mungkin kerajaan. Bukankah pembentukan nilai itu perlu berterusan dan antara kaedah yang paling berkesan ialah melalui televisyen. Saya yakin ramai yang disedarkan melalui iklan cerita pendek tersebut supaya lebih bertanggungjawab terhadap ibubapa dan keluarga. Anak saya yang baru berumur 6 dan 11 tahun pun masih tercari-cari iklan ini  dan mereka menghargainya.

Moral daripada iklan ini ialah..mari kita kasihi orang tua / datuk nenek kita...jangan sisih ataupun abaikan mereka..mari tunaikan tanggungjawab kita sebagai anak dan menantu..walaupun orang tua kita sudah lanjut usia, mereka ada hati dan perasaan, mereka tahu menilai sejauhmana anak-anaknya menjaga mereka dalam keadaan ketidakmampuan mereka. INGAT apa yang kita lakukan pada orang tua kita mungkin akan dilakukan oleh anak-anak kita pula dan kitapun akan merasai penderitaan yang dialami oleh orang tua kita. Ya..hukum karma menyatakannya...

Selamat Hari Krismas dan Tahun Baru 2010

Rabu, 16 Disember 2009

ANAK - ANAK MARI KITA MENGHARGAI DAN MENGHORMATI IBUBAPA KITA

Baru-baru ini saya menonton satu rancangan TV bertajuk The Dim Sum Funeral. Ia menceritakan sikap anak-anak yang mengabaikan ibu mereka, namun mereka mula berubah sikap di penghujung cerita setelah mengetahui ibu mereka didapati mengidap kanser dan boleh meninggal dunia pada bila-bila masa. Mereka mula menunjukkan kasih sayang pada ibu mereka. Kata-kata sang ibu sungguh memberikan kesan kepada saya. Antaranya "apabila kita hampir pada kematian, kita akan merasakan betapa bernilainya hidup ini", "sementara orang yang kita miliki masih ada (hidup) hargai, kasihi dan jagailah mereka dengan baik-baik". Cerita ini menggerakkan hati saya untuk mencoret sedikit pandangan yang diharap dapat memberikan manfaat pada kita semua.


Sebenarnya banyak ibubapa (orang tua) yang kecewa kerana sikap anak-anaknya yang tidak "mengenang budi". Anaknya yang dulunya dibelai, disayangi, dimanja, dididik, dibesarkan, dan dijaga makan minumnya  bagai "ditatang bagai minyak yang penuh",  malangnya apabila dewasa, sudah  berkerjaya, ada keluarga sendiri mereka sanggup meminggir dan mengabaikan orang tua mereka. Sungguh malang kerana reputasi, kereta dan wang ringgit seolah-olah lebih bernilai daripada menghargai dan mengasihi orang tua.Ya..kita semua adalah anak daripada ibu dan bapa kita, sama ada kita sudah jadi "orang besar", berkerjaya, masih bersekolah ataupun masih kanak-kanak taraf kita masih sama iaitu" kita anak-anak kepada orang tua kita".Ada banyak alasan mengapa kita perlu menghormati dan menghargai orang tua kita, antaranya ialah;
  1. Menghormati orang tua kita adalah satu perintah daripada Pencipta. Semua agama di dunia mengajar agar anak-anak menghormati orang tua kita. Perbuatan tidak taat  tidak menghormati dan menghargai orang tua dianggap sebagai satu kesalahan serius. Malah ia  dianggap sebagai satu dosa besar.Sebenarnya taat dan menghormati orang tua adalah salah satu bukti bahawa seseorang itu mengamalkan ajaran agamanya.Inilah sebabnya ada kata-kata yang menyatakan kepercayaan tanpa perbuatan buahnya kosong, ya..beragama  perlu dipraktikan dan dibuktikan dengan amalan iaitu menghargai orang tua kita.
  2. Menghormati orang tua sumber kebahagian. Malah terdapat juga kepercayaan bahawa perbuatan ini juga memberikan umur panjang kepada anak-anaknya. Apakah kita ingin berbahagia di dunia..salah satu prinsipnya hargailah dan taatlah pada orang tua kita. Ada kata-kata yang sungguh indah tentang ini, iaitu "sorga di bawah telapak kaki ibu".Ibu adalah orang tua kita. Jika ibubapa kita masih ada inilah peluang terbaik kita iaitu mengasihi mereka.
  3. Melalui orang tua, kita berpeluang dilahirkan dan menjadi seperti sekarang ini. Justeru itu kerana merekalah kita dapat melihat ciptaan Tuhan yang indah ini. Tanpa perantaran mereka, kita tidak akan dapat menikmati kehidupan baik yang kita kecapi selama ini. Kita bukan sahaja dilahirkan, tetapi kita telah dibesarkan dengan penuh kasih sayang. Pada waktu itu atau pun pada masa ini, orang tua kita tidak kaya harta, tetapi mereka kaya kasih sayang. Mereka banyak berkorban demi kita anak-anaknya dengan satu impian agar kita berjaya dan menjadi anak yang dibanggakan. Mungkin orang tua kita bukanlah orang yang sempurna, banyak kekurangan dan kelemahan serta tidak sempurna. Namun siapakan manusia yang benar-benar sempurna di dunia ini?.Rasanya tidak ada..
  4. Orang tua kita lebih mendambakan kasih sayang dan penghargaan daripada anak-anak dan bukan harta bendanya. Kadang-kadang kita tersilap, sehingga memikirkan ibubapa kita lebih memerlukan wang ringgit daripada kasih sayang anak-anaknya. Sebenarnya mereka lebih memerlukan "kita".Wang ringgit itu hanya sekadar tempelan sahaja, ada atau tidak, banyak atau sedikit bukan ukuran yang muktamad, kerana realitinya orang tua lebih inginkan kasih sayang dan penghargaan anak-anaknya. Jadi jangan khuatir jika adakalanya kita tidak dapat memberi wang ringgit kepada mereka, kerana dengan kehadiran kasih sayang kita itupun akan membuatkan orang tua kita bahagia.
Mahukah kita menjadi bencana buat orang tua yang telah membesarkan kita atau menjadi sumber kebahagian bagi mereka. Ingat kita juga ada anak atau bakal memiliki anak satu masa nanti  dan ini bererti kita juga adalah orang tua. Setiap orang tua memerlukan hal yang sama iaitu ingin dihormati, dihargai, disayangi dan ditaati oleh anak-anaknya. Kita tidak ingin kealpaan kita terhadap orang tua kita akan menjadi satu kitaran yang menyedihkan yang akan kita lalui juga, sehingga kita juga diabaikan dan dipinggirkan oleh anak-anak kita. Ya..selagi orang tua kita masih ada, marilah kita mengasihi dan menghargai mereka. Ada ketikanya, kita terpaksa terima hakikat yang kita tidak dapat berjumpa dengan orang tua kita di alam ini.


