Khamis, 28 Januari 2010

HUMOR YANG MENYAKITKAN ...HENTIKANNYA..

Humor atau jenaka amat penting dalam kehidupan manusia. Humor satu kaedah berkomunikasi yang boleh digunakan dalam mengurangkan stres serta tekanan  di tempat kerja. Malah berkomunikasi dengan berjenaka juga dapat berperanan mengeratkan tali persahabatan antara individu mahupun kumpulan.Walau bagaimanapun kadang kala ada juga humor yang kurang manis dan lebih banyak membawa keburukan daripada kebaikan.Misalnya humor yang mempersendakan kelemahan ataupun kekurangan seseorang atau kumpulan tertentu yang walaupun mungkin tujuannya hanya sekadar gurauan ataupun bahan untuk ketawa, namun implikasinya agak buruk. 


Menurut Ameen Nashruddin, seorang pensyarah universiti, "humor ialah kaedah yang menarik untuk mengeratkan hubungan kerja tetapi ia juga ada batasannya". Itulah sebabnya  kita perlu mengelakkan humor yang berciri memperkecilkan, mempersendakan kekurangan ataupun yang mewar-warkan kelemahan orang lain, perbezaan jantina, keturunan, agama dan sebagainya. Menurut seorang aktivis sosial iaitu  Fatimah Mansur, "agak malang kerana kita hidup dalam satu budaya di mana sempadan menghormati perasaan orang lain serta nilai tata susila sudah semakin kabur.."Semasa membuat humor contoh atau  perkataan yang dikemukakan memiliki double meaning (maksud lain) dan kenapa gurauan itu perlu dituju kepada seseorang tertentu?. Dalam situasi seperti ini siapa pula yang harus dipersalahkan, orang yang memulakan gurauan ataupun mereka yang ketawa mendengar gurauan itu?, bagi aktivis sosial ini kedua-duanya adalah bersalah. 


Sejauh mana penderitaan jiwa mangsa gurauan ini dapat  kita fahami dengan lebih mudah apabila kita dapat meletakkan diri pada mangsa bahan jenaka berkenaan. Apa yang pasti ialah jiwa orang yang mengalaminya mudah tertekan lantaran selalu menjadi bahan sindiran dan ketawa orang yang cuba mempersendakannya. Jika situasi ini berterusan ia akan menimbulkan pelbagai konflik perhubungan manusia dan penyakit kepada organisasi. Akhirnya produktiviti institusi akan menjadi lemah.Tegasnya cara berkomunikasi yang tidak sihat ini juga meninggalkan kesan yang amat buruk dalam mana-mana organisasi.Ini dapat dibuktikan melalui satu kajian oleh Kris Cole (1993), "dapatan beliau menjelaskan bahawa 75% masalah di tempat kerja disebabkan oleh faktor komunikasi".Jadi bayangkan betapa buruknya sumbangan humor dan jenaka yang tidak beretika ini dalam perhubungan manusia di tempat kerja.


Salam

Selasa, 19 Januari 2010

BERGANTUNG HARAP PADA SANG PENCIPTA :TUHAN YANG SENTIASA BOLEH DIPERCAYAI

Selamat berjumpa kembali buat teman2. Harapan saya agar perkongsian saya yang lalu telah dan akan memberikan makna serta boleh dijadikan panduan buat teman2 sekalian.Pada kesempatan ini pula, saya akan cuba memaparkan alasan mengapa kita harus menggantungkan harapan pada sang Pencipta.  Ya, alasan2 ini lebih bersifat peribadi yang mungkin sama ataupun tidak pada teman-teman sekalian. Posting ini pun hanya sekadar pandangan saya secara peribadi.Oleh yang demikian,sekiranya apa yang saya tulis tidak sealiran dengan teman2 anggap saja ia sebagai perkongsian ilmu semata-mata.Namun sekiranya ia dapat membantu teman2, saya dengan sangat berbesar hati membenarkan kalian "sharing" pada orang lain.

1.KITA ADALAH CIPTAANNYA
Manusia sungguh bernilai di hadapan Tuhan. Ya, rasanya kita sangat bernilai kerana kita dicipta olehNya. Berbanding binatang dan tumbuhan, saya yakin manusia merupakan ciptaan yang teristimewa. Saya pernah terbaca sebuah buku yang menyatakan, "manusia pertama (Adam) dibentuk dengan menggunakan tangan Tuhan sendiri sehingga rupanya tidak seperti binatang dan tumbuhan manakala nafas manusia telah dihembuskan oleh Pencipta itu sendiri sehingga membolahkan manusia itu hidup.." Ini menunjukkan betapa berharganya kita di hadapan Tuhan kita. Ada juga yang mengatakan, "sebelum kita dilahirkan dan semasa kita berada dalam kandungan ibu kita, Tuhan sudah mengenali kita. bahkan setiap helai rambut kita pun ada dalam perhitunganNya". Woi..betapa bernilai dan berharganya kita di hadapan sang Pencipta kita.

