Jumaat, 7 Disember 2018

IMPIAN MENJADI KENYATAAN - SEORANG YANG GAGAL BERJAYA MENDAPAT GELAR DOKTOR PENDIDIKAN


Sejak di bangku sekolah saya sudah berimpian untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah dengan menjadikan mereka yang sudah berjaya dalam pendidikan dan kerjaya  sumber inspirasi. Kemiskinan keluarga juga menjadi pendorong saya, Kemiskinan keluarga juga menyebab saya hanya berjaya menjejakkan kaki ke Kota Kinabalu pada tahun 1984 iaitu selepas peperiksaan SPM untuk mencari kerja.
Dari segi segi akademik saya bukanlah seorang pelajar pandai, saya pernah gagal dalam penilaian Tahun Enam dan mengambil peperiksaan STPM sebanyak tiga kali baru lulus penuh untuk layak ke Universiti Sains Malaysia untuk mengambil Ijazah Sarjana Muda Pendidikan. Untuk melanjutkan pendidikan dalam peringkat Sarjana juga banyak halangan. Proposal yang saya hantar di dua IPTA ditolak. Namun ini tidak mematahkan semangat saya, keluarga banyak memberikan dorongan. Misalnya bapa saya  pernah mengatakan, "kalau  satu pintu tertutup, pasti Tuhan akan buka pintu yang lain, kalau kita tidak berputus asa". Akhirnya saya diterima melanjutkan pengajian Sarjana di Unisel secara sepaaruh masa dengan  perbelanjaan sendiri.  Saya berjaya menyelesaikan pengajian Sarjana  pada tahun 2012 dengan Gred Purata 3.91. Pada bulan september 2013 saya meneruskan pengajian ke peringkat Doktor Pendidikan (EdD) di universiti yang sama.
Banyak faktor yang mendorong saya untuk sampai ke peringkat kedoktoran, kesusahan hidup masa kanak-kanak (berjalan kaki sejauh 4 batu pergi balik sekolah),  berjualan sayur dan buah bersama para ibu-ibu di pasar Bandau semasa tingkatan 1-2, tinggal di rumah setinggan yang tiada bekalan elektrik dan air, tinggal di bilik sempit bersama enam orang yang lain di kota Kinabalu  dan  kegagalan membeli buku rujukan kerana kemiskinan keluarga memberi galakan kepada saya untuk terus berusaha. Di samping itu ibubapa dan keluarga juga banyak memberikan dorongan dan keyakinan kepada saya bahawa, "pendidikan merupakan salah satu alat yang  mampu  mengubah kehidupan." Oleh itu saya juga bertekad untuk mengubah nasib keluarga dan memutuskan rantai kemiskinan yang diwarisi turun temurun.
Bagi saya pencarian  ilmu  tidak pernah berhenti, kerajaan juga memberikan banyak peluang untuk kita melanjutkan pendidikan selaras dengan dasar pendidikan sepanjang hayat. Oleh itu saya meneruskan pengajian ke peringkat kedoktoran kerana saya percaya banyak teori ilmu pendidikan, kepemimpinan , kepengurusan, komunikasi, budaya  dan sebagainya yang boleh diaplikasikan dalam kerjaya sebagai pengurus, pemimpin dan pendidik di sekolah dan masyarakat.   
Walaupun banyak rintangan yang ada namun saya hadapinya dengan memenuhkan minda saya dengan kata-kata positif dan berinspirasi sehingga  minda separa sedar saya diisi  dengan istilah serta impian yang mampu membangkitkan semangat saya untuk menyelesaikan pengajian ini.  Usaha gigih, banyak membaca, membuat banyak rujukan dan kurang tidur  adalah perkara biasa apa lagi jika  bekerja sambil belajar. Walau bagaimanapun dengan sokongan penyelia dan pensyarah, isteri dan anak-anak, keluarga besar saya serta rakan – rakan yang sentiasa memberikan semangat telah memudahkan saya menyelesaikan pengajian ini.
Harapan saya agar kejayaan kecil ini dapat memberikan inspirasi buat anak – anak saya dan  anak-anak murid saya serta semua yang dahagakan kejayaan.  Dalam dunia ini “tiada suatupun yang mustahil, semuanya serba mungkin” termasuk dalam pendidikan. Para ibubapa berilah sokongan kepada anak-anak untuk berjaya, tanamkanlah kata – kata positif kepada mereka bahawa mereka boleh berjaya.  

