Memaparkan catatan dengan label komunikasi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label komunikasi. Papar semua catatan

Sabtu, 6 Mac 2010

KATA-KATA YANG DIHIASI KASIH BESAR IMPAKNYA

Ada kata-kata yang berbunyi  "Hendaklah, kata-katamu sentiasa penuh kasih; jangan hambar, jangan ada perkataan yang kotor,tetapi sebaliknya gunakanlah perkataan yang baik untuk membangun, di mana perlu supaya mereka yang mendengarnya beroleh kasih...." Ayat ini menjelaskan bahawa bukan sahaja kata-kata itu perlu dihiasi kasih tetapi juga tidak lucah, bukan remeh (gosip, fitnah dll) malah harus dapat membangun kendiri si pendengar. Kata-kata penuh kasih adalah kata-kata yang yang diucapkan itu menunjukkan kebaikan, kasih sayang dan perhatian pada orang lain. Antara prinsip kata-kata yang dihiasi kasih ini ialah;

1.KATA-KATA YANG MENUNJUKKAN KERAMAHAN
Sekurang-kurangnya ada tiga cara agar kita dapat menunjukkan keramahan dalam perbualan. Pertama, apabila kita mendengar dengan penuh perhatian semasa seseorang sedang berbicara pada kita.Kedua, tidak memotong perbicaraan orang lain (Menjawab sebelum mendengar). Dalam masyarakat Qumran, seseorang itu akan dihukum sepuluh hari hukuman atas perbuatan memotong perbicaraan orang lain. Ketiga, menaruh minat pada kehidupan orang lain dan bukan hanya menceritakan tentang diri sendiri atau keluarganya sahaja. Kita harus berkeinginan untuk mengetahui lebih banyak hal-hal postif pada orang lain. Kita juga wajar menunjukkan minat dan perhatian pada apa yang mereka perhatikan, minati, fikirkan dan sebagainya daripada hanya bersikap mewar-warkan tentang pendapat dan kejayaan diri sendiri semasa dalam perbualan.Pendek kata, kata-kata yang diucapkan itu perlu dihiasi dengan rasa hormat dan pertimbangan sihat terhadap orang lain.

2.MENYATAKAN PUJIAN DAN KASIH SAYANG
Ada pendapat yang mengatakan, memuji orang lain secara langsung dan di hadapan orang lain sama dengan memberikan hadiah yang berharga. Ini akan memperkuatkan mereka, menanamkan rasa percaya diri dan keberaniaan serta meningkatkan penghargaan orang lain terhadap mereka. Sebagaimana "nama yang harum lebih baik daripada minyak yang mahal demikian juga pemberian hormat dengan lidah dapat lebih berharga daripada pemberian berupa benda". Kita harus mempunyai keinginan untuk menjadi lebih mengasihi dalam bentuk memberi hadiah melalui kata-kata. Walaupun demikian, kita harus mengerti akan hikmat (kebijaksanaan), agar melahirkan "kata-kata yang penuh kasih dalam bentuk yang benar, pada masa yang tepat, untuk orang yang tepat dan dalam takaran yang tepat".

3.MEMBETULKAN DENGAN LEMAH LEMBUT
Realitinya, tidak semua kata-kata itu berbentuk pujian. Ada ketika dan tempatnya ia berbentuk teguran  yang keras bagi tujuan pembetulan dan penambahbaikan ataupun mungkin arahan. Walau bagaimanapun, koreksi, teguran ataupun arahan itu haruslah disampaikan dengan lemah lembut dan penuh kasih sayang.Harus diingat tujuan kita bukan untuk menjatuh maruah seseorang, merendahkannya, menunujkkan kuasa yang ada pada kita tetapi untuk membetul dan menyelesaikan suatu permasalahan ataupun untuk mencapai matlamat bersama.Justeru, sebagaimana  kita dapat saling membangun dengan penyataan pujian dan kasih sayang, kita juga dapat saling membangun dengan teguran yang diberikan pada saat yang tepat dengan dengan cara yang benar. Ini bersesuaian dengan ungkapan,"Hidangan yang lazat itu mungkin tidak dinikmati pada suapan yang pertama, tetapi pada akhirnya akan diakui sebagai makanan yang  sedap dan paling berzat".