2.TUHAN ADALAH SUMBER KEKUATAN KITA DALAM MENGHADAPI BADAI HIDUP
Dunia di mana kita tinggal penuh dengan cabaran, rintangan dan halangan. Kita hidup dalam dunia yang sarat dengan masalah dan persoalan, realitinya bukan seperti dalam dunia fantasi yang aman bak firdaus.Persoalan, masalah dan cabaran yang kita hadapi adalah akibat kegagalan manusia pertama patuh pada "Perintah Penciptanya". Akhirnya kita terbuang di dunia yang bobrok dan ganas. Nah, dalam situasi begini siapa lagi yang boleh kita harapkan dan boleh beri kita kekuatan dari segi spiritual.  Tentunya, kita boleh meminta bimbingan dan pertolongan daripada sesama kita manusia seperti keluarga,guru, saudara, kawan, majikan,  pakar kaunselor, dan sebagainya..mereka boleh memberikan semangat dan dokongan pada kita. Namun selain daripada itu kita memerlukan pembimbing dan penolong yang sejati, penolong yang tidak pernah gagal memberikan pertolongan iaitu Tuhan kita.Seorang kawan saya pernah  mengatakan "burung di udara yang tidak menanam namun tetapi tidak pernah kelaparan manakala bunga2 di hutan yang tidak  memintal tetapi lebih cantik dari yang lain, apa lagi manusia yang dicipta oleh tangan Pencipta sendiri tentunya sentiasa dikasihi dan dilindungi oleh Tuhan ." Tuhan kita adalah Tuhan sumber pengharapan kita.Dia mengetahui isi hati mereka yang percaya kepadaNya. Bahkan dia akan memberikan jalan keluar terhadap permasalahan yang  kita hadapi.

3.MARI KITA BELAJAR BERGANTUNG HARAP PADA DIA
Saya akui kudrat saya tenaga kita terhad. Kadang-kadang semangat kita mula kendur dan kekuatan jati diri kita mula tumpul. Akibatnya semua seolah serba tidak menjadi dan haru biru. Usaha kita tidak membawa hasil seperti yang diharapkan. Anak-anak seakan-akan mula tidak menghargai ibubapanya, guru-guru mula tidak dihormati, rakan sekerja mula tidak memberikan kerjasama ataupun kakitangan bawahan mula buat hal. Ini semua mula memberikan kesan yang sangat mendalam pada kita. Dalam keadaan seperti ini kita perlu membuat taakulan diri ataupun koreksi diri. Di samping itu kita perlu dan wajar untuk belajar satu hal iaitu  "belajar bergantung dan mengharapkan pada Dia", dan tidak terlalu atau hanya bersandar pada kekuatan,kebijaksanaan serta kebolehan sendiri sahaja. Kerana Tuhan kita bukan sahaja maha tahu tetapi juga maha mengerti, maha menyediakan segala keperluan kita malah Dia juga akan memberikan kebijaksanaan dan pertolongan pada mereka yang bergantung harap padaNya.. .

4.DUNIA HANYA SEKADAR PINJAMAN, SAMPAI MASANYA KITA AKAN KEMBALI
Bukan kerana saya bersikap negatif terhadap kehidupan dan bukan juga saya bermaksud ingin membawa teman2 untuk bersikap pesimistik, tetapi adalah satu fakta bahawa apabila sampai satu masa kita terpaksa meninggalkan dunia ini. Dunia ini hanya sekadar pinjaman sahaja dan kita seolah-olah seperti pengembara. Kehidupan kita di alam ini juga hanya sementara sahaja. Apabila kita terpaksa meninggalkan dunia ini dan kembali kepadaNya, kita juga terpaksa meninggalkan segala yang kita miliki ataupun yang menjadi kebanggaan kita di dunia ini. Kekayaan, wang ringgit, pangkat, perniagaan, pekerjaan, rumah, kereta dan segala-galanya. Kita akan "pergi", seperti semasa kita dilahirkan, tidak memiliki apa-apa.Persoalannya "apakah kita bersedia apabila perkara itu berlaku pada kita (meninggal dunia)?". Jadi kalau demikian maka kita wajar dan selayaknya selalu dekat dengan Tuhan kita, menggantung penuh keyakinan dan pengharapan  kita padaNya serta mempercayaiNya dengan sepenuh jiwa kita.

Teman2 sekerja sekalian, adalah sesuatu yang wajar untuk "mengikutsertakan" Dia dalam urusan seharian kita. Semasa menyampaikan ilmu pada anak didik kita, semasa berurusan dengan ibubapa pelajar, ketika menyelesaikan kerja-kerja pengurusan, mengurus rumah tangga, melakukan kerja-kerja amal dan sebagainya, kadangkala membuatkan kita letih dan lesu (kita manusia biasa). Justeru itu dalam keadaan sedemikian rupa mengapa kita tidak cuba untuk belajar berharap kepadaNya?. Bagi saya ini adalah antara beberapa sebab mengapa saya belajar untuk bergantung harap kepadaNya.

Salam dan selamat bertugas.