Salam





Sabtu, 26 September 2009

PENGARUH RUMAH TANGGA TERHADAP ANAK-ANAK

Seorang tokoh Islam yang tersohor iaitu, Sheikh Al-Azhar pernah menyatakan 70 %  daripada kecemerlangan pelajar dipengaruhi oleh faktor rumah tangga,  Peter Mortimore pula berpendapat 60% kejayaan anak-anak/pelajar disebabkan oleh sokongan keluarga. Dalam Hadith juga ada menyebut "anak ibarat kain putih". Kenyataan-kenyataan  ini dipersetujui oleh M.Addler melalui tulisannya  Ten Philosophical Mistakes yang menjelaskan "insan pada asasnya mempunyai nature (tabiat) yang sesuai, yang membezakan kemudiannya adalah lantaran adanya kelainan dalam nurture (asuhan). Pendapat tokoh ini menunjukkan betapa pentingnya peranan ibubapa dalam  kemenjadian anak-anak, remaja ataupun pelajar-pelajar.

Kejayaan ataupun kegagalan sesebuah rumah tangga membentuk anak-anak yang baik dan sesuai dengan nilai-nilai agama bergantung kepada corak bagaimana keluarga itu diurus oleh sang ayah dan juga sang ibunya. Dalam aspek mengurus rumah tangga, beberapa tokoh pendidikan  mengkategorikannya kepada tiga cara iaitu;
  • Jenis Menternak (Proses Penternakan)
Rumah tangga jenis ini ialah ibubapa yang memberikan terlalu banyak kebebasan pada anak-anak tanpa  kawalan. Ini bermakna anak-anak dibiarkan terlalu banyak hiburan . Anak-anak bebas melakukan apa sahaja,  bak seperti hewan yang melepaskan anak-anaknya berkeliaran mencari haluan masing-masing. Anak-anak juga mungkin dibiar melakukan apa sahaja walaupun dalam rumah sendiri. Tidak hairanlah perkataan seperti kau babi, kau monyet dan sebagainya sering juga terkeluar dari mulut ibubapa jenis ini. Apa yang penting bagi ibubapa ini ialah kepuasan (pandai beranak sahaja) dan kebebasan sendiri, anak-anak dilahirkan dan membesar tapi didikan agama dan nilai-nilai murni diabaikan.

