Ada kata-kata yang berbunyi "Hendaklah, kata-katamu sentiasa penuh kasih; jangan hambar, jangan ada perkataan yang kotor,tetapi sebaliknya gunakanlah perkataan yang baik untuk membangun, di mana perlu supaya mereka yang mendengarnya beroleh kasih...." Ayat ini menjelaskan bahawa bukan sahaja kata-kata itu perlu dihiasi kasih tetapi juga tidak lucah, bukan remeh (gosip, fitnah dll) malah harus dapat membangun kendiri si pendengar. Kata-kata penuh kasih adalah kata-kata yang yang diucapkan itu menunjukkan kebaikan, kasih sayang dan perhatian pada orang lain. Antara prinsip kata-kata yang dihiasi kasih ini ialah;
1.KATA-KATA YANG MENUNJUKKAN KERAMAHAN
Sekurang-kurangnya ada tiga cara agar kita dapat menunjukkan keramahan dalam perbualan. Pertama, apabila kita mendengar dengan penuh perhatian semasa seseorang sedang berbicara pada kita.Kedua, tidak memotong perbicaraan orang lain (Menjawab sebelum mendengar). Dalam masyarakat Qumran, seseorang itu akan dihukum sepuluh hari hukuman atas perbuatan memotong perbicaraan orang lain. Ketiga, menaruh minat pada kehidupan orang lain dan bukan hanya menceritakan tentang diri sendiri atau keluarganya sahaja. Kita harus berkeinginan untuk mengetahui lebih banyak hal-hal postif pada orang lain. Kita juga wajar menunjukkan minat dan perhatian pada apa yang mereka perhatikan, minati, fikirkan dan sebagainya daripada hanya bersikap mewar-warkan tentang pendapat dan kejayaan diri sendiri semasa dalam perbualan.Pendek kata, kata-kata yang diucapkan itu perlu dihiasi dengan rasa hormat dan pertimbangan sihat terhadap orang lain.
2.MENYATAKAN PUJIAN DAN KASIH SAYANG
Ada pendapat yang mengatakan, memuji orang lain secara langsung dan di hadapan orang lain sama dengan memberikan hadiah yang berharga. Ini akan memperkuatkan mereka, menanamkan rasa percaya diri dan keberaniaan serta meningkatkan penghargaan orang lain terhadap mereka. Sebagaimana "nama yang harum lebih baik daripada minyak yang mahal demikian juga pemberian hormat dengan lidah dapat lebih berharga daripada pemberian berupa benda". Kita harus mempunyai keinginan untuk menjadi lebih mengasihi dalam bentuk memberi hadiah melalui kata-kata. Walaupun demikian, kita harus mengerti akan hikmat (kebijaksanaan), agar melahirkan "kata-kata yang penuh kasih dalam bentuk yang benar, pada masa yang tepat, untuk orang yang tepat dan dalam takaran yang tepat".
3.MEMBETULKAN DENGAN LEMAH LEMBUT
Realitinya, tidak semua kata-kata itu berbentuk pujian. Ada ketika dan tempatnya ia berbentuk teguran yang keras bagi tujuan pembetulan dan penambahbaikan ataupun mungkin arahan. Walau bagaimanapun, koreksi, teguran ataupun arahan itu haruslah disampaikan dengan lemah lembut dan penuh kasih sayang.Harus diingat tujuan kita bukan untuk menjatuh maruah seseorang, merendahkannya, menunujkkan kuasa yang ada pada kita tetapi untuk membetul dan menyelesaikan suatu permasalahan ataupun untuk mencapai matlamat bersama.Justeru, sebagaimana kita dapat saling membangun dengan penyataan pujian dan kasih sayang, kita juga dapat saling membangun dengan teguran yang diberikan pada saat yang tepat dengan dengan cara yang benar. Ini bersesuaian dengan ungkapan,"Hidangan yang lazat itu mungkin tidak dinikmati pada suapan yang pertama, tetapi pada akhirnya akan diakui sebagai makanan yang sedap dan paling berzat".
4.MENCIPTAKAN PERDAMAIAN MELALUI KATA-KATA
Tanpa kasih kita cenderung suka akan pertengkaran dan perbantahan, tidak sabar,mempertahankan diri dengan kasar dan suka mengecam orang lain. Sebaliknya, orang yang penuh kasih adalah sabar, tidak mudah marah, tidak selalu mempertahankan dirinya dan selalu melihat kebaikan orang lain.Terdapat banyak kata-kata nasihat bagaimana seharusnya kita menjawab seseorang yang marah pada kita, antaranya ialah; "Jawapan yang lemah lembut meredakan kegeraman, tetapi perkataan yang pedas membangkitkan amarah". Umumnya kita tidak boleh membalas kemarahan dengan kemarahan kerana pukulan akan diikuti pukulan dan pertengkaran kecil mungkin akan menghasilkan peperangan.Prinsipnya,ada tempat dan waktu untuk kita memberikan pernyataan yang tegas tentang keyakinan kita dan argumentasi untuk membela keyakinan itu, tetapi bukan semasa seseorang itu dikuasai kemarahan .
Kesimpulannya, kata-kata yang dihiasi kasih akan memberikan impak besar kerana ia akan mengeratkan hubungan antara peribadi dan mampu meningkatkan nilai kendiri seseorang. Selain itu di mana ada kata-kata yang penuh kasih, di situ ada persahabatan, tanggungjawab dan sifat saling percaya akan tumbuh subur.
Salam..
4 ulasan:
Terlebih dahulu saya mengucapkan banyak-banyak terima kasih kepada penulis "Kata-kata yang dihiasi kasih besar impaknya".
Ia sangat mendorong dan membarkati saya. Sebagai renungan kita bersama saya ingin membawa kita semua untuk menilai dan berfikir terlebih dahulu sebelum mengeluarkan perkataan melalui mulut kita.
Saya juga ingin membawa kita untuk merenungkan perkataan berikut ;-
"Kasih bukan hanya dinyatakan dengan kata-kata manis dan indah atau melalui pelukan tetpi kasih juga boleh berbentuk teguran dan nasihat serta didikan...
sungguh besar manfaat kata-kata yang dihiasi dengan kasih dan sayang.
benar..sungguh sesuai untuk semua pasangan ..
Ya betul...dgn kaedah yg betul dlm kata-kata ia boleh memperbetulkan situasi yg tidak menentu walau dgn apa keadaan sekali pun..
Catat Ulasan