Khamis, 14 Januari 2010

SIKAP SESETENGAH GURU :LUAHAN HATI SEORANG BAPA

Baru-baru ini semasa menghantar anak ke sekolah, saya sempat berbual dengan seorang bapa pelajar. Dalam perbualan ini beliau sempat memberikan komen2 yang amat pedas tentang sikap sesetengah guru yang pada pendapatnya "negatif" . Rasanya "beliau", tidak mengetahui bahawa tempatnya melempiaskan ketidakpuasan hati ini adalah seorang guru juga. Tetapi hikmahnya ialah,"beliau" dapat meluahkan isi hatinya dengan lebih bebas tanpa rasa segan atau takut. Pada saya, pendapat orang tua ini telah menjadi pelengkap pada tulisan saya sebelum ini tentang pengaruh keluarga terhadap kegagalan anak-anak di sekolah.Justeru melalui ruangan ini saya cuba memaparkan "luahan hati" orang tua berkenaan agar kita sebagai pendidik dapat sama-sama menghayatinya.

Sebenarnya maha pentingnya tanggungjawab seorang guru dapat dilihat melaui kenyataan seorang tokoh agama yang berbunyi "saya lebih menghargai guru kerana ibubapa menyediakan makanan sahaja manakala guru pula memberikan  ilmu".Ini menunjukkan betapa besar tanggungjawab seseorang guru dalam memberi dan membimbing pelajar dari aspek ilmu pengetahuan. Sumbangan guru terhadap kecemerlangan, kejayaan mahupun kegagalan pelajar dalam peperiksaan juga adalah sangat penting. Kegagalan dan kejayaan pelajar bukan sekadar harus diletakkan pada bahu ibubapa dan persekitaran rumah tangga , malah ia juga wajar diletakkan pada kebolehan dan sikap  guru-guru.Pendek kata guru-guru juga ada "saham" terhadapnya.

Menurut orang tua ini terdapat sesetengah guru yang kurang berkeupayaan mengubahsuai pendekatan atau kaedah pengajaran pada suasana yang berbeza ataupun pada pelajar yang berbeza tahap kebolehannya. Menurutnya lagi seseorang guru yang baik haruslah mampu melihat keperluan seseorang pelajar dan juga dapat menganalisis infrastruktur sekolah. Mungkin apa yang dimaksudkan oleh orang tua ini ialah keperluan membuat analisis SWOT (analisis kekuatan, kelemahan,peluang dan ancaman). Menurutnya  lagi pengajaran dan pembelajaran  bukan sekadar menyampaikan ilmu dengan menggunakan kaedah "Chalk and Talk", bukan sekadar meminta para pelajar menyalin nota, membaca buku teks tetapi sebenarnya ialah dengan merangsang minat dan minda pelajar terhadap apa yang dipelajari.Guru merupakan fasilitator pembelajaran pelajar. Apabila pelajar sudah terangsang minatnya terhadap pengajaran dan pembelajaran maka lebih mudah bagi guru-guru menyampaikan ilmu pengetahuan berkenaan. Minat yang tinggi terhadap pelajaran jika ditambah dengan  kaedah yang sesuai maka hasilnya pasti membanggakan.

Perkara kedua yang disentuhnya ialah "kebiasaan negatif" sesetengah guru (orang tua ini gunakan istilah budaya). Kadangkala sikap guru itu sendiri tidak membantu para pelajar mendapat keputusan cemerlang dalam akademik mereka. Guru yang baik adalah guru yang mampu memberi inspirasi kepada para pelajarnya. Namun sikap sesetengah guru "mematahkan semangat" itu. Contohnya, ada guru yang kurang bertanggungjawab terhadap tugas, lewat masuk ke kelas, keluar awal, tidak membuat persediaan yang sewajarnya, tidak memberi latihan ataupun jarang memeriksa latihan yang diberikan. Pendek kata ada guru yang ambil mudah terhadap amanah yang diberikan untuk mendidik para pelajar.Perbuatan ini telah mencacatkan keyakinan dan kepercayaan murid terhadap sesetengah gurunya. Terdapat juga guru-guru yang lebih banyak terlibat dengan "aktiviti luar"sehingga tugas utama sebagai pendidik di kelas terabai. Guru-guru yang yang "kurang bertanggungjawab" ini pastinya akan menghasilkan produk yang kurang membanggakan.

Apabila mendengar rungutan dan komen si beliau ini, saya mula berfikir,benarkah masih ada guru yang bersikap sedemikian rupa...? Jika ada pun, saya yakin bilangannya amat sedikit berbanding para pendidik yang hebat, bertanggungjawab dan amanah menjalankan tugas mereka.Sebagai pendidik, kita harus akui ketidakpuasan hati orang tua berkenaan ada juga kebenarannya.Ini kerana isu ketidaklenturan mengubahsuai dan mengaplikasi sesuatu kaedah pengajaran dan pembelajaran berasaskan keperluan serta sikap negatif sesetengah guru tidak akan membantu sekolah merealisasikan hasrat murni untuk melahirkan para pelajar yang seimbang dari segi akademik, sahsiah dan kepimpinan.Perlu diingat bahawa, apabila kita telah menjadi seorang guru, seharusnya kita melaksanakan tanggungjawab itu dengan penuh komitmen.