  •  Jenis  Pembongsaian (Proses Pembongsaian)
Rumah tangga jenis ini berkecenderungan membantut kebolehan dan potensi anak-anak. Ibubapa jenis ini terlalu negatif, penakut dan pesimistik terhadap kehidupan.  Mereka banyak menggunakan perkataan yang bersifat tidak membina keterampilan dan perwatakan positif anak-anak. Penggunaan istilah-istilah dan perkataan seperti jangan buat bikin malu, kau bodoh, jangan tanya, kau tidak pandai, kau malas, kau tiada guna, menyesal akau beranak engkau dan pelbagai kata-kata negatif dan hinaan lain akan mematahkan semangat anak-anak. Akibatnya bakat dan potensi mereka tercantas oleh kesilapan  ibubapa mereka sendiri. Anak-anak atau remaja yang berhadapan dengan ini hanya memendamkan keinginan, hasrat dan kemampuan positif mereka yang akhirnya melahirkan produk insan yang serba tidak tahu  atau tidak peduli dengan keadaan persekitarannya.

  •  Jenis Proses Mendidik (Proses Memanusiakan)
Rumah tangga jenis ini merupakan rumah tangga idaman setiap anak-anak. Ia boleh dianggap sebagai rumah tangga yang berteraskan kasih sayang, saling memahami dan menganggap anak-anak sebagai kurniaan Tuhan yang perlu dikasihi, disayangi dan dididik serta dibentuk. Anak-anak dianggap insan yang sentiasa memerlukan bimbingan dan didikan agar boleh menjadi insan seimbang. Anak-anak dalam keluarga ini diajar nilai-nilai baik, murni, moral, adab, agama dan sebagainya. Ibubapa dalam kategori ini juga menggunakan perkataan-perkataan yang positif dan merangsang potensi anak-anak mereka. Mereka bukan sahaja dibelai malah kata-kata pujian, galakan dan teguran  bertempat juga diberikan oleh ibubapa.

Ini gambaran tentang betapa besarnya tanggungjawab ibubapa terhadap anak-anak. Bukan sekadar melahirkannya, kemudian membesar malah perlu mendidik mereka menjadi manusia. Dalam rumah tanggalah titik permulaan kepada pembentukan cara hidup anak-anak apabila berada di luar sana. Jadi mari kita sama-sama praktikkan langkah ketiga daripada tujuh tabiat ibubapa cemerlang yang dikemukakan oleh Stephen R. Covey iaitu "Put First Thing First"..atau  "berikan keutamaan kepada yang terutama - keluarga".

(Ini berdasarkan pembentangan penulis dalam satu Seminar Pendidikan yang diadakan di Keningau) .

Ahad, 30 Ogos 2009

SELAMAT HARIJADI BUAT ISTERI TERSAYANG

Isteriku,selamat menyambut harijadimu yang ke- 38 tahun pada 30 ogos ini. Sebagai seorang suami saya bangga kerana kita telah berjaya mengemudikan rumah tangga kita selama ini. Kau telah berjaya mengharungi semuanya malah berjaya menjadi pendamping dan penolong saya serta ibu kepada anak-anak yang manis. Kau jadi pelengkap terhadap kekurangan saya dalam banyak keadaan.
Benarlah kata-kata yang berbunyi "rumah dibina dari batu dan bata tetapi rumah tangga dibina dari 2 hati yang menjadi satu".Anda tetap menjadi kebanggaan saya dengan anak-anak. Walaupun mungkin saya tidak sempurna tetapi yang pasti saya mencintaimu dan mengasihimu dengan sepenuh hati. Sebenarnya tiada seorangpun manusia di alam iniyang benar-benar sempurna, juga tidak ada seorangpun yang tiada cacat celanya, tetapi itu bukan alasan untuk berhenti memahami, mengasihi dan mencintaimu.
Itulah sebabnya saya berani menyatakan; isteriku, saya mencintaimu dan mengasihimu. Sungguh kasih itu menutupi banyak kelemahan. Ikatan cinta sebagai suami isteri telah dimeteraikan semasa ikrar perkahwinan kita, "walaupun dalam keadaan susah dan senang, kaya atau miskin serta sakit dan sihat saya akan tetap bersamamu kerana kita sudah menjadi satu darah dan satu daging". Jika ada kekurangan, Tuhanlah yang akan mencukupinya.
Sekali lagi, selamat harijadi. Tuhan memberkati dan mengasihimu serta memagari dan menyelimutimu dengan kasihNya yang begitu besar. Selamat harijadi..selamat harijadi..