Sabtu, 3 Mac 2018

NASIHAT DARIPADA PEMANDU GRAB

Sebelum krismas 2017, saya ke Semenanjung Malaysia dan menginap di Sun Inn Hotel dekat Sunway Lagoon. Sewa hotel yang agak murah dan lokasi yang berhampiran dengan pusat Sunway amat sesuai bagi mereka yang yang ingin membeli belah dan melawat tempat2 yang menarik. Dari KLIA ke Sun Inn tambang grabnya sekitar Rm70.00 termasuk bayaran tol. Tetapi kalau naik bas dari Klia ke KL Sentral hanya RM10 dan dari KL Sentral ke hotel Sun Inn hanya RM20 tambang grabnya. Saya ingin ceritakan pekongsian seorang pemandu grab berketurunan Cina yang berasal dari Kelantan yang saya naiki. Katanya pendapatan sebagai pemandu grab agak lumayan dan lebih baik daripada makan gaji. Walau bagaimanapun sebagai pemandu grab ada beberapa isu yang perlu diberi perhatian agar pelanggan berpuas hati. Antaranya ialah:
  • Kereta perlu dalam keadaan yang kemas, bersih dan wangi.
  • Pemandu grab perlu bijak berkomunikasi dengan pelanggan, iaitu pandai mengambil hati seperti bercerita.
  • Tak perlu pasang lagu2 hiburan dll, sebab bukan semua pelanggan berminat, apabila pelanggan minta baru pasang.
  • Keselamatan penumpang perlu diberi keutamaan. Oleh itu jangan memandu laju.
  • Sebagai pemandu gran perlu mencari dan menunggu di tempat2 yang strategik spt hotel, pusat beli belah dll.
Strategi ini perlu juga menjadi amalan kepada pemandu2 lain. Malah formula ini sesuai diamalkan dalam setiap usaha niaga atau apa-apa yang bersangkutan dengan perhubungan dengan orang lain.

Isnin, 4 Disember 2017

TERIMA KASIH TUHAN



10 Nov 2017 merupakan tarikh keramat bagi saya ...  melalui proses  Viva  Voce sebagai ujian  akhir untuk menentukan layak atau tidak dianugerahkan  Doktor Pendidikan.   Pada tarikh ini saya  terlepas untuk dinner  hujung tahun 2017  walaupun dinner ini  sangat    bermakna bagi saya .. apa lagi dengan kehadiran bos  saya (Pegawai PPD).
Perasaan saya agak tidak menentu..gembira kerana ini adalah cabaran terakhir dan juga agak risau kerana banyak yang telah saya lupa lantaran tiada berita akan dipanggil Viva walaupun sudah hampir 3 bulan saya menghantar laporan disertasi saya.  Untuk kali ini tiga orang yang dipanggil  Viva dan giliran saya adalah yang terakhir. Proses Viva saya mengambil masa lebih dua jam, 20 minit pertama adalah tempoh pembentangan dan dua jam yang berikutnya adalah tempoh untuk saya mempertahankan data hasil kajian saya.
Ketika di bilik Viva macam-macam perasaan timbul.. agak berpeluh walaupun ada aircon, cemas, gementar, khuatir dan sebagainya. Tapi syukurlah dengan sokongan doa daripada rakan2 dan keluarga serta persiapan yang ada...akhirnya.. saya melaluinya dengan baik..kajian berjaya dibentangkan dan soalan yang power berjaya dijawab...
Terima kasih kepada  isteri dan anak2 saya, adik beradik saya, rakan2 yang telah berdoa dan juga membantu saya..terima kasih banyak..saya akan sentiasa mengingati jasa kalian..Terima kasih Tuhan kerana memberi peluang kepada saya untuk menikmati gelar Doktor Pendidikan ini.. walau bagaimanapun konvo secara rasmi hanya pada Nov tahun 2018.