Salam dan tahniah  kepada semua guru yang dedikasi dan bertanggungjawab melaksanakan tugasnya...

Selasa, 5 Januari 2010

ANAK GAGAL DALAM PEPERIKSAAN:BAGAIMANA IBUBAPA MENGHADAPINYA

Bahagian akhir...

SEBAGAI IBU BAPA APA YANG HARUS DILAKUKAN
Sebagai ibubapa, kita tidak ingin anak-anak kita terus dirundung kegagalan. Ada kata-kata mas yang menyatakan "gagal sekali tidak bererti gagal untuk selama-lamanya". Seperti setiap penyakit ada ubatnya (Tuhanlah penyembuh yang hebat) maka permasalahan dan persoalan juga ada jalan keluarnya. Oleh yang demikian jika punca kegagalan anak-anak itu daripada masalah dalaman keluarga maka ubatnya juga adalah menyelesaikan masalah dalaman berkenaan. Dalam hal ini kita harus positif bahawa segala sesuatu ada jalan penyelesaiannya. Saya meyakini ibu bapa adalah peribadi yang cukup dewasa dan matang untuk memahami keperluan anak-anak mereka.Oleh yang demikian apabila anak-anak gagal atau tidak cukup cemerlang dalam peperiksaan maka kita tidak perlu mencari pihak lain untuk "dikambing hitamkan" (seperti yang penulis jelaskan dalam tulisan sebelum ini).Sebaliknya, para ibubapa bolehlah muhasabah diri serta mengambil langkah untuk memperbaiki keadaan. Antara  tindakan yang boleh dilakukan ialah;


1. Perbaiki hubungan antara suami dan isteri.
Jadikan rumah tangga itu sebagai "surga kecil" bagi anak-anak. Hiasi rumah tangga dengan kasih sayang, saling menghargai, menghormati dan saling mengasihi antara satu sama yang lain. Pastinya ini wajar dimulai oleh ibu dan bapa.Memperbaiki hubungan  antara ibu bapa dianggap sangat penting kerana merekalah tonggak dalam keluarga, merekalah tunjang dalam keluarga. Biarlah anak-anak dapat melihat dan mengalami perubahan itu.  Ini mungkin sukar untuk dilaksanakan, namun pengaruhnya amat besar terhadap kecemerlangan anak-anak pada tahun-tahun yang mendatang. Kalau di negara barat apabila ada kerengangan antara  ibu dan bapa, mereka  boleh berhubung dengan  kaunselor keluarga untuk meminta nasihat dan bimbingan tetapi sebenarnya  kita juga boleh meminta nasihat dari "pemimpin agama" kita, atau langkah yang terpenting ialah sentiasa meminta pertolongan dan kekuatan daripadaNya.


2. Fokuslah pada pembentukan keperibadian anak-anak dengan kasih sayang.
Memberikan kasih sayang terhadap anak-anak merupakan satu bentuk pendidikan yang mampu memberikan impak positif pada minda mereka. Oleh yang demikian fokus ibubapa dalam mendidik anak ialah dengan membentuk peribadi yang positif dan menyeluruh serta bukan sekadar meletakkannya pada nilai dan gred markah yang akan diperolehi oleh mereka dalam peperiksaan. Siapa pun dan bagaimana pun tahap intelek mereka, selagi mereka digelar anak mereka tetap adalah anak kita. Memberikan pendidikan pada anak-anak merupakan tanggungjawab orang tua. Ibu bapa tidak harus membuat ugutan dan tuntutan pada anak-anaknya (apa lagi yang masih peringkat kanak-kanak) dengan kenyataan negatif seperti anak-anak berhutang pada orang tua mereka yang telah menyekolahkan mereka. Faktanya ialah para ibubapa harus membalas jasa orang tua mereka dengan cara mendidik cucu-cucu mereka dengan baik.Niat yang murni untuk mendidik anak-anak sangat penting.


3. Memahami kebolehan dan kekuatan anak.
Jangan sekali-kali membandingkan anak-anak kita dengan orang lain. Perbandingan negatif akan membuatkan anak-anak juga bersikap negatif.Jika anak-anak kita gagal atau kurang cemerlang jangan bandingkan mereka dengan orang lain, adik beradik, kawan-kawannya,jiran ataupun saudara-saudaranya yang lain. Ini akan menimbulkan perasaan rendah diri, tidak yakin,dendam dan marah pada ibubapa. Kekuatan dan kebolehan anak-anak kita mungkin berbeza dengan anak orang lain. Malah ia juga berbeza dengan adik beradiknya yang lain. Berilah pujian dan penghargaan sewajarnya terhadap segala usaha dan kejayaan anak itu sekalipun kejayaan dan usaha itu kecil pada pandangan kita. Kecenderungan, kebolehan dan kekuatan anak perlu dikenalpasti agar dapat dipupuk menjadi "gergasi" dalam diri mereka. Potensi itu juga perlu digilap serta dibajai dengan sempurna dan penuh kasih sayang. Apabila ini dapat dilakukan maka pastinya kebolehan dan potensi anak-anak itu akan dapat berkembang dan peribadi mereka juga dapat bertumbuh menjadi diri mereka sendiri dan bukan "dipaksa menjadi seperti orang lain".