Khamis, 30 Julai 2009

HARGAILAH APA YANG ANDA MILIKI

Sudah hampir genap ke-100 hari ayah yang kami sayangi telah meninggalkan kami. Pastinya kami tidak akan dapat menemuinya lagi di alam ini(kecuali di sorga nanti). Walaupun demikian kenangan dan ingatan kami terhadapnya sentiasa kekal. Saya akui saya merasa kehilangannya, kenanagan lalu kadangkala bermain diingatan saya ketika hidup bersama misalnya ketika bersama pergi menoreh getah,ke sawah padi bersama, berborak ketika bersama, menjaganya semasa di hospital dan pelbagai perkara lain. Kenangan ini membuatkan saya teringat kata-kata yang berbunyi hargailah apa dan siapapun yang ada dalam hidup kita atau apa yang kita miliki selagi ada kesempatan ataupun peluang kerana mungkin bukan selama-lamanya kita akan bersama dengan mereka. Isteri, ibubapa, anak-anak, keluarga, kesihatan dan sebagainya merupakan sesuatu yang kita perlu hargai. Jika tidak, ia mugkin akan tercicir,terpinggir ataupun kita mungkin akan kehilangannya. Tuhan, sebagai insan beri saya kekuatan untuk dapat terus mengasihi dan mencintai ibu, isteri, anak, keluarga, kesihatan, jiwa saya dan terlebih mengasihi sesama kami juga.Amin

Khamis, 16 April 2009

ANAKKU, ISTERIKU KALIAN ISTIMEWA DALAM HIDUPKU

Sepanjang minggu ini saya mendapat banyak pengalaman yang menarik, saya menjadi bapa dan sekaligus bertindak sebagai ibu kepada putera dan puteri yang masih setahun jagung. Ini kerana isteri sedang berkursus bersama pengetua-pengetua lain di negeri Sarawak.Ketiadaannya memaksa saya melayani karenah anak-anak yang pelbagai. Menangis, berkelahi, gembira,ingin perhatian, manja, merindui mama mereka, komplen terhadap rakan-rakan di sekolah dan sebagainya. Kadang2 menyakitkan hati dan menjelekkan lantaran saya perlukan kesabaran. Syukurlah isteri hanya seminggu berada di luar.Walaupun demikian, mereka adalah permata hatiku yang tidak ada bandingan nilainya. Mereka istimewa,comel,handsome,cantik dan saya sangat menghargai pemberian Tuhan ini.

Anak-anak ku, saya mencintai kalian dan berbangga memiliki kalian.Dalam pada itu selama seminggu menjadi ibu sementara saya dapati tugas seorang ibu berkerjaya untuk mendidik anak-anak sangat mencabar.Bukan mudah dan memerlukan pengorbanan besar. Justeru itu saya tabik pada isteri saya kerana mampu menjaga serta mendidik anak-anak kami. Saya tabik juga pada para isteri2 yang berusaha mendidik anak-anak di rumah tanpa memikirkan penat lelah.

Mari, wahai lelaki kita hargai usaha yang para isteri kita lakukan. Mereka ada hati dan perasaan bukan untuk disakiti atau dimusuhi tetapi disayangi dan dihargai.Tanpa mereka amat sukar bagi kita untuk mengurus anak-anak kita.Isteriku kau adalah jantung hatiku. Walaupun banyak wanita di muka bumi ini, namun kaulah yang terbaik antara yang terbaik.Terima kasih Tuhan kerana menganugerahkannya kepada saya.

Sabtu, 20 September 2008

IMPIAN SAYA

Impian sangat penting dalam hidup kita, ia menjadi pendorong kepada setiap orang untuk menggerakkan mindanya ke arah kejayaan. Kita ada berbagai impian. misalnya sebagai seorang ayah impian saya agar anak-anak saya membesar dan terdidik dalam agama malah mempraktikkannya dalam hidup mereka. Apabila mereka ada pegangan agama, mereka akan ada perasaan hormat terhadap orang lain, ada integriti dalam kehidupan, membenci rasuah serta mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan mereka. Malah saya juga berimpian agar mereka akan menjadi insan yang berjaya kelak dalam hidup mereka. Sebagai seorang suami, impian saya agar sorga menjadi realiti dalam rumah tangga.Isteri dan anak-anak saya akan merasai nikmat kedamaian berkeluarga. Impian ini sentiasa saya pertahankan dan usahakan.Seterusnya sebagai seorang pendidik,saya mengimpikan setiap anak didik saya berjaya dalam persekolahan dan hidup mereka. Sama seperti bekas guru-guru saya yang telah mendoakan kejayaan saya , saya juga berdoa agar anak2 didik saya juga akan berjaya.Dalam pada itu, saya juga menaruh harapan agar negara malaysia, negara yang dicintai akan sentiasa dirahmati oleh kasih Tuhan. Pemimpinnya bijak dan penuh hikmat mentadbir serta rakyat jelatanya hidup rukun dan aman. Salam dan selamat membaca.

PRINSIP KEHIDUPAN BERDASARKAN UCAPAN YBHG DATUK NORMAH GAGOH.

Salam, selamat berjumpa semula, ini catatan lama iaitu kira2 sembilan tahun yang lalu namun masih berbentuk draf, saya mengambil peluang  u...