4.MENCIPTAKAN  PERDAMAIAN MELALUI KATA-KATA
Tanpa kasih kita cenderung suka akan pertengkaran dan perbantahan, tidak sabar,mempertahankan diri dengan kasar dan suka mengecam orang lain. Sebaliknya, orang yang penuh kasih adalah sabar, tidak mudah marah, tidak selalu mempertahankan dirinya dan selalu melihat kebaikan orang lain.Terdapat banyak kata-kata nasihat bagaimana seharusnya kita menjawab seseorang yang marah pada kita, antaranya ialah; "Jawapan yang lemah lembut meredakan kegeraman, tetapi perkataan yang pedas membangkitkan amarah". Umumnya kita tidak boleh membalas kemarahan dengan kemarahan kerana pukulan akan diikuti pukulan dan pertengkaran kecil mungkin akan menghasilkan peperangan.Prinsipnya,ada tempat dan waktu untuk kita memberikan pernyataan yang tegas tentang keyakinan kita dan argumentasi untuk membela keyakinan itu, tetapi bukan semasa seseorang itu dikuasai kemarahan .

Kesimpulannya, kata-kata yang dihiasi kasih akan memberikan impak besar kerana ia akan mengeratkan hubungan antara peribadi dan mampu meningkatkan nilai kendiri seseorang. Selain itu di mana ada kata-kata yang penuh kasih, di situ ada persahabatan, tanggungjawab dan sifat saling percaya akan tumbuh subur.

Salam..

Khamis, 28 Januari 2010

HUMOR YANG MENYAKITKAN ...HENTIKANNYA..

Humor atau jenaka amat penting dalam kehidupan manusia. Humor satu kaedah berkomunikasi yang boleh digunakan dalam mengurangkan stres serta tekanan  di tempat kerja. Malah berkomunikasi dengan berjenaka juga dapat berperanan mengeratkan tali persahabatan antara individu mahupun kumpulan.Walau bagaimanapun kadang kala ada juga humor yang kurang manis dan lebih banyak membawa keburukan daripada kebaikan.Misalnya humor yang mempersendakan kelemahan ataupun kekurangan seseorang atau kumpulan tertentu yang walaupun mungkin tujuannya hanya sekadar gurauan ataupun bahan untuk ketawa, namun implikasinya agak buruk. 


Menurut Ameen Nashruddin, seorang pensyarah universiti, "humor ialah kaedah yang menarik untuk mengeratkan hubungan kerja tetapi ia juga ada batasannya". Itulah sebabnya  kita perlu mengelakkan humor yang berciri memperkecilkan, mempersendakan kekurangan ataupun yang mewar-warkan kelemahan orang lain, perbezaan jantina, keturunan, agama dan sebagainya. Menurut seorang aktivis sosial iaitu  Fatimah Mansur, "agak malang kerana kita hidup dalam satu budaya di mana sempadan menghormati perasaan orang lain serta nilai tata susila sudah semakin kabur.."Semasa membuat humor contoh atau  perkataan yang dikemukakan memiliki double meaning (maksud lain) dan kenapa gurauan itu perlu dituju kepada seseorang tertentu?. Dalam situasi seperti ini siapa pula yang harus dipersalahkan, orang yang memulakan gurauan ataupun mereka yang ketawa mendengar gurauan itu?, bagi aktivis sosial ini kedua-duanya adalah bersalah. 