4. Jadilah teladan kepada anak-anak dalam mencintai ilmu (belajar/membaca).
Anak-anak sangat mudah dipengaruhi oleh apa yang dilihatnya.Mereka suka meniru, mencontohi ataupun meneladani apa yang dilakukan oleh orang di persekitarannya.Oleh yang demikian apabila ibu bapa gagal menjadi teladan yang baik mereka akan menjadikan "seseorang" sebagai orang yang boleh mereka jadikan contoh (baik/buruk). Sehubungan dengan itu, ibu bapa perlulah menjadi teladan yang baik terutamanya dalam soal belajar (dan juga membaca). Anak-anak yang melihat orang tuanya rajin "belajar dan membaca"  serta sentiasa mengambil berat terhadap apa yang mereka lakukan akan menjadi menjadi ikutan atau idola anak-anak. Malah tabiat positif ibubapanya juga akan dikuti oleh anak-anak, seperti pepatah melayu yang berbunyi "bapa borek anak rintik." Begitu juga dalam hal mengambilberat terhadap perkembangan pelajaran anak-anak perlulah dilakukan oleh ibubapa.Persoalannya adakah kita menjadi idola yang positif buat mereka?..kalau tidak anak-anak itu akan mencari idola di luar sana yang mungkin tidak bersesuaian.

Akhir sekali, kegagalan anak-anak kita tidak bererti kiamat telah tiba, kita harus terima hakikat dan jangan malu untuk mengakuinya.  Beri pengharapan dan sokongan moral pada anak-anak serta elakkan dari melabelkan mereka sehingga menjadi menjadi bahan sindiran dan punca kekecewaan. Masih belum terlambat untuk membaikinya. Prestasi kecemerlangan anak yang kurang baik hanyalah sebagai buah kepada permasalahan utama yang ada, iaitu permasalahan dalam soal berkeluarga. Permasalahan utama itu harus diselesaikan terlebih dahulu...Kadang-kadang kebenaran ini pahit dan sukar untuk kita mengakuinya, tetapi terlalu banyak bukti yang dapat diangkat untuk menyatakan kebenaran ini.

Salam.

Ahad, 3 Januari 2010

ANAK GAGAL DALAM PEPERIKSAAN:BAGAIMANA IBUBAPA MENGHADAPINYA

Bahagian Pertama..

Baru-baru ini keputusan UPSR dan peperiksaan PMR telah diumumkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Kepada para ibubapa yang anak-anaknya lulus cemerlang, saya mengucapkan tahniah dan syabas.  Namun buat mereka yang anak-anaknya kurang bernasib baik saya harap anda tidak terlalu kecewa, kerana kegagalan lalu tidak bererti mereka gagal untuk peperiksaan yang akan datang sebaliknya mari teruskan tanggungjawab kita sebagai ibu dan bapa kepada anak-anak. Saya juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada para guru atas inisiatif kalian mendidik anak murid sepanjang tahun 2009.Tidak dapat dinafikan bahawa kegagalan turut mengecewakan banyak pihak termasuklah pelajar terbabit, ibubapa dan juga para guru.Namun sebagai ibubapa, kita sepatutnya tidak membiarkan diri kita terus dikuasai kekecewaan dan kemarahan akibat anak-anak yang gagal. Perbuatan ini dianggap tidak bertanggungjawab dan tidak adil buat anak-anak kerana ia hanya akan menambahkan beban keputusasaan mereka dan seterusnya menghasilkan kesan negatif pada mereka.

PUNCA KEGAGALAN ANAK-ANAK
Sebagai ibubapa apabila anak-anak kita mengalami kegagalan, maka wajar bagi kita untuk melakukan refleksi dan penelitian yang mendalam untuk mencari akarnya.Sebenarnya terdapat banyak alasan mengapa seseorang anak itu gagal dalam peperiksaan. Walau bagaimanapun dalam perkongsian ini saya hanya menyentuh tiga faktor sahaja yang ada hubungkait dengan rumah tangga..

1.   Komunikasi antara orang tua yang tidak harmonis.
Komunikasi hambar antara orang tua akan menggangu emosi anak-anak.Misalnya apabila sikap saling menghargai dan menghormati antara orang tua tidak ada akan menyebabkan bahang kemarahan, kebencian serta kekecewaan pula yang akan memenuhi ruang keluarga. Anak-anak mendambakan rumah yang aman, damai dan penuh sejahtera dan bukan tempat yang menggerikan, mengaibkan, menyedihkan dan mengecewakan dimana sering berlaku pertengkaran dan saling menyalahkan berlaku. Rumah tangga seperti ini tidak membantu kecemerlangan malah akan membantut potensi yang ada pada anak-anak kecil. Ia bukan sahaja menyebabkan persekitaran pendidikan yang tidak sihat bagi anak-anak malah ia sungguh melukakan emosi mereka. Jika rumah tangga seperti ini didiami oleh anak2, maka adalah tidak adil bagi para ibu bapa untuk menyalahkan anak-anak atau orang lain terhadap kegagalan mereka.

