Semasa bulan puasa dan seterusnya musim perayaan hari raya tahun ini terdapat iklan yang berbentuk cerita ditayangkan di peti televisyen. Iklan ini banyak yang memberikan pengajaran yang baik kepada manusia terutama dalam aspek pembentukan institusi keluarga.
Misalnya paparan cerita yang amat menarik perhatian saya ialah cerita tentang seorang ayah (datuk pada dua cucu) yang sudah tua, mula nyanyuk dan tuli (perlu alat khas untuk mampu mendengar) yang tidak dipedulikan oleh anak dan menantu lelakinya (saya tidak ingat saluran siarannya). Semasa makan si ayah yang terketar2 tangannya tanpa sengaja telah menjatuhkan makanan dari mulut akibat ketidakmampuannya menggunakan sudu, bahkan kadangkala piring dan mangkuk juga terjatuh akibat kesihatannya yang uzur. Sang ayah juga terceret di seluarnya kerana tidak memakai "pampers" dan akibatnya dia disindir dan diketawakan oleh darah dagingnya sendiri. Akhir sekali tanpa belas kasihan, sang ayah mereka asingkan tempat makannya dengan meja/kerusi sendiri dan menggunakan cawan dan mangkuk yang tidak mudah pecah walaupun terjatuh. Ini mungkin disebabkan anak / menantunya merasa jijik dan "geli" terhadap keadaan ayah/mertuanya yang uzur. Ironiknya, bentuk mangkuk yang digunakan sama seperti mangkuk makan si kucing. Anak dan menantu yang tidak berbudi ini tidak sedar bahawa si ayah yang mereka anggap nyanyuk sebenarnya mampu mendengar, memerhati, menyelami dan merasai kerana dia memiliki hati dan jiwa. Dia tahu yang dia dilayan dengan buruk oleh anaknya yang selama ini telah dijaganya seperti menatang minyak yang penuh sehingga berjaya. Kesedihan dan kekecewaan hati sang bapa ini dapat dilihat melalui titisan air mata yang mengalir pada pipinya.
Pada plot yang berikutnya si cucu yang masih polos dan bersih hatinya, meminta ayah dan ibunya menyimpan meja dan kerusi makan datuk mereka, kerana mereka mahu menggunakannya untuk ibu dan bapa mereka apabila mereka sudah tua dan uzur (sama seperti datuk mereka). Ini satu tamparan hebat bagi anak dan menantu yang tidak mengenang budi ..akhirnya mereka sedar bahawa apa yang mereka lakukan pada ayah mereka akan dilakukan juga oleh anak-anak mereka apabila mereka sudah tua dan uzur nanti.Ini seolah-olah satu " kitaran perlakuan" berdasarkan" konsep sebab dan akibat"
Persoalannya, kenapa iklan dalam bentuk cerita-cerita yang sangat baik seperti ini hanya dipaparkan semasa musim puasa/hari raya dan tidak diteruskan selepas perayaan?. Adakah insan hanya perlu menjadi "baik" pada musim berkenaan sahaja?.. Adakah ia benar2 merugikan dari segi kos jika sekiranya ditayang sepanjang masa...kemana perginya konsep tanggungjawab sosial para syarikat dan mungkin kerajaan. Bukankah pembentukan nilai itu perlu berterusan dan antara kaedah yang paling berkesan ialah melalui televisyen. Saya yakin ramai yang disedarkan melalui iklan cerita pendek tersebut supaya lebih bertanggungjawab terhadap ibubapa dan keluarga. Anak saya yang baru berumur 6 dan 11 tahun pun masih tercari-cari iklan ini dan mereka menghargainya.
Moral daripada iklan ini ialah..mari kita kasihi orang tua / datuk nenek kita...jangan sisih ataupun abaikan mereka..mari tunaikan tanggungjawab kita sebagai anak dan menantu..walaupun orang tua kita sudah lanjut usia, mereka ada hati dan perasaan, mereka tahu menilai sejauhmana anak-anaknya menjaga mereka dalam keadaan ketidakmampuan mereka. INGAT apa yang kita lakukan pada orang tua kita mungkin akan dilakukan oleh anak-anak kita pula dan kitapun akan merasai penderitaan yang dialami oleh orang tua kita. Ya..hukum karma menyatakannya...
Selamat Hari Krismas dan Tahun Baru 2010
2 ulasan:
Mereka yang bergelar anak, sayangi ayah anda..jangan malu mengakui mereka walaupun dalam keadaan mereka yang miskin..sakit dan sebagainya.
Teruskan MGS..
thks..TN krna memberikan kata2 yang amat diperlukan oleh setiap anak..
salam
Catat Ulasan