Sabtu, 30 September 2017

Moga dipercepatkan

Moga dipercepatkan...
Rasanya semakin sesak, janji dan janji lagi..siap dengan tarikhnya sekali kemudian diumumkan kepada yang lain..bukan sekali , dua kali tetapi sudah berkali kali.. Barmula bulan Julai, kemudian ogos, kemudian sept sehingga hari ini belum juga menjadi kenyataan. Kadang-kadang wujud kebosanan, patah semangat, putus asa, geram dan sebagainya.. perasaan berbelah bagi antara mengharap dengan geram, antara putus asa dengan kemarahan..ia sudah memintal menjadi tali temali yang tidak teratur .. akhirnya ia mengundang kelukaan hati yang sangat mendalam..bahayanya ialah ia semakin melemaskan dan mengakibatkan apa-apa yang dikerjakan seolah-olah kosong tak bermakna... sampai satu ketika saya pasrah dan tidak mempedulikannya lagi.. benarlah apa yang dikatakan penantian itu adalah suatu penyiksaan.
Anak perempuan saya mengatakan ..papa mesti siapkan dalam tahun ini, saya sekadar menjawab papa sudah menyiapkan segalanya untuk viva,  malangnya sehingga kini belum dipanggil juga. Anak lelaki pula sering mengingatkan bahawa seluruh keluarga  akan turut bersama ke majlis konvo pada bulan Nov nanti. Konvokesyen adalah awal Nov, namun panggilan untuk viva belum diterima. Kepada Tuhan sajalah saya menyerah dan berdoa..moga dipercepatkan dan dimudahkan segalanya..saya masih percaya bahawa segala sesuatu itu ada waktunya .. dan ia indah pada waktunya..

Ahad, 29 November 2015

MEMBUAT PILIHAN YANG TEPAT...

Salam,
Baru-baru ini seorang rakan menerima tiga jemputan perayaan untuk menghadiri krismas keluarga..sebelum itu ketika menghadiri perkahwinan seorang guru saya.. saya bertemu dengan seorang pengunjung yang memaklumkan pada hari itu sahaja terdapat enam majlis perkahwinan di daerah berkenaan..adakah dia perlu menghadiri kesemua majlis perkahwinan berkenaan?..anda perlu dan terpaksa membuat pilihan berdasarkan keutamaan atau prioritas. Saya sendiri sering mengalami situasi yang sama. Misalnya baru-baru ini terdapat  dua peristiwa sedih  yang berlaku serentak. Iaitu kematian makcik  saya dan kematian ayah kepada salah seorang staf saya. Pada masa yang sama anak kepada seorang teman rapat saya juga  menikah.   Dalam situasi begini,  saya tak mungkin dapat hadir di tiga tempat serentak. Akhirnya saya terpaksa membuat pilihan iaitu menghadiri kebaktian penghiburan  bagi keluarga makcik saya.   Ya ...kadang kala kita terpaksa membuat pilihan apabila diperhadapkan dalam situasi tertentu..dan pastinya pilihan yng kita ambil adalah yang terbaik dan tepat berdasarkan situasi dan kebijaksanaan kita.
Ketika memulakan tugas di sekolah baru kira-kira tiga bulan yang lalu, salah satu tekad saya ialah akan bersama rakan guru dan kakitangan yang menghadapi situasi yang sukar (kematian keluarga terdekat mereka) dengan cara melawat mereka.. begitu juga dengan ibubapa pelajar di sekitar sekolah. Apa lagi sekolah saya adalah sebuah sekolah kecil dan terletak di pedalaman. Namun adakalanya tekad ini gagal dipenuhi  terutamanya apabila sesuatu peristiwa itu berlaku serentak.
Baru-baru ini seorang rakan berkongsi pengalamannya berhadapan dengan sesetengah kontraktor yang pelbagai ragam. Ada yang  sanggup hingga.. meletakkan wang dalam keretanya  yang bukan sedikit nilainya demi mencapai hajat tertentu. Jika rakan ini bukan seorang yang "kuat jati dirinya dan kepercayaannya kepada Tuhan pastinya ia akan buta hati untuk menerimanya..syukurlah dia membuat pilihan yang tepat untuk Tuhannya".  Ya rakan saya telah membuat keputusan dan pilihan yang tepat..syabas

Ahad, 22 November 2015

TAHUN 2011; CABARAN DAN KESEMPATAN

Catatan ini sepatutnya saya postkan pada awal 2012, walau bagaimanapun ia tidak kesampaian disebabkan oleh kesibukan sehingga pada hari ini jumaat 13 Nov 2015.