2.   Ibu bapa yang tidak memberikan teladan.
Orang tua kadangkala tidak menjdi teladan yang baik pada anak-anaknya terutama dalam soal belajar (dan membaca). Mungkin kesibukan bekerja membuatkan orang tua tidak lagi ada ruang untuk membaca dan memperlihatkannya pada anak-anak. Lebih malang lagi apabila ibubapa tidak mengambil peduli terhadap apa yang sedang dibaca atau dipelajari oleh anak-anak mereka semasa berada di rumah.Akibatnya anak-anak yang masih "setahun jagung" mendapati tiada orang tua yang boleh dijadikan contoh atau idola mereka dalam bab belajar. Dalam pada itu, ibu bapa juga wajar mencari kelebihan atau kekuatan anak-anak mereka  dan mengilapnya agar potensi dalam subjek berkenaan berkembang. Harus juga disedari bahawa orang dewasa pun tidak  mampu menguasai semua perkara dalam hidup mereka, apalagi anak-anak.

3.   Ibu bapa hanya menjadikan wang sebagai orientasi hidup dan tujuan akhir mereka.
Misalnya ada ibubapa yang mendorong anak-anak mereka belajar supaya mendapat keputusan cemerlang, berjaya menyambung pelajaran, mendapat pekerjaan yang baik dan seterusnya menghasilkan wang untuk ibu bapa. Akibatnya jika anak mereka gagal guru-guru akan dipersalahkan dan anak itu akan di "kambing hitamkan". Mereka akan dibandingkan dengan abang-abang dan kakak-kakak mereka yang hebat malah juga dengan orang lain. Situasi ini sungguh menyedihkan. Ibu bapa menjadikan anak-anak sebagai satu modal dalam perniagaan bukan sahaja untuk mendapat wang pada masa akan datang tetapi juga penhargaan dan pujian dari orang lain. Kasih sayang dan tanggungjawab sebagai orang tua bukan keutamaan buat mereka. Wang sememangnya amat penting dalam pendidikan anak..oleh itu kita juga perlu mendorong anak-anak terutamanya jika mereka sudah mampu berfikir untuk menyedarkan bahawa orang tua sudah mengeluarkan perbelanjaan yang tinggi untuk pendidikan mereka (anak-anak yang berumur 12 tahun ke atas). Tetapi asas yang menjadi keutamaan ialah membangun sikap positif anak-anak terhadap pelajaran dan kehidupan. Ibu bapa tidak seharusnya menjadikan wang itu sebagai tanda kasih sayang mereka pada anak-anak, kerana wang itu sendiri tidak dapat membeli kasih sayang yang sebenar.

Bersambung pada keluaran akan datang...

Salam.




        
        
        
      



Selasa, 29 Disember 2009

MEREALISASIKAN IMPIAN 2010 - BEBERAPA PRINSIP KECEMERLANGAN PERIBADI

Selamat tinggal tahun 2009.. Tirai penutup 2009 telah hampir dilabuhkan dan kita akan beralih ke tahun 2010  dengan impian dan harapan yang membara untuk memburu kecemerlangan.Kadangkala kita ditipu oleh nostalgia lampau sehingga ia mengikat kita daripada melangkah ke tahap yang lebih hebat. Jika memori lalu itu indah dan manis kita berfikir ia akan sentiasa seperti itu sehingga kita "terlelap" dibuai mimpi. Namun jika ia pahit dan mengecewakan emosi dan minda kita pula "dipenjarakan" oleh kekecewaan sehingga tidak mampu melihat jalan keluar daripada permasalahan itu.Kita melihat tiada harapan lagi dan ini melumpuhkan jiwa kita. Nah sama ada memori itu manis atau sakit mari kita keluar dan melangkah dengan penuh keyakinan bahawa tahun 2010 merupakan tahun yang penuh dengan pengharapan dan menjanjikan kejayaan yang lebih baik dari tahun 2009. Sebagai pendidik (sebagai insan) mari kita mulakan dengan azam yang betul untuk mengapai kecemerlangan peribadi dan institusi sekolah. Berikut adalah antara beberapa prinsip atau resepi kejayaan