Sejauh mana penderitaan jiwa mangsa gurauan ini dapat  kita fahami dengan lebih mudah apabila kita dapat meletakkan diri pada mangsa bahan jenaka berkenaan. Apa yang pasti ialah jiwa orang yang mengalaminya mudah tertekan lantaran selalu menjadi bahan sindiran dan ketawa orang yang cuba mempersendakannya. Jika situasi ini berterusan ia akan menimbulkan pelbagai konflik perhubungan manusia dan penyakit kepada organisasi. Akhirnya produktiviti institusi akan menjadi lemah.Tegasnya cara berkomunikasi yang tidak sihat ini juga meninggalkan kesan yang amat buruk dalam mana-mana organisasi.Ini dapat dibuktikan melalui satu kajian oleh Kris Cole (1993), "dapatan beliau menjelaskan bahawa 75% masalah di tempat kerja disebabkan oleh faktor komunikasi".Jadi bayangkan betapa buruknya sumbangan humor dan jenaka yang tidak beretika ini dalam perhubungan manusia di tempat kerja.


Salam

Khamis, 12 November 2009

BUDAYA YANG SEMAKIN DIABAIKAN -UCAPAN TERIMA KASIH DAN TAHNIAH

Selamat bertemu kembali , sudah lama saya tidak berkesempatan untuk menulis dan membaca entri tuan-tuan ekoran komitmen tugas, kuliah serta tugasan lain yang menimbun baru-baru ini.Walau bagaimanapun pada kesempatan ini saya akan membicarakan tentang satu budaya mulia yang semakin dipinggirkan yakni kata-kata penghargaan dan pengiktirafan iaitu ucapan terima kasih dan tahniah.

Melafazkan ucapan terima kasih kepada seseorang sebagai penghargaan serta ucapan tahniah kepada mereka sebagai pengiktirafan sering kali diabaikan.Walaupun perbuatan ini kelihatan amat mudah tetapi amat payah untuk dilakukan. Melafazkan kata-kata ini sebenarnya tidak memerlukan modal kewangan. Oleh yang demikian kata-kata seperti ini wajar diterapkan dalam kehidupan seharian kita serta dibudayakan setiap waktu. Semasa di sekolah apabila guru telah selesai memberikan ilmu kepada anak muridnya,  murid-murid akan berdiri dan memberikan ucapan terima kasih,.. terima kasih cikgu. Adakah pelajar-pelajar ini melakukan hal yang sama di luar kelas?  Adakah kita juga menjadikan budaya berterima kasih ini dipraktikkan dalam kehidupan seharian kita?

Penghargaan dan pengiktirafan yang diberikan kepada rakan sekerja seperti merakamkan ucapan terima .kasih dan tahniah sebenarnya satu keperluan untuk menjaga dan meningkatkan hubungan kemanusiaan dalam organisasi dan komuniti kita. Perbuatan yang sekecil ini memberi impak besar kepada pembangunan jiwa kepada kedua belah pihak. Malah dalam organisasi tempat kerja, budaya memberi penghargaan dalam bentuk kata-kata adalah penyumbang kepada peningkatan kualiti peribadi modal insan. Justeru itu budaya ini perlu "mendarahdaging" dalam masyarakat kita.

Penghargaan dan pengiktirafan ini boleh dilakukan dalam pelbagai cara.  Kemajuan dalam bidang sains dan teknologi memberikan banyak ruang dan pilihan bagi kita untuk menunjukkan penghargaan dan pengiktirafan yang kita berikan pada orang yang sememangnya "layak"..Tetapi salah satu cara yang paling murah dan asas ialah secara lisan..Ia percuma tetapi amat berkesan. Apabila kita tidak berpeluang untuk melakukannya secara lisan, kita boleh praktikkannya melalui SMS. Pada saya cara ini juga amat ampuh kerana ia lebih bersifat peribadi.
Selamat mempraktikkan budaya mulia ini.

PRINSIP KEHIDUPAN BERDASARKAN UCAPAN YBHG DATUK NORMAH GAGOH.

Salam, selamat berjumpa semula, ini catatan lama iaitu kira2 sembilan tahun yang lalu namun masih berbentuk draf, saya mengambil peluang  u...