Salam rakan-rakan,
Tahun 2011 telah berlalu, ia juga sudah menjadi suatu sejarah kerana pastinya tidak akan berulang kembali. Kalaupun mungkin terdapat peristiwa yang serupa akan berlaku namun pastinya peristiwa itu akan berlaku pada tahun yang lain. Secara peribadi terdapat dua sisi pengalaman saya dalam tahun 2011. Pada sisi yang pertama, terdapat pengalaman-pengalaman pahit yang menyakitkan, ia merupakan tahun yang paling mencabar dalam perjalanan kehidupan saya. Kesakitan, kepedihan dan kekecewaan telah cuba mengoyakkan emosi ini. Ia hampir-hampir menghancurkan keyakinan dan mematahkan keberaniaan saya untuk menghadapi hari - hari mendatang. Namun syukur kepada Tuhan yang esa kerana 'dalam situasi yang amat sulit Tuhan memberikan jalan dan  peluang baru', sentiasa ada  matahari yang memberi sinar pada siang hari dan bulan ketika malam. Ada Peribadi yang sentiasa mendukung dan  menuntun kita dan tidak pernah membiarkan kita sendirian hingga jatuh tergeletak. Ya..Dia begitu istimewa dan menjadikan kita sangat berharga di hadapanNya.
Sisi yang kedua pula, tahun 2011 merupakan tahun yang memberikan banyak kesempatan  bagi saya untuk melihat pertolongan Tuhan. Antaranya pada tahun ini saya berkesempatan membentang kajian saya dalam Seminar Pendidikan Pasca Siswazah Kebangsaan.  Ia suatu pengalaman baru bagi saya. Saya juga membantu dalam pengurusan seminar  yang telah dirasmikan oleh YB Datuk Masidi Manjun, exco pelajaran negeri. Selain itu pada tahun ini juga saya berpeluang mengikuti Program Kelayakan Profesional Pemimpin Pendidikan Kebangsaan selama lima bulan anjuran IAB Genting, Saya juga berpeluang berguru dengan Puan Julia Willie Jock  Pengetua Cemerlang JUSA C yang amat saya kagumi selama dua minggu. Seterusnya pada tahun 2011 ini juga saya  berpeluang untuk menjejakkan kaki saya di negara China dan Hong Kong yang merupakan negara ke sembilan saya lawati bersama anak lelaki saya. Ya,  jangan sekali-kali biarkan  kepedihan itu menghantui kehidupan ..sentiasa bersikap positif dan percaya bahawa Dia sentiasa bersama kita.

Ahad, 15 November 2015

SELAMAT BERJUMPA KEMBALI


Salam Transformasi,
Agak lama juga saya tak menulis apa-apa dalam blog ini disebabkan oleh kesibukan. Misalnya sibuk ketika mengikuti program EdD di Unisel yang sarat dengan tugasan, kajian, penulisan dan pembentangan disamping menghadiri kuliah.  Walau bagaimanapun dalam tempoh senyap alias sunyi berblog ini, iaitu antara tahun 2012 hinggalah 2015  banyak aktiviti dan pengalaman yang turut melibatkan penulis.
Dalam tempoh ini juga, dengan izinNya saya berpeluang melancong di beberapa negara  seperti China, Hong Kong, Jordan, Palestin dan Indonesia. Saya juga berjaya menjejak kaki di "Holy Land". Selain itu, bersama dengan beberapa rakan saya telah berjaya membuat dua kajian tindakan dan berpeluang membentang kertas kajian di dua konferen  iaitu di Seminar Pendidikan Khas 2014 peringkat Kebangsaan di hotel Novotel Kota Kinabalu dan di Seminar Pendidikan  Antarabangsa 2015 di Universiti Widyatama Bandung Indonesia. 
Pada tahun 2014 saya menghadiri temuduga kelayakan sebagai pengetua dan seterusnya dengan Kasih Kurnia daripada Tuhan saya dilantik sebagai pengetua pada 13 Julai 2015. Walau bagaimanapun saya hanya memulakan tugas pada 19 Ogos 2015.
Tegasnya dalam perjalanan hidup ini,  sentiasa ada kesibukan yang sepatutnya bukan alasan untuk tidak menuliskan sesuatu.... Seterusnya saya berharap agar catatan-catatan ringkas dalam blog ini mampu menjadi  sumber inspirasi para pembaca.
Salam.


PRINSIP KEHIDUPAN BERDASARKAN UCAPAN YBHG DATUK NORMAH GAGOH.

Salam, selamat berjumpa semula, ini catatan lama iaitu kira2 sembilan tahun yang lalu namun masih berbentuk draf, saya mengambil peluang  u...