1.BINA DAN CATATKAN MATLAMAT ATAU VISI ANDA
Matlamat adalah sangat penting, siapapun kita jika ingin kejayaan bina dan catat matlamat anda. Mungkin matlamat dalam kerjaya, matlamat dalam keluarga, matlamat dalam pengurusan kewangan yang baik, matlamat dengan pasangan kita dan sebagainya.  Tidak kira matlamat kita besar atau kecil ia masih perlu dicatat.Matlamat itu haruslah bersifat realistik,  boleh dicapai tetapi bukan mudah dan ada jangka masanya. Pendek kata bervisilah kerana anda tidak akan rugi untuk melakukannya. Malah ia akan menjadi "motivasi dalaman" bagi kita untuk berusaha mencapainya kejayaan.
2.SENARAIKAN PELAN STRATEGI UNTUK MENCAPAI MATLAMAT ANDA
Bagaimanakah anda dapat mencapai matlamat itu, persoalannya ialah "strategi". Jadilah perancang yang bijak. Langkah demi langkah sehingga matlamat yang digariskan itu dapat menjadi realiti. Dalam merancang kaedah kita memerlukan sumber samada manusia ataupun bukan, majikan kita ataupun rakan sekerja kita ataupun dengan siapapun. So..jalinkan perhubungan yang bijak dan baik dengan semua orang, kerana semua itu akan dapat membantu kita untuk mencapai impian kita.
3. BERUSAHA UNTUK MEMPRAKTIKKAN STRATEGI ANDA 
Matlamat dan strategi tidak akan membawa apa-apa kejayaan, kecuali ada pelaksanaan strategi. Kombinasi tiga perkara ini amat penting dalam usaha mencapai kejayaan.Jika hanya sekadar matlamat, ia lebih berbentuk mimpi di siang hari ataupun seperti "angan-angan mat jenin" sahaja. Oleh yang demikian laksanakan strategi tersebut dengan sabar dan jangan biarkan kemalasan atau ketidaktahuan membelenggu kita.
4. SENTIASA MEMBUAT REFLEKSI DAN PENAMBAHBAIKAN
Dalam proses untuk mencapai visi yang telah ditetapkan kemungkinan ada hal-hal yang kurang  memuaskan ataupun isu-isu yang menghambat anda untuk mencapai kejayaan. Dalam hal ini amat perlu bagi anda untuk berhenti sebentar, merenung,memantau,menilai,dan seterusnya membuat penambahbaikan terhadap kekurangan yang ada. Dengan adanya penilaian dan penambahbaikan  ini secara berterusan maka peluang untuk merealisasikan matlamat anda akan lebih mudah.
5. KUASAI ILMU SEBANYAK MUNGKIN
Dalam zaman di mana ilmu dianggap sebagai "kuasa penting" bagi tamadun manusia, maka persoalan menguasai ilmu dianggap satu kemestian. Kekuatan dan kekayaan ilmu dianggap satu nilai tambah seseoang. Ilmu boleh terdiri daripada pelbagai misalnya pengetahuan, kemahiran berbahasa, kemahiran ICT, kemahiran mengurus dan sebagainya tidak dapat dipinggirkan. Oleh itu mari kita kejar ilmu itu, samada secara formal, tidak formal ataupun bukan formal.
6. KEMBANGKAN KEBOLEHAN DAN KEKUATAN ANDA
Setiap kita ada kekuatan dan kebolehan yang lebih menonjol. Justeru itu carilah, gilapkan dan kembangkan kekuatan itu. Kekuatan dan kebolehan yang anda ada merupakan satu aset yang penting untuk perkembangan peribadi kita.  Kekuatan dan kebolehan yang anda anggap kecil itu mampu menjadi "bintang" atau "tarikan" pada personaliti anda.
7. MILIKI MORAL YANG TINGGI
Nilai-nilai murni perlu dimiliki untuk menjadi warganegara yang baik. Nilai-nilai murni apabila ditanam dan dipraktik akan memberikan kekuatan kepada kita untuk menghadapi cabaran-cabaran dalam usaha untuk mencapai kejayaan.Selain itu apabila kita memiliki moral yang mantap kita akan dapat memiliki jati diri dan mampu menangkis pengaruh-pengaruh yang kurang baik dan "tidak berkualiti" seperti rasuah, salahguna kuasa dan sebagainya.Seseorang yang memiliki moral yang tinggi tidak angkuh dengan jawatan yang dimilikinya. Ia juga tidak mementingkan diri sendiri.
8.JADILAH ORANG YANG BOLEH DIPERCAYAI DAN BOLEH MEMPERCAYAI
Jadilah seseorang yang boleh dipercayakan dan dipercayai. Biarlah bos kita meyakini kemampuan dan kebolehan kita. Malah biarlah mereka mempercayai kekuatan moral yang ada pada kita.Kita tidak akan berjaya dengan hanya bersandarkan pada kebolehan kita sendiri. Kita tidak dapat hidup sebatang kara, kita memerlukan orang lain. Dalam dunia ini kita harus saling melengkapi dan saling memerlukan. Apabila kita mempraktikkan "pendelegasian" tugas bukan kerana kita memperkuda atau mepergunakannya tetapi kerana kita mempercayai kemampuannya.Dalam hal ini hormati dan "hargailah bos" anda sama seperti kita ingin dihargai dan dihormati oleh rakan sejawatan kita atau yang lebih rendah dari kita.
9. MILIKILAH PRESTASI KERJA YANG HANDAL
Jadilah pengusaha atau pekerja yang handal. Bukan sahaja handal dari segi kerajinan, kebolehan dan hasil akhirnya tetapi juga dari segi ketelusan, kebolehpercayaan dan moral. Kombinasi semua itu akan menghasilkan apa yang dipanggil "kecemerlangan peribadi" yang akan membezakan anda dengan orang lain.


Langkah2 sederhana ini jika dipraktik, akan membuatkan kita berbeza dengan orang lain. Mungkin anda akan lebih terampil dan menonjol berbanding tahun sebelumnya ataupun daripada rakan-rakan yang lain. Sesuatu kejayaan itu akan ditandai dengan pencapaian visi atau matlamat yang anda telah tetapkan. Walau bagaimanapun satu hal yang tidak wajar diabaikan ialah mengikut sertakan Tuhan dalam segala perencanaan anda. Siapalah kita ini tanpa DIA.



Kepada Semua Selamat Menyambut Tahun Baru 2010.

Isnin, 21 Disember 2009

HORMATI, HARGAI DAN SAYANGI AYAH KITA ..

Semasa bulan puasa dan seterusnya musim perayaan hari raya tahun ini terdapat  iklan yang berbentuk cerita ditayangkan di peti televisyen. Iklan ini banyak yang memberikan pengajaran yang baik kepada manusia terutama dalam aspek pembentukan institusi keluarga.

Misalnya paparan cerita yang amat menarik perhatian saya ialah cerita tentang seorang ayah (datuk pada dua cucu) yang sudah tua, mula nyanyuk dan tuli (perlu alat khas untuk mampu mendengar) yang tidak dipedulikan oleh anak dan menantu lelakinya (saya tidak ingat saluran siarannya).  Semasa makan si ayah yang terketar2 tangannya tanpa sengaja telah menjatuhkan makanan dari mulut akibat ketidakmampuannya menggunakan sudu, bahkan kadangkala piring dan mangkuk juga terjatuh akibat kesihatannya yang uzur. Sang ayah juga terceret di seluarnya kerana tidak memakai "pampers" dan akibatnya dia disindir dan diketawakan oleh darah dagingnya sendiri.  Akhir sekali tanpa belas kasihan, sang ayah mereka  asingkan tempat makannya dengan meja/kerusi sendiri dan menggunakan cawan dan mangkuk yang tidak mudah pecah walaupun terjatuh. Ini mungkin disebabkan anak / menantunya merasa jijik dan "geli" terhadap keadaan ayah/mertuanya yang uzur.  Ironiknya, bentuk mangkuk yang digunakan sama seperti mangkuk makan si kucing.  Anak dan menantu yang tidak berbudi ini tidak sedar bahawa si ayah yang mereka anggap nyanyuk sebenarnya mampu mendengar, memerhati, menyelami dan merasai kerana dia memiliki hati dan jiwa. Dia tahu yang dia dilayan dengan buruk oleh anaknya yang selama ini telah dijaganya seperti menatang minyak yang penuh sehingga berjaya. Kesedihan dan kekecewaan hati sang bapa ini dapat dilihat melalui titisan air mata yang mengalir pada pipinya.

Pada plot yang berikutnya si cucu yang masih polos dan bersih hatinya, meminta ayah dan ibunya  menyimpan meja dan kerusi makan datuk mereka, kerana mereka mahu menggunakannya untuk ibu dan bapa mereka apabila mereka sudah tua dan uzur (sama seperti datuk mereka). Ini satu tamparan hebat bagi anak dan menantu yang tidak mengenang budi ..akhirnya mereka sedar bahawa apa yang mereka lakukan pada ayah mereka akan dilakukan juga oleh anak-anak mereka  apabila mereka sudah tua dan uzur nanti.Ini seolah-olah satu " kitaran perlakuan" berdasarkan" konsep sebab dan akibat"

Persoalannya, kenapa iklan dalam bentuk cerita-cerita yang sangat baik seperti ini hanya dipaparkan semasa musim puasa/hari raya dan tidak diteruskan selepas perayaan?. Adakah insan hanya perlu menjadi "baik" pada musim berkenaan sahaja?.. Adakah ia benar2 merugikan dari segi kos jika sekiranya ditayang sepanjang masa...kemana perginya konsep tanggungjawab sosial para syarikat dan mungkin kerajaan. Bukankah pembentukan nilai itu perlu berterusan dan antara kaedah yang paling berkesan ialah melalui televisyen. Saya yakin ramai yang disedarkan melalui iklan cerita pendek tersebut supaya lebih bertanggungjawab terhadap ibubapa dan keluarga. Anak saya yang baru berumur 6 dan 11 tahun pun masih tercari-cari iklan ini  dan mereka menghargainya.

Moral daripada iklan ini ialah..mari kita kasihi orang tua / datuk nenek kita...jangan sisih ataupun abaikan mereka..mari tunaikan tanggungjawab kita sebagai anak dan menantu..walaupun orang tua kita sudah lanjut usia, mereka ada hati dan perasaan, mereka tahu menilai sejauhmana anak-anaknya menjaga mereka dalam keadaan ketidakmampuan mereka. INGAT apa yang kita lakukan pada orang tua kita mungkin akan dilakukan oleh anak-anak kita pula dan kitapun akan merasai penderitaan yang dialami oleh orang tua kita. Ya..hukum karma menyatakannya...

Selamat Hari Krismas dan Tahun Baru 2010

PRINSIP KEHIDUPAN BERDASARKAN UCAPAN YBHG DATUK NORMAH GAGOH.

Salam, selamat berjumpa semula, ini catatan lama iaitu kira2 sembilan tahun yang lalu namun masih berbentuk draf, saya mengambil peluang  u...